SELAIN melaksanakan pelbagai amalan disunatkan ketika Aidilfitri, amalan tradisi di dalam masyarakat masih boleh diteruskan dengan syarat bertepatan dengan syariat. - Gambar hiasan. FOTO BERNAMA
SELAIN melaksanakan pelbagai amalan disunatkan ketika Aidilfitri, amalan tradisi di dalam masyarakat masih boleh diteruskan dengan syarat bertepatan dengan syariat. - Gambar hiasan. FOTO BERNAMA
Datuk Mohd Ajib Ismail

Alhamdulillah, ketibaan hari raya Aidilfitri tahun ini disambut di dalam suasana aman dan harmoni walaupun kita masih lagi berdepan dengan badai pandemik Covid-19 yang melanda negara. Sebahagian kita  berpeluang  meraikan hari raya bersama keluarga tercinta walaupun hanya di  kediaman  masing-masing secara sederhana susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP)  yang diumumkan kerajaan. Syukur kerana kita berjaya menyempurnakan segala kewajiban yang ditetapkan sepanjang bulan Ramadan sehingga ke penghujungnya. Justeru menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menzahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang dikurniakan dengan amalan bertakbir dan bertahmid bagi memuji kebesaran Allah SAW. Firman Allah di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur." Amalan bertakbir semasa hari raya Aidilfitri adalah syiar yang disunatkan kita melaksanakannya bermula selepas waktu terbenam matahari pada malam hari raya, iaitu masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehingga takbiratulihram solat hari raya Aidilfitri.

Hari  raya hakikatnya adalah hadiah daripada Allah SWT bagi umat Islam yang berjaya mengharungi tempoh sukar dan mencabar di dalam melaksanakan perintah Allah SWT dengan hati yang suci daripada segala kekotoran maksiat dan perasaan yang penuh ikhlas mengharapkan ganjaran-Nya di akhirat kelak. Di dalam ajaran Islam, tradisi sambutan hari raya mempunyai matlamat dan falsafah yang tinggi dan mulia, bukan sekadar dihiasi  kegembiraan dengan  persiapan  aneka juadah serta pakaian baharu semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam. Matlamat hari raya adalah untuk mengajak umat Islam kembali menjadi  Muslim yang patuh dan taat kepada Allah SWT di dalam segenap urusan kehidupan sekali gus menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Insan yang berjaya menunaikan perintah ibadah dan melepasi ujian-Nya, wajar bergembira atas nikmat ini sebagai  kemuncak ketaatan dan 'ubudiyyah kepada Allah SWT. 

Selain melaksanakan pelbagai amalan yang disunatkan ketika Aidilfitri, beberapa perkara yang menjadi tradisi di dalam masyarakat ketika musim sambutan hari raya masih boleh diteruskan dengan syarat bertepatan dengan syariat di samping mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah SWT. Antara tradisi tersebut ialah mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan bermaaf-maafan, menyediakan pelbagai juadah kepada tetamu dan ahli keluarga, memperbanyakkan berdoa, bertanya khabar sanak saudara dan menghulurkan sedekah. Amalan menyediakan dan memberi makanan merupakan suatu amalan kebajikan yang amat digalakkan di dalam Islam sama ada kepada sanak saudara atau jiran tetangga lebih-lebih lagi ahli keluarga terdekat.

Bagi amalan berdoa, kita digalakkan untuk mendoakan keampunan dan kesejahteraan diri sendiri serta saudara seagama yang lain. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Darda', Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Doa seorang  Muslim kepada saudara  Muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya Malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara  Muslimnya dengan doa yang baik dan berkatalah Malaikat itu, amin! engkau juga beroleh manfaat yang sama." (Riwayat Muslim)

Oleh itu, setiap kali kita menadah tangan memohon doa, jangan lupa untuk turut mendoakan kebaikan buat orang lain. Sebagai seorang anak, jangan kita lupa mendoakan kesejahteraan ibu bapa, suami mendoakan buat isteri dan anak-anaknya, guru mendoakan anak didiknya, majikan pula mendoakan kesejahteraan buat pekerjanya.  Setiap doa kita itu adalah ibadah  yang dapat membina kesejahteraan di dalam mewujudkan hubungan silaturahim yang lebih kukuh sesama insan.

Bagi amalan saling bermafan pula,  ia adalah sifat mulia yang digandingkan dengan ketakwaan sebagaimana firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud: "Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."

Bagi amalan bersedekah dan menghulurkan hadiah seperti memberi duit raya,  ia masih dapat diteruskan melalui pelbagai kaedah seiring perkembangan pelbagai aplikasi digital  masa kini  walaupun dalam keadaan berjauhan. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai"  (Riwayat al-Bukhari).  Perbuatan memberi dan menerima hadiah amat dianjurkan dalam Islam bagi memupuk perasaan kasih dan sayang serta dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia.

Bagi keluarga yang tinggal berjauhan dan sudah lama tidak bertemu terutama dalam tempoh pandemik ini, kerinduan tersebut boleh diubati dengan saling bertanya khabar dan mendoakan.  Manakala  ahli keluarga yang telah pergi dulu meninggalkan kita, walaupun tidak dapat menziarahi kubur ketika tempoh PKP ini, bacaan  tahlil dan doa  untuk kesejahteraan mereka  masih dapat dilaksanakan di tempat masing-masing.  Firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 41 yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan." Di dalam surah al-Hasyr ayat 10 Allah berfirman maksudnya: "Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dengan Rahmat-Mu."

Hari raya  tidak harus melekakan kita daripada menginsafi kekurangan dan kesempitan hidup yang dialami   insan  lain. Justeru teruskanlah amalan bersedekah dan meringankan bebanan golongan yang memerlukan seperti yang giat dilakukan sepanjang Ramadan. Selain itu, insafilah kezaliman berterusan yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin  lebih-lebih lagi peristiwa terkini serangan  yang dilakukan  di  bumi  Gaza di penghujung Ramadan dan ambang Aidilfitri. Kirimkanlah  doa dan hulurkan bantuan  kepada mereka  mengikut kemampuan masing-masing.  Kecaknaan kita  ini  adalah tanda solidariti dan keprihatinan terhadap  permasalahan  yang dihadapi oleh saudara Muslim  yang lain.

Bagi kita semua rakyat Malaysia, hargailah nikmat keamanan, perkukuhkan kesepaduan dan taatilah perintah  ulil amri dengan  bersama-sama  berganding bahu  menjayakan usaha  memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Hayatilah  titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan  rakyat supaya tidak melupakan kerukunan hidup bermasyarakat dengan mengelak tutur kata yang menanam benih perbalahan sesama sendiri.  Baginda turut menyeru  seluruh umat Islam  agar  bersyukur kerana masih dapat menunaikan ibadah  di bulan  Ramadan dan dikurniakan  kesihatan untuk menyambut kedatangan Syawal.

Marilah kita semua terus berdoa agar negara Malaysia yang tercinta ini sentiasa dilindungi serta berada di dalam pemeliharaan Allah  SWT  dan bencana wabak Covid-19 segera berlalu pergi.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:00 AM