USIA yang dinikmati sekarang perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk meraih keredaan Allah SWT.
USIA yang dinikmati sekarang perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk meraih keredaan Allah SWT.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap insan di dunia ini hidup dengan perkiraan usia. Saban tahun setiap orang menghitung pertambahan usianya dengan pertambahan tahun dalam kalendar.

Masing-masing berasa bahagia dengan pertambahan usia ketika ulang tahun kelahirannya. Tidak kurang juga yang berusaha untuk merahsiakan usianya daripada diketahui orang ramai.

Hakikatnya semakin usia bertambah maka semakin hampir seseorang itu dengan kematian. Tidak ada orang yang bertambah usianya dengan dia akan bertambah-tambah menikmati tempoh kehidupan atas dunia ini. Meskipun seseorang dikurniakan nikmat usia yang panjang, namun hakikatnya setiap hari yang berlalu pasti mendekatkan dirinya kepada kematian.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "...Kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu..." (Surah al-Hajj, ayat 5)

Tatkala usia semakin bertambah, setiap Muslim perlu menginsafi bahawa setiap detik yang dikurnia oleh Allah SWT untuk dirinya hidup atas muka bumi ini akan dipertanggungjawabkan di depan-Nya kelak. Setiap detik yang berlalu perlu dimanfaatkan untuk mendapat pahala seterusnya memperoleh keredaan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Tidaklah kedua kaki seorang hamba beranjak pada hari kiamat sehingga dia ditanya mengenai umurnya bagaimana ia dihabiskan, mengenai ilmunya bagaimana ia diamalkan, mengenai hartanya dari mana ia diperoleh dan bagaimana pula ia dibelanjakan serta mengenai tubuhnya bagaimana ia dimanfaatkan." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Justeru, perlu diinsafi bahawa kurniaan usia yang dianugerah oleh Allah SWT turut bersamanya tanggungjawab yang akan dipersoal pada hari akhirat nanti. Setiap masa perlu dimanfaatkan sebaiknya kerana tidak ada insan yang mengetahui saat kematian yang bakal dihadapinya. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati." (Surah Luqman, ayat 34)

Sesungguhnya usia umat Nabi Muhammad SAW tidak panjang seperti umat terdahulu yang hidup ratusan tahun. Keterbatasan usia umat Nabi Muhammad perlu dijadikan iktibar supaya setiap masa dalam usia yang masih berbaki dimanfaatkan untuk mencari keredaan Allah SWT.

Malah, Rasulullah SAW sendiri dikurniakan kehidupan kira-kira 63 tahun sahaja. Rasulullah SAW menjelaskan perihal usia umatnya menerusi sabda baginda: "Usia umatku (umat Islam) antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun. Dan hanya sedikit daripada mereka yang melebihinya (tempoh usia tersebut)." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Berkaitan usia empat puluh tahun pula, terdapat pandangan mengatakan usia terbabit sebagai titik tolak kesempurnaan akal manusia. Usia empat puluh tahun dikaitkan dengan tempoh seseorang sepatutnya lebih matang berbanding usia sebelumnya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: 'Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada kalangan orang Islam'." (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Sebagaimana diterangkan oleh Imam ash-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir, bahawa ulama tafsir menyatakan bahawa seseorang rasul diturunkan wahyu kepada mereka selepas berusia empat puluh tahun. Selain itu, dinyatakan juga bahawa ayat ke-15 daripada surah al-Ahqaf terbabit mengandungi doa yang dianjurkan untuk dibaca bagi mereka yang mencapai usia empat puluh tahun.

Untaian doa dalam ayat al-Quran terbabit mengajar manusia untuk sentiasa bersyukur, memperbanyakkan amal soleh, memiliki sifat terpuji serta melakukan taubat supaya diampuni setiap dosa dan kesalahan lalu. Semua inti pati doa terbabit sememangnya diperlukan dalam kehidupan manusia bagi meraih rahmat daripada Allah SWT.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna hanya orang yang sudah sampai usia empat puluh tahun perlu berubah menjadi baik. Setiap Muslim yang sudah mencapai usia baligh berkewajipan menjaga tingkah laku supaya tidak mengundang dosa, sebaliknya memperbanyakkan amalan yang mendatangkan pahala.

Hakikatnya tidak ada yang membezakan usia muda mahupun tua melainkan amalan soleh yang dilakukan oleh empunya diri. Orang yang hidup ratusan tahun pun tidak akan mendapat kebahagiaan di akhirat nanti sekiranya usia kehidupan yang panjang tidak digunakan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Lihat orang yang dikurniakan usia panjang yang berada di sekeliling kita. Contohi kehidupan baik mereka kerana dengan usia yang panjang ditambah pula dengan amal kebaikan yang banyak, ia adalah nikmat besar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Allah yang menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada); kemudian Dia (Allah) menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya) dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan)..." (Surah an-Nahl, ayat 70)

Akhirnya, mari kita menginsafi bahawa usia yang sedang dinikmati sekarang perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk meraih keredaan Allah SWT. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya segera memanfaatkan nikmat berkaitan usia sebelum datang masa segalanya tidak lagi dapat membantu diri untuk melakukan kebaikan. Baginda menasihati kita supaya memanfaatkan masa muda sebelum datang masa tua, masa lapang sebelum datang masa sibuk dan masa hidup sebelum datang kematian. Ketiga-tiga pesanan ini tidak lain, semuanya berkaitan dengan usaha kita sebagai manusia.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 6:01 AM