JANGAN sebar video, gambar kanak-kanak di medsos sesuka hati elak jadi ejeken, kecaman.
JANGAN sebar video, gambar kanak-kanak di medsos sesuka hati elak jadi ejeken, kecaman.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


NIAT pada awalnya mungkin hanya mahu berkongsi kegembiraan atau perkara positif perihal kanak-kanak namun apabila tersebar di media sosial, lain pula jadinya.

Ada yang dikecam netizen, ada yang tanpa sedar menjadi mangsa buli alam siber dan ada sesetengah kanak-kanak pula boleh menjadi mangsa ejekan rakan di sekolah.

Demikian antara risiko yang perlu dihadapi kanak-kanak jika ibu bapa, penjaga mahu pun guru memuat naik gambar mereka di laman sosial tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Perunding Keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar berkata, kanak-kanak sememangnya tidak berdaya untuk mempertahankan diri, justeru ibu bapa, penjaga mahu pun guru sebagai orang dewasa bertanggungjawab untuk melindungi mereka.

Kata Noor Afidah, perkembangan dunia teknologi hari ini menyebabkan ramai yang berlumba-lumba memuat naik sesuatu di laman sosial termasuk gambar kanak-kanak.

FOTO seorang kanak-kanak sekolah rendah yang sedang menikmati makanannya dalam mangkuk tingkat di kelasnya yang tular.
FOTO seorang kanak-kanak sekolah rendah yang sedang menikmati makanannya dalam mangkuk tingkat di kelasnya yang tular.

Namun katanya, ramai yang kurang berwaspada dengan kesan jejak digital iaitu apa sahaja yang dimuat naik di laman sosial akan kekal selama-lamanya.

"Bayangkan, jika suatu hari nanti kanak-kanak berkenaan terlihat dan membaca pelbagai komen negatif serta kecaman terhadap gambarnya di media sosial yang dimuat naik individu yang sepatutnya melindunginya, apa perasaannya?

"Bagaimana pula jika kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa ejekan dan ditertawakan di sekolah akibat sikap tidak bertanggungjawab orang dewasa yang memuat naik gambarnya di laman sosial?

"Semua itu antara risiko yang perlu dihadapi kanak-kanak atas kealpaan kita sebagai orang dewasa dalam melindungi mereka," katanya kepada Harian Metro.

KESELAMATAN kanak-kanak di sekolah tanggungjawab pihak sekolah.
KESELAMATAN kanak-kanak di sekolah tanggungjawab pihak sekolah.

Menurut Noor Afidah, risiko berkongsi gambar kanak-kanak oleh orang dewasa khususnya ibu bapa di laman sosial atau istilahnya, 'sharenting' turut dibincangkan di negara barat yang selama ini terkenal dengan perlindungan ketat mereka terhadap hak kanak-kanak.

Di Malaysia katanya, pendedahan masyarakat terhadap isu keselamatan kanak-kanak di media sosial masih kurang dan ia perlu ditangani dengan sewajarnya.

"Jangan disebabkan keterujaan kita berkongsi di laman sosial, kanak-kanak yang menjadi mangsa.

"Dalam hal ini, jangan fikir keadaan kita sebagai orang dewasa atau hak ibu bapa sahaja malah emosi dan perasaan mereka (anak) juga perlu diambil kira.

BAYANGKAN perasaan kanak-kanak berkenaan jika terlihat dan membaca pelbagai komen negatif serta kecaman terhadap gambarnya di media sosial.
BAYANGKAN perasaan kanak-kanak berkenaan jika terlihat dan membaca pelbagai komen negatif serta kecaman terhadap gambarnya di media sosial.

"Elakkan kanak-kanak daripada menjadi mangsa ejekan, kecaman dan bahan jenaka di laman sosial selain lindungi mereka dengan sebaiknya," katanya.

Bagi membantu mengatasi masalah itu, Noor Afidah turut menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mengeluarkan garis panduan dan arahan lebih tegas kepada guru serta pihak sekolah dalam isu penyebaran gambar bagi melindungi kanak-kanak ketika berada di sekolah.

Ini kerana setiap gambar kanak-kanak di dalam kelas yang disebarkan, kebanyakan sumbernya adalah daripada guru atau pihak sekolah itu sendiri.

"Dalam setiap gambar yang dimuat naik guru di laman sosial peribadi contohnya, tanpa disedari ia mungkin berisiko menjejaskan keselamatan kanak-kanak itu sendiri.

"Mungkin keluarganya mempunyai masalah dan kanak-kanak berkenaan juga memerlukan perlindungan daripada individu tertentu.

KANAK-KANAK perlu dilindungi.
KANAK-KANAK perlu dilindungi.

"Untuk itu, arahan yang lebih tegas adalah perlu demi menjaga privasi kanak-kanak kerana mereka juga mempunyai hak ke atas diri mereka sendiri," katanya.

Berkongsi pengalaman ketika keluarganya menetap di London sebelum ini, Noor Afidah berkata, dia pernah meminta gambar anaknya yang menyertai perkhemahan sekolah daripada guru tetapi mereka terlebih dahulu membuat tapisan sebelum diberikan kepadanya.

Bagaimanapun, hanya gambar anaknya yang diterima, bukan gambar anaknya bersama rakan-rakan atau berkumpulan.

NOOR AFIDAH ABU BAKAR
NOOR AFIDAH ABU BAKAR

Katanya, guru di sana tidak boleh sesuka hati menyebarkan gambar kanak-kanak tanpa persetujuan ibu bapa atau penjaga.

"Ini kerana kerajaan United Kingdom sangat tegas dalam aspek perlindungan dan hak kanak-kanak.

"Pihak sekolah hanya boleh memuat naik gambar pelajar di laman sesawang rasmi itu pun jika mendapat keizinan ibu bapa atau penjaga.

"Situasi itu memang jauh bezanya di Malaysia di mana banyak gambar kanak-kanak (ketika berada di sekolah) disebarkan di laman sosial tanpa sebarang kawalan, " katanya.

Sementara itu, baru-baru tular foto seorang kanak-kanak sekolah rendah yang sedang menikmati makanannya di dalam mangkuk tingkat di kelasnya.

Ia mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, ada yang menjadikan gambar itu sebagai bahan jenaka dan tidak kurang pula ada yang mengecamnya.

Meskipun ibu kanak-kanak itu sudah tampil membuat penjelasan namun gambar berkenaan sudah disebarkan dan tidak mustahil, ia kekal sampai bila-bila di laman sosial.

Pesan Noor Afidah, ibu bapa dan guru harus mempertimbangkan kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada kanak-kanak sekiranya ingin memuat naik sesuatu mengenai kanak-kanak itu di media sosial.

"Ini kerana anak-anak kita membesar dalam dunia yang jauh berbeza daripada kita dahulu. "

"Justeru, kita perlu belajar bagaimana untuk membesarkan dan melindungi mereka dalam dunia yang serba mencabar hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 6:40 AM