AL-FIQH

1. Jika orang yang memandikan mayat itu ialah suaminya atau isterinya, apakah hukum jika dia memandang aurat mayat berkenaan?

Jika suami memandang aurat jenazah isteri atau isteri memandang aurat jenazah suami, begitu juga penghulu memandang aurat jenazah hamba sahaya ketika memandikan jenazahnya tidaklah dihukum sebagai haram sekiranya tidak menimbulkan nafsu syahwat.

Begitu juga tidak haram memandang aurat jenazah kanak-kanak perempuan atau lelaki yang masih kecil.

2. Lelaki lebih utama memandikan jenazah lelaki, begitu juga perempuan lebih utama memandikan jenazah perempuan. Adakah hukumnya wajib atau hanya sunat saja?

Jika dinisbahkan bagi perempuan yang ajnabi (yang tiada hubungan kekeluargaan) maka wajib ke atas lelaki memandikan jenazah yang lelaki saja, tetapi jika dinisbahkan kepada perempuan yang ada hubungan mahram, maka hukumnya sunat bagi lelaki memandikannya.

Begitulah sebaliknya iaitu jika dinisbahkan kepada lelaki yang ajnabi, maka wajib ke atas perempuan memandikan jenazah perempuan saja.

Tetapi jika lelaki yang meninggal dunia itu ada hubungan mahram dengan seorang perempuan, maka disunatkan perempuan itu memandikan jenazahnya.

3. Apakah hukumnya bagi kanak-kanak kecil yang belum lagi sampai had syahwat, apabila dia meninggal dunia adakah diharuskan bagi lelaki atau perempuan memandikan jenazahnya?

Bagaimanakah pula dengan khunsa (pondan) yang sudah tua?

Apabila dia meninggal dunia, adakah diharuskan bagi lelaki dan perempuan memandikan jenazahnya sekiranya mahramnya tiada?

Harus bagi lelaki dan perempuan memandikan jenazah kanak-kanak kecil yang belum baligh lagi sampai had syahwat.

Begitu juga jenazah khunsa harus dimandikan oleh lelaki atau perempuan ketika ketiadaan mahramnya.

4. Adakah perbuatan mengucup muka mayat (sebelum dikafankan) itu dikira sebagai sunat atau diharuskan dan seumpamanya seperti mengucup Kaabah dan Hajarulaswad.

Adakah dituntut atau tidak dan apakah hukumnya?

Jika yang meninggal dunia itu ialah orang yang soleh atau ahli keluarganya, maka sunat mengucup mukanya sebelum jenazahnya dikafankan.

Bagi orang biasa adalah diharuskan. Begitu juga kita disunatkan mengucup Hajarulaswad dan al-Quran.

Kita juga disunatkan supaya mengucup tangan orang alim dan orang soleh (selain daripada sunat mengucup tangan kedua-dua ibu bapa).

Mengikut pendapat Syeikh Ramli, harus kita mengucup makam Rasulullah SAW, tabir (yang menghiasi tempat persemadian) para wali serta pintunya untuk mendapatkan keberkatan ketika kita menziarahinya.

Sumber: Furu’ Al-Masa’il Wa Usul Al-Wasa’il oleh Maulana Al-Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 10:39 AM