Dengan bertaubat, segala kegelapan dan kekusutan hidup akan bertukar menjadi ceria dan lebih sempurna.
Dengan bertaubat, segala kegelapan dan kekusutan hidup akan bertukar menjadi ceria dan lebih sempurna.
Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

UMAT Islam berada dalam satu bulan yang Allah SWT buka pintu taubat dan peluang keampunan untuk sekalian hamba-Nya dengan seluas-luasnya.

Atas sebab itulah, satu nama lain bagi Ramadan ialah 'syahr al-tawbah' (bulan taubat). Ramadan bulan taubat sebab ia memang sebagai momentum yang tepat untuk bertaubat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu (Allah)." (Surah ali Imran ayat 133)

Berdasarkan ayat 133 daripada Surah ali Imran ini, jelas kepada kita bahawa sebaik-baik taubat adalah taubat yang segera dilakukan tanpa menangguh-nangguhkannya.

Jika kita bertaubat ketika ini, akan terkumpullah dua keutamaan.

Pertama, keutamaan kerana taubat itu dilakukan pada Ramadan yang pintu taubat terbuka luas dan keduanya, keutamaan kerana menyegerakan taubat.

Setiap manusia tidak terlepas daripada kesalahan dan dosa. Jadi taubat adalah suatu penyesalan atas segala kesalahan dan dosa yang dilakukan dengan mengharapkan keampunan daripada Allah SWT.

Ia hendaklah dilakukan dengan segera, ikhlas dan benar-benar berazam untuk tidak mengulangi perbuatan dosa yang dilakukan itu.

Amalan bertaubat kepada Allah SWT atas segala dosa yang dilakukan itu adalah amat baik dan paling utama lebih-lebih lagi ketika kita masih berada dalam bulan mulia ini. Oleh sebab itu, setiap Muslim yang berdosa diperintahkan segera bertaubat.

Berhubung perkara ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur ayat 31)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud RA bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah SWT amat gembira dengan taubat hamba-Nya yang beriman." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi membuktikan betapa amalan taubat itu paling utama dan sangat dituntut oleh Allah SWT ke atas orang Muslim yang berdosa, apabila dia bertaubat Allah SWT akan mengampunkan dosanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka serta syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang yang beramal." (Surah ali Imran ayat 135 dan 136)

Diriwayatkan daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seandainya anak Adam mempunyai dua lembah harta tentu dia masih menginginkan yang ketiga. Padahal yang memenuhi perut anak Adam hanyalah tanah (kuburnya) dan Allah tetap menerima taubat orang yang ingin bertaubat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hal ini juga ada dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tersenyum (reda) terhadap dua lelaki, seorang daripadanya membunuh yang seorang lagi, namun kedua-duanya dimasukkan ke dalam syurga. Sahabat bertanya: 'Bagaimana boleh terjadi begitu wahai Rasulullah?' Baginda bersabda: 'Seseorang yang ikut berperang pada jalan Allah lalu beliau mati syahid, kemudian orang yang membunuh tadi bertaubat dan Allah menerima taubatnya. Setelah memeluk Islam beliau juga turut keluar berperang pada jalan Allah, kemudian beliau juga mati syahid.'" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Semua ini membuktikan dengan bertaubat, seseorang itu akan bersih daripada segala kotoran dosa, malah kehidupannya akan menjadi tenteram dan sejahtera. Inilah yang dikatakan keberkatan taubat nasuha.

Dengan bertaubat, segala kegelapan dan kekusutan hidup akan bertukar menjadi ceria dan lebih sempurna disebabkan bersihnya rohani serta jasmani dalam penghidupan baharu.

Selain itu, orang yang bertaubat akan mendapat balasan syurga dan tidak mudah disesatkan. Namun, balasan ini dikhususkan kepada mereka yang bertaubat dengan ikhlas kerana Allah SWT, menyesali atas segala kemaksiatan dilakukan dan bertekad untuk menjauhkan diri daripada segala perbuatan maksiat.

Semua ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Orang yang demikian sifatnya (beriman dan sentiasa bertaubat atas dosa yang dilakukan), balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka serta syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang yang beramal." (Surah ali Imran ayat 136)

Justeru, taubat hendaklah segera dilakukan. Hal ini kerana jika ia masih ditunda dan ditangguhkan, dikhuatiri tidak sempat untuk bertaubat dan sudah tentu kita akan menanggung kerugian yang amat besar di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Seperkara lagi yang mesti diingatkan iaitu menangguh-nangguhkan taubat amatlah membimbangkan kerana bertaubat pada ambang kematian atau dengan perkataan lain saat ajal sudah hampir tiba sudah tidak berguna serta tidak mempunyai apa-apa erti lagi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah dia: 'Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, (sedang taubatnya itu sudah terlambat) dan (demikian juga halnya) orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah an-Nisa' ayat 17 dan 18)

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh (nyawanya) belum sampai di kerongkong iaitu saat ajal sudah hampir tiba." (Riwayat Ibn Majah)

Oleh itu amalan taubat hendaklah dilakukan dengan segera, ikhlas, benar-benar tekad untuk meninggalkan segala dosa yang telah dilakukan dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan dosa itu.

Untuk itu, kita hendaklah berwaspada dalam menghadapi arus kehidupan dipenuhi dengan segala macam pengaruh dan anasir buruk yang cuba merosakkan pendirian dan keimanan kita kepada Allah SWT.

Setelah semua itu dapat diatasi, kebimbangan dan kelalaian terhadap apa jua pun tidak akan timbul dan amat mudah bagi kita menghindarkan daripada segala perbuatan dosa.

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam(ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 5:59 AM