PERTANDINGAN ratu busana tradisional mengangkat seni warisan dalam kalangan muda.
PERTANDINGAN ratu busana tradisional mengangkat seni warisan dalam kalangan muda.
Nurul Husna Mahmud


ADA pelbagai cara untuk meraikan keindahan dan kecantikan budaya serta warisan sesuatu bangsa.

Salah satunya menerusi pentas peragaan. Bayangkan sang ratu melangkah gemalai sambil memperagakan busana tradisi dan pastinya imej itu kekal di memori.

Menyaksikan 'keindahan' sebegitu membuatkan sesiapa sahaja mudah terpegun, sekali gus kesenian dalam persalinan tradisi dikagumi mereka.

Pendekatan itu dibawa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila menjadikan Pertandingan Ratu Busana Tradisional Melayu sebagai sebahagian daripada agenda dalam Karnival Petaling Jaya Folklore 2022 baru-baru ini.

Bagi Affina Yusri yang juga penuntut Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Melaka Malaysia (UTeM), pendekatan itu menyemai 'sifat ingin tahu' dan menjiwai karakter.

Kata gadis berusia 21 tahun itu, busana songket digayakan ketika acara itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ia antara persalinan warisan.

"Songket ini adalah busana milik ibu pereka dan dipakai ketika majlis perkahwinan.

"Persalinan songket ini cukup istimewa apabila warna merah yang 'garang' tampak menonjol dengan benang emas menjadi kemasan motif terbabit.

"Boleh dikatakan saya tidak perlu 'try hard' untuk menyerlah di pentas kerana pakaian yang dikenakan pada tubuh mampu menaikkan aura dan pesona pemakai," katanya.

Tidak bermakna Affina tidak perlu bekerja keras dalam pertandingan Ratu Busana Tradisional Melayu yang julung kali dianjurkan MBPJ.

ANTARA busana tradisi yang digayakan peserta.
ANTARA busana tradisi yang digayakan peserta.

AFFINA dengan pesona busana songket.
AFFINA dengan pesona busana songket.

"Saya berlatih 'catwalk' dan tidur awal sebelum hari pertandingan kerana mahu tampil cergas dan cantik.

"Meskipun pertandingan ratu cantik tradisional ini acara baru sahaja diperkenalkan MBPJ, namun peserta yang menyertai bukan calang-calang.

"Ada antaranya pernah memenangi pertandingan lebih berprestij. Malah, mereka memiliki kru profesional dan berpengalaman," katanya.

Dia tidak menyangka apabila berjaya berada di kedudukan ketiga terbaik dalam senarai 40 ratu yang mengambil bahagian.

Pereka yang memenangi kategori rekaan busana, Shaiful Sazli Hairee berkata, kebarung Pahang yang disediakan pada saat akhir tidak sangka memberi tuah dalam pertandingan terbabit.

"Saya terima pelawaan untuk sertai pertandingan hanya tiga hari sebelum acara berlangsung. Saya berfikiran untuk guna busana sedia ada.

"Namun, apabila memutus untuk mengenakan pada model atau ratu dipilih mewakili pasukan kami, ukuran tidak sepadan, malah lebih mencabar tidak boleh diubah suai.

"Saya terus ambil keputusan beli kain dan terus jahit. Model yang mengambil bahagian sempat lakukan sesi suai padan baju dan kerja perincian dilakukan selepas itu.

"Alhamdulillah rekaan berjaya disiapkan dan saya menyerahkan rekaan baju kepada jurusolek pada malam hari sebelum hari pertandingan," katanya.

Katanya, dia perlu bijak mengolah elemen tradisi dan mainan warna sepadan dengan pesona ratu yang beraksi.

"Saya memilih gaya kebarung Pahang kerana ratu yang melaramnya seorang yang tinggi.

MENGIKTIRAF kreativiti belakang tabir apabila jurusolek antara golongan yang dinilai.
MENGIKTIRAF kreativiti belakang tabir apabila jurusolek antara golongan yang dinilai.

PEMENANG terima hadiah wang tunai.
PEMENANG terima hadiah wang tunai.

"Memberi warna muda dan menonjol, warna dipilih oren pekat dan dipadankan dengan kain pelikat oren bersulam emas. Ditambah lagi dengan selendang sebagai penyeri," katanya turut memuji usaha MBPJ yang memberi ruang kepada pereka busana tradisi berkarya.

Sementara itu, Pembantu Tadbir Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan MBPJ, Yusnita Md Shaari berkata, pihaknya terharu dengan sambutan dan komitmen diberikan peserta untuk semua kategori dalam pertandingan berkenaan.

"Kami tidak menjangka dapat sambutan sangat menggalakkan apabila penganjuran kali pertama mendapat penyertaan 40 kumpulan yang datang serata Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Menunjukkan busana tradisi masih memiliki kumpulan peminat besar dalam kalangan muda dan ia menunjukkan usaha kami untuk memupuk kecintaan terhadap adat dan warisan berjaya dicapai.

"Pentingnya pertandingan ratu format sebegini kerana ia membentuk imej penampilan yang lebih sesuai dengan masyarakat kita terutama menekankan adab dan kesantunan wanita timur," katanya.

Dalam pertandingan itu hadiah untuk tiga kategori dinilai iaitu kategori model, kategori jurusolek dan pereka busana, pemenangnya menerima hadiah berupa wang tunai selain tiada yuran penyertaan dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 7:01 AM