Fadly Samsudin

Tiada seorang pun manusia terlepas daripada melakukan dosa. Setiap hari bermula dari awal pagi hingga ke malam pasti ada dosa terpalit sama ada dilakukan secara sedar atau tidak.

Sebab itu, sekiranya kita tidak bertaubat terhadap dosa itu, ia akan terkumpul lalu ia menjadi ‘tiket’ kita ke neraka.

Bagaimanapun, kerana sayangnya Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, maka Allah sediakan jalan untuk menghapuskan dosa yang kita lakukan dengan cara bertaubat.

Nabi SAW yang maksum itu pun tetap banyak beristighfar memohon keampunan kepada Allah SWT sehari semalam.

Allah SWT berjanji setiap kesalahan dilakukan oleh hamba-Nya boleh dihapuskan dengan taubat kecuali dosa membabitkan sesama manusia dan lebih ditakuti adalah dosa mensyirikkan Allah SWT.

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman yang bermaksud:“Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampunkan apa yang kamu lakukan. Aku tidak peduli, wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta keampunan kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Pada zaman Rasulullah SAW terdapat kisah taubat yang boleh dijadikan pengajaran buat kita. Antaranya, kisah taubat seorang wanita yang berzina. Daripada Imran bin Husain, seorang wanita dari Juhainah datang menghadap Nabi SAW (pemerintah), dia sedang hamil akibat melakukan zina. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, aku melanggar hukum, oleh kerana itu tegakkanlah hukuman itu (rejam) ke atasku.”

Lalu Nabi memanggil wali perempuan itu dan bersabda kepadanya: “Rawatlah wanita ini sebaik-baiknya, apabila dia melahirkan, bawalah dia ke hadapanku.”

Lalu walinya melakukan pesan itu. Selepas itu, Nabi SAW memerintahkan untuk merejam wanita berkenaan, maka pakaian wanita itu dirapikan (supaya auratnya tidak terbuka ketika direjam).

Kemudian Baginda memerintahkan supaya wanita itu direjam. Setelah direjam, Baginda solatkan jenazah wanita berkenaan.

Umar Al-Khattab bertanya kepada Baginda: “Wahai Nabi Allah, perlukah dia disolatkan? Bukankah dia berzina?”

Baginda menjawab: “Sungguh, dia sudah bertaubat kalau sekiranya taubatnya dibahagi-bahagikan kepada 70 penduduk Madinah, pasti taubatnya akan mencukupi mereka semua. Adakah taubat yang lebih utama (hebat) daripada menyerahkan nyawa kepada Allah SWT secara ikhlas?” (Sahih Muslim no 3209, Sunan Abu Daud, no 3852)

Sehubungan itu, hadirkan rasa kesal dan penyesalan dengan taubat yang sebenar-benarnya. Taubat nasuha bertujuan bagi memberikan perubahan pada anggota badan, akal, hati, jiwa dan rohani.

Selalu beristighfar dengan rasa khusyuk seiring harapan yang tinggi serta keyakinan bahawa Allah SWT pasti mengampuni dosa hamba-hamba-Nya.

Antaranya dengan cara memperbanyakkan solat sunat taubat antara solat Maghrib dan Isyak atau bangun di sepertiga malam yang akhir iaitu antara jam 11 malam hingga 3 pagi.

Penyesalan yang sebenar memiliki dua unsur iaitu berazam tidak mengulangi lagi dosa dan maksiat yang pernah dilakukan serta memperbanyakkan amalan kebaikan bagi menebus dosa lalu.

Paling penting jagalah solat fardu selain memperbanyakkan solat sunat kerana ia dapat menjadi benteng diri daripada melakukan perbuatan mungkar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedahnya dan kesannya. Ingat, Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Solat juga adalah amalan yang mula-mula sekali akan dihitung pada hari kiamat kelak. Dalam satu hadis dinyatakan, sekiranya solat yang dilaksanakan seseorang itu baik, maka seluruh amalannya akan menjadi baik, begitu juga sebaliknya.

Selain itu, memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW juga menyebabkan pengampunan Allah SWT. Begitu juga sebagai anak, memohon doa dan restu daripada ibu bapa serta ibu bapa mentua juga sangat penting.

Jagalah ‘syurga’ itu dengan mempamerkan sifat sopan-santun serta menggunakan perkataan mulia kerana jasa mereka cukup besar memelihara dan mendidik kita sejak kecil.

Rasulullah SAW berkata, Allah SWT membuka dua syurga kepada orang beriman yang selalu berbakti kepada ibu bapanya yang beriman. Sekiranya orang tuanya tinggal seorang, maka dia mendapat satu syurga.

Dalam Surah al-Ahqaf, ayat 15, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, dia berdoa dan berkata: ‘Wahai Tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur dengan nikmat yang engkau kurniakan kepadaku serta kepada ibu bapaku supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai. Jadikan sifat-sifat terpuji meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam yang tunduk patuh kepada-Mu.’”

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:56 AM