SINDROM Terlupa Anak boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. - FOTO Pexels
SINDROM Terlupa Anak boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. - FOTO Pexels
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kejadian seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang maut akibat tertinggal hampir 10 jam dalam kereta ibunya di kawasan parkir sebuah hospital di ibu negara baru-baru ini benar-benar menyentuh hati masyarakat.

Namun, kes yang dikaitkan dengan Sindrom Terlupa Anak (Forgotten Baby Syndrome) itu bukan kejadian yang pertama kali berlaku di Malaysia, malah kerap kali dilaporkan termasuk di seluruh dunia.

Ia bukan membabitkan isu kecuaian semata-mata kerana boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira pekerjaan atau keadaan.

Begitupun, apa yang berlaku bukan sekadar untuk ditangisi, tapi ia juga secara tidak langsung menjadi peringatan untuk diri sendiri.

Menurut Perunding Keibubapaan yang juga Pengasas Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar, kebanyakan kes ibu bapa tertinggal anak dalam kereta adalah disebabkan perubahan ataupun gangguan pada rutin seharian ibu bapa yang terbabit.

Selain itu, ada juga kes di mana tidak menjadi kebiasaan bagi si ayah atau si ibu menghantar bayi atau anak kecil ke pusat jagaan atau pengasuh.

Oleh itu, mereka memandu mengikut laluan biasa ke tempat kerja, berada pada mode 'autopilot' tanpa berfikir.

Kata Noor Afidah, penyelidikan dalam bidang neurosains kognitif mendapati bahawa perkara itu berlaku disebabkan kegagalan sistem memori.

Menurutnya, ada dua jenis memori pada manusia iaitu memori prospektif dan memori kebiasaan (habit).

"Dengan memori prospektif, ibu bapa perlu ingat secara sedar untuk melakukan sesuatu tugasan yang selama ini tidak menjadi satu kebiasaan.

"Manakala dengan memori kebiasaan pula, ibu bapa melakukan sesuatu secara 'autopilot' ataupun tanpa perlu mengingat kerana ia sudah menjadi rutin.

"Sekiranya sistem memori prospektif gagal, ibu bapa bertindak mengikut memori kebiasaan pada mode 'autopilot,' kegagalan itu boleh disebabkan faktor keletihan, stres atau pun bebanan tugas yang perlu dipikul," katanya.

IBU bapa perlu sentiasa peka mengenai keberadaan anak dan saling ingat-mengingati antara pasangan. - FOTO Pexels
IBU bapa perlu sentiasa peka mengenai keberadaan anak dan saling ingat-mengingati antara pasangan. - FOTO Pexels

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Noor Afidah berkata, Sindrom Terlupa Anak berlaku apabila ayah atau ibu secara tidak sengaja tertinggal bayi atau anak kecil dalam kenderaan yang berkunci.

Jelas Noor Afidah, ia berlaku apabila si ayah atau ibu memfokuskan pada tugasan hadapan dan bukan tugasan yang perlu dilakukan pada waktu berkenaan iaitu menguruskan bayi yang berada dalam kenderaan.

"Sindrom itu dimudaratkan lagi apabila bayi tidur atau dalam keadaan diam dalam kenderaan. Ini kerana tiada isyarat mengingatkan ayah atau ibu mengenai kewujudannya dalam kenderaan berkenaan," katanya.

Bagi membantu ibu bapa, Noor Afidah berkata, ada beberapa tip yang boleh dipraktikkan bagi mengelakkan terlupa anak di kerusi belakang kenderaan.

Antaranya, jadikan kebiasaan untuk memeriksa tempat duduk hadapan dan belakang sebelum meninggalkan kenderaan.

"Amalan itu memerlukan latihan dari hari pertama membawa bayi pulang dari hospital.

"Walaupun bunyinya agak rumit ataupun membuang masa, tetapi amalan yang menjadi kebiasaan itu dapat menyelamatkan nyawa," katanya.

Selain itu, Noor Afidah berkata, jika bayi berada di tempat duduk belakang kenderaan, pastikan barangan keperluan bayi diletakkan di kerusi hadapan bersama barang keperluan peribadi ayah atau ibu.

Langkah itu bertujuan mengingatkan ayah atau ibu kewujudan anak mereka dalam kenderaan apabila mengambil barang peribadi berkenaan.

Kata Noor Afidah lagi, ibu bapa juga perlu elakkan dari menjawab panggilan atau mesej pada telefon terutama yang berkaitan pekerjaan kerana ia boleh menghilangkan fokus pada anak yang ada bersama-sama.

ELAKKAN menjawab panggilan telefon terutama berkaitan pekerjaan kerana ia boleh menghilangkan fokus pada anak. - FOTO Pexels
ELAKKAN menjawab panggilan telefon terutama berkaitan pekerjaan kerana ia boleh menghilangkan fokus pada anak. - FOTO Pexels

"Selain itu, ada banyak alat penggera elektronik di pasaran sekarang dan boleh dipasang dalam kenderaan untuk mengingatkan ayah atau ibu mengenai anak mereka yang berada dalam kenderaan.

"Selain itu, aplikasi peringatan juga boleh dimuat turun ke telefon bimbit sebagai peringatan akan perubahan rutin," katanya.

Tambah Noor Afidah lagi, ibu bapa juga boleh mengesyorkan kepada taska atau tadika berkenaan sistem peringatan.

Katanya, aturkan supaya pihak berkenaan supaya menghubungi ibu bapa sekiranya anak tidak dihantar pada waktu sepatutnya.

"Langkah itu bukan sahaja dapat mengelakkan kejadian yang berkaitan 'Forgotten Baby Syndrome', malah sekiranya berlaku kemalangan atau kecelakaan lain," katanya.

Sementara itu, Noor Afidah berkata, sindrom itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira pekerjaan ataupun tahap sosioekonomi.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk ibu bapa tidak mengambil langkah berjaga-jaga terutama apabila berlaku perubahan pada rutin seharian mereka.

Kata Noor Afidah lagi, ibu bapa perlu sentiasa peka mengenai keberadaan anak dan saling ingat-mengingati antara pasangan.

"Kita tidak boleh menutup mulut orang dari berkata-kata dan melabel, tetapi dalam keadaan sebegini empati sangat diperlukan dalam masyarakat.

"Namun, kesedaran perlu sentiasa diwujudkan dalam masyarakat supaya semua ibu bapa sentiasa mengambil pengajaran dari insiden yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 7:01 AM