AKSI Ayuni ketika menyertai salah satu kejohanan dalam disiplin deadlift yang mempunyai berat 132.5 kg.
AKSI Ayuni ketika menyertai salah satu kejohanan dalam disiplin deadlift yang mempunyai berat 132.5 kg.
Hafiz Ithnin


Awalnya pada 2018, gadis berusia 27 tahun ini hanya ke gimnasium untuk mengisi waktu lapang bersama rakan-rakan.

Namun, apabila melihat pengguna gimnasium yang berbadan sasa mampu mengangkat pelbagai 'besi' untuk menguatkan otot masing-masing, ia secara tidak langsung menyuntik rasa ingin tahu kepadanya hingga timbul hasrat ingin mencuba.

Bermula dari situ, bukan sekadar menjadi pemerhati, malah anak kelahiran Kuantan, Pahang itu juga banyak membuat pembacaan berkenaan aktiviti kecergasan di gimnasium.

Akhirnya, Siti Nur Ayuni Johari memberanikan diri untuk mencuba senaman yang amat memerlukan kekuatan mental fizikal iaitu powerlifting.

Ia memerlukan seseorang untuk menguasai tiga asas disiplin utama dalam mengangkat berat iaitu squat, bench press dan deadlift.

Sememangnya kekuatan stamina amat diperlukan untuk melakukannya. Apatah lagi, bilangan beratnya adalah luar biasa yang sememangnya menguji kemampuan diri untuk mengangkat beban berkenaan.

Siti Nur Ayuni berkata, dia masih ingat kali pertama melakukan powerlifting hanya mampu mengangkat 40 kilogram (kg) sahaja. Kesukaran itu tidak dapat diterjemahkan dengan kata-kata.

Jelasnya, selepas enam bulan dia berlatih dengan jurulatih kecergasan Coach Kelvin Yeoh daripada Uplift Powerlifting akhirnya dia mampu untuk mengangkat sehingga 130kg untuk disiplin deadlift, squat dengan bebenan 95kg dan bench 57kg.

"Selepas enam bulan saya berlatih dan terus menyertai satu kejohanan powerlifting, Malaysia Powerlifting Invitational 2018 dan bergelar juara.

"Bagi saya usaha selama enam bulan bukan sekadar ke gimnasium tetapi membaca mengenai sukan ini juga membantu saya untuk mencapai kejayaan itu," katanya.

BERSAMA jurulatih, Kelvin (kiri) yang banyak membantu Ayuni dalam sukan powerlifting.
BERSAMA jurulatih, Kelvin (kiri) yang banyak membantu Ayuni dalam sukan powerlifting.

Tambahnya, sejak itu dia peroleh dua lagi juara di dalam dua kejohanan berbeza di Malaysia iaitu Savage Gears Throwdown 2022 (Johan U76 Open) dan Johor Powerlifting Open 2023 (Johan U76 Open).

Menceritakan kali pertama ke gimnasium katanya, dia juga seperti wanita lain yang mempunyai perasaan malu. Apatah lagi pengguna gimnasium sudah biasa untuk mengendalikan pelbagai peralatan kecergasan.

"Saya pada awalnya hanya ingin menjadikan badan lebih sihat sahaja tetapi tidak menyangka perasaan ingin tahu mengenai powerlifting itu lebih mendalam.

"Jadi, saya ketepikan perasaan malu dan banyak bertanya serta mencari maklumat mengenainya. Sehingga selepas tempoh enam bulan syukur saya berjaya menjadi juara di dalam kejohanan pertama yang disertai," katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia merasakan bagi wanita yang ingin melakukan aktiviti kecergasan yang biasa dimonopoli oleh lelaki seperti sukan powerlifting perlu mempunyai keyakinan diri dan mengetepikan rasa malu.

"Sebenarnya apabila kali pertama kita di gimnasium tidak perlu merasa malu dan bertanya sahaja kepada orang di sekeliling. Mereka akan membantu.

"Malah, bermula dengan hanya bertegur sapa untuk meminta bantuan dari segi tip atau cara menggunakan alat senaman mampu memulakan hubungan kawan dengan pengguna gimnasium yang lain. Jadi, jangan merasa malu," katanya.

Siti Nur Ayuni berkata, dengan melakukan powerlifting banyak memberi manfaat kepada kesihatan dirinya terutama kecergasan diri.

"Powerlifting ini adalah gabungan kecergasan fizikal dan mental yang perlu selari. Pertama apabila perlu mengangkat beban yang berat, kita perlu mengetahui cara yang betul supaya tidak mengalami kecederaan.

"Belajar dengan orang yang berpengalaman adalah amat penting supaya latihan untuk melakukan powerlifting dapat dilakukan seperti cara membina otot bawah badan," katanya.

Jelasnya, membina otot bawah badan untuk powerlifting amat penting kerana sukan itu memerlukan seseorang itu mempunyai kekuatan di bahagian berkenaan.

BERSAMA ahli keluarga yang sentiasa menyokong minatnya.
BERSAMA ahli keluarga yang sentiasa menyokong minatnya.

"Saya melakukan latihan secara intensif iaitu empat kali dalam seminggu supaya mampu mengekalkan kekuatan otot bawah badan dengan baik.

"Dari segi pemakanan pastinya memerlukan protein yang tinggi supaya badan lebih cepat pulih dan terus membina dan menguatkan otot yang dibina," katanya.

Bercerita mengenai kekuatan mental, Siti Nur Ayuni berkata, kekuatan fizikal sahaja tidak mencukupi untuk seseorang itu melakukan sukan berkenaan kerana mereka juga perlu mempunyai kekuatan mental.

"Apabila mental kita cukup kuat, segala kesukaran ketika berlatih dapat dilakukan tanpa halangan. Selain itu, mental yang kuat juga menjadikan saya lebih berani mencabar diri untuk melakukan pelbagai latihan yang diberikan jurulatih," katanya yang kini masih bergelar pelajar di dalam bidang perakaunan di UiTM, Shah Alam untuk mengikuti peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Akuinya, pembabitan di dalam sukan powerlifting banyak memberi manfaat kepada kehidupan harian seperti mempunyai kekuatan fizikal yang baik.

"Saya mempunyai sasaran apabila sudah melebihi usia 50 tahun masih mampu mengangkat barangan yang berat dan tidak berdepan dengan masalah kesihatan.

"Ini kerana aktiviti powerlifting membantu menguatkan otot dan wanita sebenarnya lebih terdedah dengan masalah tulang yang tidak kuat. Jadi, latihan yang saya lakukan pada hari ini adalah bagi menjadikan saya lebih cergas apabila sudah berusia," katanya.

Siti Nur Ayuni berkata, dia amat menggalakkan lebih ramai wanita menyertai aktiviti kecergasan terutama melakukan sukan powerlifting kerana ia memberi banyak manfaat secara keseluruhan kepada diri.

"Misalnya bercakap mengenai kesihatan mental, aktiviti kecergasan ini membantu menjadikan emosi kita lebih stabil dalam kehidupan harian.

"Ini kerana di dalam latihan di gimnasium pelbagai kesukaran dilalui dan apabila berdepan dengan masalah lain, kita lebih positif dan mudah untuk menyelesaikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 7:00 AM