SOKONGAN golongan selebriti kepada rakyat Palestin membuktikan golongan itu percayak akan rezeki adalah pemberian Allah bukan makhluk.
SOKONGAN golongan selebriti kepada rakyat Palestin membuktikan golongan itu percayak akan rezeki adalah pemberian Allah bukan makhluk.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Isu Palestin sememangnya menjadi perbualan hangat bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global kerana sudah bertahun lama berlaku tanpa ada penyelesaian konkrit dengan pengganas Israel.

Manakala kuasa-kuasa besar dunia pula seakan acuh tak acuh untuk membantu. Malah, Amerika Syarikat sendiri secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada pengganas rejim Zionis ini.

Serangan udara dan bedilan bom tanpa mengira masa dan waktu seakan menjadi 'makanan' dan senario biasa yang terpaksa dihadapi oleh penduduk terutamanya di Gaza sehingga mengorbankan nyawa orang yang tidak berdosa.

Di Malaysia sendiri, kita dapat menyaksikan pelbagai pihak tanpa mengira bangsa dan kaum serta peringkat profesion termasuk golongan selebriti melahirkan sokongan terhadap rakyat Palestin terutamanya golongan kanak-kanak.

Berbanding dulu ada di antara selebriti dan artis yang seakan bimbang melahirkan sokongan secara terbuka terhadap rakyat Palestin, keadaannya kini berbeza apabila ramai yang melahirkan perasaan simpati terhadap negara terbabit.

Tidak kira kecil atau besar mereka dalam industri, semuanya bersatu hati mengecam Israel dan pemimpinnya yang boleh dilabelkan sebagai pembunuh.

Kita wajar memuji Neelofa dan Ameera Khan, Daiyan Trisha dan beberapa lagi yang teguh dengan prinsip membela nasib rakyat Palestin walaupun ia boleh memberi kesan terhadap hubungan profesion mereka dengan jenama-jenama besar antarabangsa.

Daiyan Trisha menerusi kenyataannya berkata, dia percaya rezeki ada di mana-mana dan paling penting buatnya adalah bersuara mengenai kesengsaraan rakyat di Gaza.

Ameera Khan pula dilihat aktif berkongsi petikan video yang berlaku di Palestin menerusi Instagram story dan juga posting.

Ia sekali gus mendapat pujian netizen kerana berani berbuat sedemikian tanpa memikirkan kesan dan risiko hubungannya dengan jenama besar antarabangsa yang memihak kepada Israel.

Neelofa pula dilihat lebih berani apabila memuat naik foto Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menyifatkan pemimpin terbabit sebagai penjenayah perang.

Neelofa juga menegur dan mengingatkan figura-figura beragama Islam yang takut bersuara agar lebih terbuka menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Ketika anda sedang takut ini, ada orang bukan Islam di luar negara yang akan bersuara dan menyokong perkara yang anda takutkan ini.

"Sebagai Muslim yang beriman dan faham tentang kepercayaan kepada Hari Akhirat, kita kena faham dahulu kenapa Palestin ini perlu dipertahankan dan apa istimewanya Masjid Al-Aqsa.

"Kalau ada yang takut atau tak berani untuk bersuara, mungkin mereka ini kurang kefahaman tentang ilmu berkenaan," katanya.

Tindakan ini sekurang-kurangnya dapat menutup mulut segelintir warga net yang mahukan artis tanah air menyatakan sokongan terhadap Palestin secara terbuka tanpa mengetahui cerita sebenar risiko yang bakal dihadapi mereka.

Tidak ketinggalan, dua program mingguan popular iaitu All Stars Gegar Vaganza (Astro) dan Famili Duo (TV3) juga prihatin dengan situasi yang berlaku di Palestin dan turut menyelitkan segmen kemanusiaan mereka minggu lalu.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 7:01 AM