WEN Wei memiliki kecantikan unik apabila memiliki darah campuran Cina dan Siam dari sebelah moyangnya yang menetap di Kelantan.
WEN Wei memiliki kecantikan unik apabila memiliki darah campuran Cina dan Siam dari sebelah moyangnya yang menetap di Kelantan.
Nurul Husna Mahmud


KECANTIKAN 'sang ratu' sering dibayangkan memiliki susuk tinggi lampai, kulit putih melepak dengan penampilan elegan pada setiap langkah penuh gemalai.

Meskipun itu antara penilaian yang tipikal dalam setiap pencarian ratu cantik, namun ia tidak semestinya sama.

Memiliki kecantikan unik dengan pesona tersendiri boleh menjadi kelebihan kepada gadis yang memiliki ketrampilan sederhana dalam menonjolkan kelebihan tersendiri ketika menyertai pertandingan berprestij terbabit.

Pengalaman itu dikongsi sendiri Miss International Kuala Lumpur 2022, Yap Wen Wei, yang memiliki kecantikan unik iaitu mewarisi darah campuran Cina dan Siam dari moyangnya yang berasal dari Kelantan.

Wen Wei mengakui calon lain jauh lebih tinggi dan menarik. Namun dia yang berusia 24 tahun itu berkulit sawo matang berbanding anak gadis berbangsa Cina lain yang selalunya memiliki kulit cerah.

Selain itu dia hanya miliki ketinggian biasa bagi standard wanita di Malaysia, tetapi itu tidak menghalang dirinya untuk memberi saingan kepada peserta lain dalam Miss International Malaysia pada tahun ini untuk mewakili Kuala Lumpur.

"Pengalaman saya sendiri dalam perjalanan bergelar ratu cantik Miss International Kuala Lumpur 2022 mencetus idea untuk menganjurkan kempen #BeautyBeyondLabels.

KELUAGA besar Wen Wei yang berbilang kaum.
KELUAGA besar Wen Wei yang berbilang kaum.

"Pembabitan saya bersaing di dunia ratu cantik yang mempunyai penilaian cukup ketat mengenai standard kecantikan selayaknya untuk sang ratu, dilihat salah satu cara saya mempertahankan hak setiap wanita supaya selesa menjadi diri sendiri.

"Saya pernah dikritik ketika bertanding dahulu apabila juri melihat kecantikan saya tidak sesuai untuk menjadi ratu.

"Pada masa sama saya berasa tidak selesa dan kurang keyakinan untuk menjadi diri sendiri. Dari apa yang saya lalui ketika itu, saya berharap wanita di luar sana mampu menyayangi diri mereka seadanya," katanya.

Tambah Wen Wei, pembabitan dia dalam dunia ratu cantik itu juga bermula dengan dorongan pengikut laman media sosialnya yang juga sering mengikuti perkembangan pertandingan ratu cantik.

"Pertandingan ratu cantik ini sebenarnya ada kaitan dalam bidang solekan yang saya minati.

KETIKA membantu mangsa banjir baru-baru ini.
KETIKA membantu mangsa banjir baru-baru ini.

"Saya terlebih dahulu terbabit dalam dunia solekan dan selalu membuat eksperimen sosial di akaun media Instagram untuk mendapat maklum balas daripada rakan media sosial lain.

"Dari situ saya menjadi perhatian kepada sekelompok peminat pertandingan ratu cantik di Malaysia dan mereka menyarankan saya untuk sertai pertandingan berkenaan. Selain itu keinginan untuk mencabar kemampuan dan keyakinan diri menjadi penyebab untuk turut serta pertandingan itu," katanya

Selain kecantikan, kata Wen Wei lagi, disiplin dan komitmen adalah dua elemen penting diterap serta diajar ketika menyertai pertandingan ratu berkenaan.

"Memang terdapat pelbagai cabaran dalam bidang ratu cantik ini, antaranya untuk tampil anggun sentiasa seperti seorang ratu dan setiap aspek persediaan perlu dilakukan dengan sempurna.

"Saya amat bernasib baik dan berterima kasih kerana ramai orang yang membantu. Terutamanya organisasi terdekat saya Miss International Malaysia Kuala Lumpur dan organisasi utama, Miss International Malaysia Organization (MIMO) yang sentiasa sedia membantu.

BERSAMA datuk dan neneknya.
BERSAMA datuk dan neneknya.

"Bagi saya, komitmen dan disiplin adalah ciri-ciri paling penting melayakkan seseorang bertanding dalam dunia glamor. Ini kerana peserta perlu bekerja dengan pelbagai organisasi dan penaja," katanya.

Dia turut mengakui pada awalnya berasa agak canggung untuk kekal elegan setiap masa, tetapi menjaga imej sangat penting kerana itu antara ciri -ciri profesional apabila bidang atau pertandingan itu memerlukan pesertanya bekerja dengan ramai nama besar dalam industri.

"Pertandingan ratu cantik bukan sekadar menang atau kalah, tetapi ia juga satu pengalaman yang berguna dalam hidup peserta.

"Pendedahan kepada setiap pertandingan juga membuka ruang untuk saya bekerja dengan pelbagai jenama besar dan individu hebat dalam industri.

"Namun biasalah hendak kekal imej elegan sepanjang masa itu sangat mencabar. Satu insiden yang lucu dalam pertandingan sebelum ini, saya dan peserta pernah berlari berebut makanan selepas melalui tempoh latihan yang memenatkan. Hilang semua ciri-ciri elegan kerana lapar," katanya sambil ketawa.

Kata Wen Wei yang juga mahasiswi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Sains Perkomputeran dan Teknologi Multimedia dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, pembabitan dalam pertandingan ratu cantik mendapat restu dan sokongan padu daripada keluarga tercinta.

WEN Wei (dua dari kanan) bersama peserta pusingan akhir Miss International Malaysia 2022.
WEN Wei (dua dari kanan) bersama peserta pusingan akhir Miss International Malaysia 2022.

"Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang tiada sebarang latar belakang dalam bidang ratu cantik. Penyertaan saya ini memecah tradisi dalam keluarga apabila menjadi individu pertama menyertai pertandingan kecantikan.

"Pada awalnya saya bimbang mendapat tentangan daripada keluarga tetapi sebenarnya mereka sangat memahami.

"Sampai ke hari ini mereka adalah tulang belakang dan penyokong utama termasuklah membantu dalam persiapan pertandingan," katanya.

Tidak lupa asal usulnya termasuklah memiliki darah moyangnya yang berasal dari etnik Siam menetap tetap di Kelantan, kata Wen Wei, faktor itu turut membantu sikap keterbukaan terhadap ahli keluarga yang berlainan agama dan budaya.

Saya berasa bangga kerana lahir dalam keluarga memiliki darah campuran yang membawa unsur keharmonian dalam kekeluargaan.

"Keadaan ini juga mendidik kami untuk mengamalkan pemikiran yang terbuka di mana keluarga saya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama hasil perkahwinan campur.

"Atas sebab itu juga setiap kali saya meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga, kami sering adakan rumah terbuka yang berlainan atau berasingan untuk keluarga serta kenalan Muslim dan bukan Muslim.

"Cara ini kami dapat meraikan perayaan ini dengan semua orang. Tahun ini juga istimewa kerana menjadi tahun pertama saya dan keluarga menyambut Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur berbanding selalunya di Kelantan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 7:02 AM