GIGI bayi tumbuh seawal usia enam bulan dan lengkap pada usia tiga tahun.
GIGI bayi tumbuh seawal usia enam bulan dan lengkap pada usia tiga tahun.
Hafiz Ithnin


BAGI ibu bapa yang baharu mendapat cahaya mata pastinya tidak sabar untuk melihat perkembangan si kecil yang membesar dengan sihat dan comel.

Menunggu saat si kecil memiliki gigi pertama juga antara yang amat dinantikan. Mungkin ada juga yang tidak tahan melihat keletah si kecil yang sentiasa 'terliur' apabila melihat orang dewasa menjamu makanan.

Pensyarah Pergigian Jabatan Pergigian Pediatrik dan Ortodontik, Fakulti Pergigian dari Universiti Malaya, Dr Noorhidayah Zainal Aalam berkata, penjagaan gigi bayi adalah salah satu tugas yang penting selepas anda bergelar ibu bapa.

"Bayi anda akan mempunyai 20 batang gigi susu yang mula tumbuh seawal usia enam bulan dan lengkap tumbuh pada usia tiga tahun.

"Kadangkala, gigi susu boleh tumbuh ketika bayi dilahirkan atau selepas baharu sahaja dilahirkan. Jangan risau, hanya satu peratus bayi yang dilahirkan dengan keadaan ini," katanya.

Jelasnya, jika ia berlaku, bayi dirujuk kepada pakar pergigian pediatrik yang akan memberi nasihat dan rawatan jika perlu.

Katanya, pertumbuhan gigi adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya mendatangkan kebimbangan kepada ibu bapa.

"Bagaimanapun, sesetengah bayi akan mengalami ketidakselesaan pada gusi dan menjadi resah selain merengek pada sebelah malam ketika gigi baharu hendak tumbuh.

"Bayi anda mungkin akan cenderung untuk 'mengunyah' jari atau mainan dan air liur dirembeskan secara berlebihan," katanya.

Pakar itu berkata, demam juga sering dikaitkan dengan pertubuhan gigi baharu. Sekiranya berlaku, bawa anak berjumpa doktor perubatan untuk mengesahkan tiada masalah kesihatan lain yang lebih serius.

MERENGGEK dan rasa resah ketika gigi baharu tumbuh perkara biasa dalam kalangan bayi.
MERENGGEK dan rasa resah ketika gigi baharu tumbuh perkara biasa dalam kalangan bayi.

"Anda juga boleh menggunakan 'teething ring' yang sudah disejukkan untuk meredakan ketidakselesaan gusi anak anda," katanya.

Katanya, ibu bapa boleh mula memberus gigi bayi sebaik sahaja gigi pertama bayi tumbuh. Gunakan berus gigi yang lembut dan kecil supaya ia menjadi suatu kebiasaan.

"Berus gigi bayi sekerap dua kali sehari dengan menggunakan ubat gigi yang mengandungi sekurang-kurangnya 1,000 part per million (ppm) florida.

"Bayi anda hanya memerlukan secalit ubat gigi pada permukaan berus gigi sehingga usia bayi tiga tahun. Selepas usia tiga tahun, gunakan ubat gigi sebesar kacang pis," katanya.

Dr Noorhidayah berkata, pada peringkat ini, ubat gigi yang mengandungi 1,000 hinga 1,500 ppm florida perlu digunakan untuk mencegah gigi berlubang.

"Berus gigi bayi setiap pagi dan malam sebelum tidur. Elakkan memberi anak anda makanan atau minuman selepas memberus gigi pada sebelah malam kerana ia tidak baik untuk kebersihan gigi pada waktu tidur," katanya.

Jelasnya, tidak semua bayi suka gigi mereka diberus. Jadi ibu bapa perlu teruskan mencuba dengan jadikan diri anda sendiri sebagai contoh memberus gigi dan tunjukkan kepada anak anda ia adalah rutin harian serta aktiviti yang menyeronokkan.

"Cara paling mudah untuk memberus gigi bayi adalah dengan meletakkan bayi atas riba membelakangi anda, dengan kepala bayi berada atas dada.

"Dongak kepala bayi sedikit dan berus gigi anak anda menggunakan gerakan bulatan kecil, merangkumi semua permukaan gigi. Galakkan anak untuk meludah selepas memberus gigi," katanya.

PENJAGAAN gigi pada peringkat awal bayi amat penting untuk si kecil bebas jangkitan.
PENJAGAAN gigi pada peringkat awal bayi amat penting untuk si kecil bebas jangkitan.

Nasihatnya, tidak perlu berkumur kerana ia akan membuang fluorida yang terdapat dalam ubat gigi. Jika si kecil sudah mahu memberus gigi mereka sendiri, anda perlu mengawasi mereka sehingga usia tujuh tahun.

"Pastikan mereka tidak menjilat atau menelan ubat gigi berlebihan kerana ia menyebabkan florosis yang akan mengganggu pembentukan gigi kekal.

"Penjagaan pemakanan bayi adalah sama penting dengan kebersihan gigi. Di awal usia, susu ibu adalah nutrisi terbaik untuk bayi," katanya.

Tambahnya, selepas bayi berusia enam bulan, pemberian susu melalui cawan boleh diperkenalkan supaya penggunaan botol susu dapat diberhentikan sebelum usia satu tahun.

"Hadkan juga pemberian makanan dan minuman hanya ketika waktu makanan utama, terutama satu jam sebelum waktu tidur. Galakkan anak meminum air kosong selepas usia enam bulan," katanya.

Katanya, bawa anak anda berjumpa doktor gigi seawal gigi pertama yang tumbuh. Mengikut kebiasaan, gigi kacip bawah akan tumbuh dahulu diikuti gigi kacip atas.

"Doktor gigi akan memeriksa kesihatan gigi dan gusi anak anda dan akan memberikan nasihat penjagaan pergigian yang berkaitan.

"Lakukan lawatan ke klinik gigi sebelum hari jadi bayi anda yang pertama dan sekurang-kurangnya setahun sekali sehingga dia dewasa," katanya.

Dr Noorhidayah turut berkata, penjagaan gigi dari peringkat awal sangat dititikberatkan supaya si kecil bebas sebarang jangkitan dan risiko yang boleh disebabkan gigi berlubang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 7:00 AM