AKTIVITI kecergasan memberi kesan baik kepada fizikal dan mental.
AKTIVITI kecergasan memberi kesan baik kepada fizikal dan mental.
Hafiz Ithnin


PERTEMUAN dengan wanita berusia 28 tahun ini dalam satu acara membuatkan penulis 'menghidu' bahawa dia mempunyai aura tersendiri dalam aktiviti kecergasan.

Dari tutur kata dan bahasa badan, dapat dijangka pemilik nama Nur Fatin Atheerah Hamdan atau lebih mesra disapa Tyra ini cukup peka dalam menjalani gaya hidup sihat.

"Saya pernah mencecah berat badan 75 kilogram (kg) ketika menuntut di matrikulasi. Jadi, saya faham perasaan mereka yang inginkan berat badan yang ideal," katanya.

Sebenarnya anak kelahiran Kuala Lumpur ini mula aktif dalam aktiviti bersukan sejak menuntut di sekolah menengah terutama dalam sukan bola jaring dan bola keranjang ketika di universiti.

Jelasnya, ketika menuntut di sekolah mempunyai minat dalam aktiviti kecergasan tetapi tidak serius dan hanya menyertai sukan bola jaring kerana fokus kepada bidang akademik.

"Ketika di sekolah rendah ibu bapa saya tidak begitu menggalakkan untuk saya aktif dalam bidang sukan kerana mereka ingin saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik yang lain supaya saya boleh masuk ke sekolah berprestasi tinggi.

"Namun, saya tidak menyalahkan mereka kerana sebagai ibu bapa pastinya mereka inginkan yang terbaik untuk anak-anak. Sehinggalah saya layak masuk ke sekolah asrama penuh baru saya aktif sepenuhnya dalam bola jaring," katanya.

Tyra berkata, bermula dari aktif di dalam bola jaring dia terus menerokai pelbagai aktiviti kecergasan seperti yoga dan kekuatan otot.

 TYRA menjadikan aktiviti kecergasan sebagai kerjaya.
TYRA menjadikan aktiviti kecergasan sebagai kerjaya.

"Sehinggalah pada 2020, saya mula mengambil sijil kejurulatihan tahap satu dan dua untuk lebih serius mendalami bidang kecergasan.

"Saya melihat dengan adanya sijil kejurulatihan ini, saya dapat membantu orang lain untuk melakukan aktiviti kecergasan dengan betul," katanya.

Sejak mempunyai sijil berkenaan dia mempunyai pelbagai pelajar terdiri dari pelbagai peringkat usia yang inginkan gaya hidup sihat sama ada individu mahu pun berkumpulan.

Malah, suri kepada Amir Iqbal Ahmad Tajudin itu juga sebenarnya sudah merancang untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya berbanding ketika ini berkhidmat sebagai penganalisis media sosial di sebuah firma swasta tempatan.

"Dalam masa terdekat ini saya akan meletakkan jawatan kerana saya ingin fokus di dalam bidang ini yang sebenarnya mempunyai peluang kerjaya yang baik.

BERSAMA rakan-rakan yang aktif dalam aktiviti kecergasan.
BERSAMA rakan-rakan yang aktif dalam aktiviti kecergasan.

"Saya boleh katakan ramai individu di luar sana terutama wanita ingin melakukan aktiviti kecergasan dengan cara yang betul kerana mereka bukan sahaja boleh mendapatkan berat badan yang ideal malah menyertai pelbagai kejohanan sukan yang diimpikan seperti larian," katanya.

Katanya, aktiviti kecergasan dilihat sebagai 'candu' yang boleh memberi kebaikan kepada mereka yang mengamalkannya dengan betul.

"Saya melihat aktiviti kecergasan ini perkara yang penting dalam gaya hidup seharian kerana setiap hari kita perlu bergerak.

"Setiap pergerakan yang baik seperti ingin mengangkat barang memerlukan kekuatan otot. Jadi, kita perlu melatih otot supaya menjadi lebih kuat dengan melakukan senaman kepadanya," katanya.

Ditanya mengenai resipi gaya hidup sihatnya kongsi Tyra, antara perkara yang perlu diberi perhatian kepadanya secara peribadi ialah latihan kecergasan, rehat dan penjagaan makanan.

"Setiap hari saya pasti melakukan aktiviti latihan otot seperti yoga selama dua jam. Seminggu dua kali saya akan melakukan aktiviti larian. Setiap minggu sehari atau dua hari wajib untuk berehat daripada melakukan sebarang aktiviti kecergasan kerana ia tempoh penting untuk mengembalikan stamina.

TYRA (kanan) bersama suami.
TYRA (kanan) bersama suami.

"Pada sebelah malam pula jika ada latihan bersama kumpulan untuk persiapan kejohanan bola keranjang saya tidak melakukan aktiviti latihan otot pada sebelah pagi kerana sebelum latihan biasanya kami akan melakukan latihan pemanasan badan," katanya.

Tyra berkata, apabila seseorang itu sudah mengambil langkah pertama untuk menyertai aktiviti kecergasan, mereka akan menjadi 'ketagihan.'

"Perkara ini banyak berlaku kepada pelajar saya kerana aktiviti kecergasan bukan sahaja dapat melatih otot tetapi menjadikan mental kita lebih sihat," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 7:00 AM