GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Qira’ah Fatwa

SETIAP kali Syawal, ramai ahli keluarga berkumpul di kampung. Namun, tiada yang menegur berkaitan batas aurat di antara sepupu, ipar dan biras.

Apakah kaedah yang perlu dilakukan bagi menasihati mereka menjaga aurat dan pada masa sama menjaga hati golongan lebih berusia daripada kita?

Allah SWT menetapkan batas aurat bagi lelaki dan perempuan. Setiap umat Islam wajib menjaga aurat dan kehormatan di mana sahaja dia berada.

Aurat adalah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Rujuk al-Mausû’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31:44)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)

Berdasarkan ayat itu, ulama menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW menegur Asma’ binti Abu Bakar RA, maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak daripada anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Memandang aurat orang lain secara sengaja juga diharamkan Islam. Rasulullah SAW melarang orang beriman daripada melihat aurat antara satu sama lain.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki (lainnya), dan janganlah pula seorang wanita melihat aurat wanita (lainnya). Seorang lelaki tidak boleh bersama lelaki lain dalam satu kain, dan tidak boleh pula seorang wanita bersama wanita lainnya dalam satu kain.” (Hadis riwayat Muslim)

Aurat wajib dijaga daripada dilihat orang lain walau dalam apa keadaan serta menjaga pandangan daripada melihat aurat orang lain.

Apa yang menyedihkan, persoalan berkaitan aurat kurang dititikberatkan. Setiap situasi hendaklah dicegah dengan hikmah serta mengikut kemampuan yang ada.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Mendedahkan aurat dengan sengaja sesama sepupu, ipar dan biras hendaklah ditegur berkaitan hukumnya.

Sama ada mencegahnya dengan kuasa seperti kepada adik-beradik dan anak-anak saudara yang lebih muda dan menegur dengan lisan kepada sanak-saudara yang lebih kurang sebaya umurnya.

Berikut, kami cadangkan kaedah lain yang difikirkan sesuai:

• Menyampaikan pesanan kepada ahli keluarga paling berpengaruh seperti bapa atau anak sulung dalam keluarga agar menasihati mengenai hal itu.

• Mengasingkan tempat serta membuat penghadang antara lelaki dan perempuan dalam kalangan sepupu, ipar-duai dan dan biras bagi menjaga aurat masing-masing khususnya ketika menukar pakaian dan tidur.

• Menghantar tazkirah berkaitan aurat yang perlu dijaga di dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan saudara-mara.

• Membuka topik perbualan sesama sanak-saudara berkaitan aurat serta menimbulkan kesedaran mereka untuk menjaganya.

• Menghadiahkan saudara-mara yang tidak menutup aurat dengan pakaian menutup aurat berjenama supaya dia terdorong memakainya.

Sumber: Al-Kafi li al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 8:21 AM