Fadly Samsudin

KETIKA Allah SWT kumpulkan seluruh manusia di Padang Mahsyar selepas dibangkitkan kelak, waktu itu masa dirasakan tersangat panjang dan suasananya cukup sukar.

Saat itu barulah kita sedar jika dibandingkan dengan kehidupan di dunia, tempoh dunia itu terlalu singkat. Dalam hadis dinyatakan, seluruh manusia terpaksa menunggu sangat lama di Padang Mahsyar iaitu selama lima puluh ribu tahun.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Ma’arij, ayat 4 yang bermaksud: “Jalan para malaikat naik menghadap Tuhan dalam sehari, seperti lima puluh ribu tahun bagi orang yang berdosa kerana banyak hitungan hisab.”

Berdasarkan ayat itu, malaikat dan Jibril menghadap Allah mengambil masa selama sehari. Namun, apabila dilakukan manusia ia mengambil masa selama lima puluh ribu tahun.

Tempoh selama itu sebenarnya hanya untuk menunggu dan terus menunggu ke fasa seterusnya iaitu hari pertanggungjawaban di mana seluruh amalan manusia dipersembahkan di hadapan Allah SWT.

Maka, benarlah ketika itu ada manusia yang meminta dihidupkan semula di dunia untuk menebus kembali kesilapan yang dilakukan dengan melakukan amalan soleh.

Namun, penyesalan itu tidak berguna lagi kerana urusan dunia sudah pun berakhir. Hari itu tiada lagi amalan yang dapat dipersembahkan kepada Allah kerana dan yang tinggal hanya menunggu sesi pembalasan.

Semoga kita semua tidak tergolong dalam kalangan mereka yang menyesal. Maka, sepatutnya kita sentiasa merenungi apa yang sudah dilakukan pada setiap masa untuk dijadikan bekalan selesa menanti ketibaan amalan kita dihitung.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Kita perlu sentiasa tanamkan dalam diri dan pemikiran, kehidupan di dunia ini bukannya masa depan kita. Islam hadir sebagai cara hidup yang sempurna.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah dunia bila dibandingkan dengan akhirat kecuali hanya semisal salah seorang daripada kalian memasukkan jarinya ke dalam lautan, maka hendaklah dia melihat apa yang dibawa oleh jarinya itu ketika diangkat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Keutamaan taubat itu sangat besar. Itulah bezanya antara pencipta dan makhluk. Di dunia ini, apabila seseorang melakukan seribu kebaikan sekalipun, namun akibat tersilap langkah melakukan satu kesalahan, menyebabkan kebaikan dilakukan sebelum ini ‘terpadam’ akibat satu kesilapan itu.

Berbeza dengan Allah SWT sebagai pencipta, apabila Dia mendapati hamba-hamba-Nya melakukan pelbagai dosa dan maksiat, tetapi jika manusia itu menebus kesalahan itu dengan satu taubat, maka Allah SWT tetap akan mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.

Taubat sebenarnya adalah satu tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi ini. Allah SWT tidak pernah sesekali mencari kesalahan makhluk yang tidak pernah melakukan dosa.

Allah SWT Mengetahui manusia tetap akan melakukan dosa dan membuat kerosakan di dunia, namun Dia tetap menciptakan kita semua kerana ingin menunggu siapa di antara makhluk-Nya yang bertaubat dan meninggalkan dosa lalu.

Dunia ini terbukti dan sangat pasti kita semua akan tinggalkan. Apabila ia ‘pasti’ ditinggalkan, maka tidak layak untuk ia ‘diminati’. Justeru, berapa lama lagi tempoh atau sisa hidup kita di dunia ini? Belum tentu sampai sehingga 80 tahun atau 100 tahun.

Paling utama yang perlu difikirkan adalah untung nasib kita di alam barzakh dan alam akhirat kelak supaya ia dapat dilalui dengan penuh nikmat dan kebahagiaan.

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 3:00 AM