MEMENANGI tempat pertama Pertandingan Pakaian Kostum Kreatif.
MEMENANGI tempat pertama Pertandingan Pakaian Kostum Kreatif.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SENTUHAN dan idea kreatif wanita ini menghasilkan kostum bertemakan nasi lemak membawa tuah kepadanya apabila memenangi tempat pertama Pertandingan Pakaian Kostum Kreatif, anjuran Balai Seni Negara, baru-baru ini.

Malah Nurul Atiqah Ramli,35, sanggup mengeluarkan kos perbelanjaan lebih banyak daripada hadiah kemenangan bagi menyiapkan kostum itu semata-mata mahu memenuhi minatnya.

Nurul Atiqah yang juga seorang pemain cosplay berkata, dia sangat menyukai perkara unik dan menterjemahkan idea kreatif melalui penghasilan kostum.

Tambahan pula, dia berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dan merasakan satu kerugian sekiranya tidak mengembangkan bakat hasil seni kreatifnya melalui penghasilan kostum terbabit.

"Saya memilih kostum bertemakan nasi lemak kerana ia melambangkan identiti Malaysia dan juga makanan kegemaran rakyat negara ini.

"Di samping itu, tema pakaian ini pernah digayakan seorang wanita yang mewakili Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2017 daripada hasil rekaan pereka terkenal tanah air.

NURUL Atiqah bersama anak buahnya Muhammad Affan Mikhail
NURUL Atiqah bersama anak buahnya Muhammad Affan Mikhail

"Ini memberi idea kepada saya untuk menghasilkan kostum nasi lemak yang bersesuaian dan mematuhi syariah," katanya.

Wanita berasal dari Perak ini berkata, dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkan kostum berkenaan yang lengkap dengan hiasan telur mata, ikan bilis, kacang tanah, timun, nasi, sambal dan daun pisang.

Katanya, dia membelanjakan RM300 untuk melengkapkan kostum kreatifnya itu bagi pertandingan berkenaan.

"Sudah lama saya berhasrat untuk menyertai pertandingan kostum kreatif tetapi kebanyakan pertandingan sebelum ini tidak terbuka kepada golongan dewasa berusia lebih 30 tahun.

"Selepas menerima kiriman WhatsApp daripada rakan mengenai pertandingan ini, tanpa berfikir panjang menyertainya.

PROSES menghasilkan replika ikan bilis.
PROSES menghasilkan replika ikan bilis.

BAHAN yang jadikan sebagai hiasan kacang tanah.
BAHAN yang jadikan sebagai hiasan kacang tanah.

"Saya berkongsi minta yang sama dengan anak buah Muhammad Affan Mikhail berusia enam tahun yang turut sama menyertai pertandingan ini dan dia memenangi tempat ketiga bagi kategori kanak-kanak.

"Saya turut menghasilkan kostum nasi lemak untuk anak buah dan dia (anak buah) sangat teruja menyertai pertandingan berkenaan," katanya.

Nurul Atiqah berkata, selepas ini dia akan aktif menyertai pertandingan seperti itu kerana boleh mengeluarkan lebih banyak idea kreatif untuk menghasilkan fesyen kostum yang menarik.

"Saya juga berasa seronok apabila menerima banyak reaksi positif daripada rakan mengenai hasil kerja seninya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 7:00 AM