ANGELINA tampil ayu berbusana tradisi.
ANGELINA tampil ayu berbusana tradisi.
Nurul Husna Mahmud


Pemenang Mrs Global International 2023, Angelina Jun Ong tidak pernah berasa usianya yang melewati separuh abad sebagai faktor penghalang untuk menyertai pertandingan ratu cantik.

Kata wanita dari Ipoh, Perak itu, dia bertekad mencabar kemampuan diri dengan menyertai pertandingan ratu cantik bermula pada tahun 2017.

"Saya menyertai pertandingan ratu cantik kali pertama pada usia 50 tahun kerana mahu lakukan sesuatu mencabar diri sendiri.

"Minat menyertai pertandingan berorientasikan kecantikan sudah lama, tetapi tidak kesampaian kerana perlu beri laluan kepada kerjaya dan keluarga terlebih dahulu.

"Saya juga seorang ibu tunggal dan memiliki lima anak daripada dua perkahwinan. Selepas bercerai, saya memberi fokus dengan mencari kebahagiaan sendiri dan ingin menggapai impian menjadi ratu cantik," katanya.

Dia yang mesra disapa Angela, melihat pembabitan dalam pertandingan ratu cantik juga memberi inspirasi kepada wanita di luar.

"Sebelum pembabitan ratu cantik, saya aktif dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita Perak Women to Women.

"Saya sering mendengar kisah wanita yang menjadi mangsa penindasan menerusi keganasan rumah tangga atau dibuli. Mereka mudah putus harapan.

ANGELINA mahu beri inspirasi kepada lebih ramai wanita supaya lebih berani.
ANGELINA mahu beri inspirasi kepada lebih ramai wanita supaya lebih berani.

"Penyertaan saya dalam arena ratu cantik yang berjaya mencipta pencapaian tersendiri sehingga ke peringkat antarabangsa diharap memberi dorongan kepada wanita lain termasuklah golongan terkesan itu untuk lebih positif dan berani," katanya.

Dia sendiri berjaya membuktikan impian menjadi ratu masih boleh digapai meskipun permulaan yang lewat.

Angelina turut berkongsi, ada ketika dia pernah diwarnai rasa ragu-ragu kerana tidak yakin bersaing dengan peserta luar.

"Dalam Malaysia sendiri sudah sukar untuk jangka kemenangan berpihak kepada siapa, apatah lagi apabila bertaraf global. Ini kerana kecantikan sangat subjektif.

"Kecantikan tidak hanya dipandang pada luaran tetapi juga dalaman iaitu personaliti dan pembawaan diri yang mampu menarik perhatian juri.

"Kecantikan wanita juga lebih terserlah apabila ada keberanian dan keyakinan diri," katanya.

KELUARGA banyak menyokong minat Angelina.
KELUARGA banyak menyokong minat Angelina.

Dalam sesi penilaian juri termasuklah MRS International 2023 baru-baru ini, kata Angelina, ada tugasan tertentu antaranya, menggayakan beberapa busana perlu dipenuhi peserta selain sesi temubual juri.

"Pertandingan ratu cantik tidak sekadar perlu cantik persis sang ratu, kebijaksaan dan pembawaan diri mereka dinilai supaya dapat mewakili pesona wanita.

"Persaingan lebih sengit di peringkat antarabangsa kerana peserta yang menyertainya terpilih antara wanita tercantik di negara masing-masing.

"Saya sendiri pada mulanya keberatan hendak sertai pertandingan ratu cantik di peringkat antarabangsa.

"Tetapi penganjur rasmi dari Malaysia, Double Event Management memberi kepercayaan dan sokongan membuatkan saya yakin untuk bersaing di pentas antarabangsa," katanya.

Dalam pertandingan kali ini setiap tugasan dinilai dan diteliti juri antarabangsa. Pesaingnya pula adalah wakil luar seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

ANGELINA bersama bapanya yang berbangsa Cina manakala ibunya kacukan Portugis dan Scotland.
ANGELINA bersama bapanya yang berbangsa Cina manakala ibunya kacukan Portugis dan Scotland.

"Cita-cita saya memang tinggi dan mahu pergi sejauh mungkin selagi ada pertandingan ratu cantik yang sesuai dengan saya.

"Perancangan terdekat, saya mahu sertai pertandingan ratu cantik yang bakal berlangsung di Dubai.

"Saya memperkemaskan latihan terutama memperbaiki cara berjalan dan persembahan supaya dapat memberi saingan hebat kepada peserta yang hadir.

"Terdapat tugasan yang berlainan menanti saya di Dubai kerana setiap peserta diminta membuat persembahan bakat untuk diadili juri," katanya yang tidak pernah menyertai pertandingan ratu dengan format terbabit sebelum ini.

ANGELINA tampil ayu berbusana tradisi.
ANGELINA tampil ayu berbusana tradisi.

Rahsia cantik akuinya, dia mengamalkan gaya hidup sihat selain permakanan seimbang supaya kekal cantik.

"Seperti orang lain, saya amalkan gaya hidup aktif seperti berjogging dan senaman pagi kekal langsing serta cantik.

"Pilihan makanan juga perlu seimbang selain pengambilan suplemen yang penting untuk kecantikan dalaman.

"Satu lagi tip penting untuk kekal muda, saya sentiasa pastikan diri tidak stres atau melakukan perkara dapat menenangkan fikiran," katanya.

Sementara itu di masa lapang, wanita itu juga gemar bermain dengan haiwan peliharaannya kerana aktiviti terbabit boleh memberi ketenangan buat dirinya.

"Berinteraksi dengan beberapa haiwan kesayangan membuatkan saya 'relaks' dan berasa sangat bahagia.

"Saya berharap suatu hari nanti saya diberi kesempatan membuka rumah perlindungan untuk haiwan jalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 6:21 AM