NIK Mohd Hafiz dan jurusolek, Muhammad Asyraf Sulaiman suaikan penggayaan mengikut imej dan pilihan busana. FOTO Aziah Azmee
NIK Mohd Hafiz dan jurusolek, Muhammad Asyraf Sulaiman suaikan penggayaan mengikut imej dan pilihan busana. FOTO Aziah Azmee
Nurul Husna Mahmud


Rekaan busana bermotifkan ikan laga atau Betta Fish cukup cantik digayakan model cilik, Noor Adelynn Raisya Mohd Nassir, 8.

Apatah lagi murid Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur itu tampak selesa dan yakin mengenakan busana yang lengkap dengan dandanan rambut dan solekan sepadan.

Penampilan itu dikira tidak berlebihan selain serasi dengan imej anak gadis berkenaan yang tampak begitu manis dan sopan dalam kostum Hari Kebangsaan digayakan.

Potongan busana yang mengambil inspirasi ikan itu dilihat memberi efek yang sewajarnya dalam interpretasi kecantikan dan melambangkan keindahan 'Jalur Gemilang' menerusi satu rekaan baju.

Menurut perekanya, Mohd Noor Zikry Abdul Muin yang lebih dikenali dengan nama komersial Ayiey Zikry, cabaran menghasilkan kostum Hari Kebangsaan terutama untuk digayakan model genit adalah mengenai kesesuaian potongan yang dapat menonjolkan keterampilan mereka.

"Ramai menyangkakan pereka kostum untuk digayakan dalam acara atau pertandingan seperti Hari Kebangsaan tidak kisah rekaan yang cacamarba atau berwarna-warni.

"Kadangkala penampilan busana itu kelihatan keterlaluan bagi seorang kanak-kanak. Andaian penggunaan warna menonjol boleh menjadikan anak itu sendiri satu tumpuan dan kelebihan adalah tidak tepat.

"Idea sebaiknya, kenal pasti dahulu bahagian potongan yang boleh dihasilkan untuk membuatkan model tampil cantik tanpa perlu ada perincian dan sarat pelbagai warna.

"Untuk koleksi seperti kostum Hari Kebangsaan bagi tahun ini, saya gunakan garapan empat warna pada bahagian tertentu menerusi perincian aksesori tambahan," katanya.

Aksesori tambahan yang dimaksudkan Ayiey Zikry ialah hiasan bermotifkan bunga ros untuk disematkan pada bahagian tertentu sebagai perincian tambahan baju.

MODEL cilik, Nor Adelynn Raisya yakin dengan gayanya. FOTO Aziah Azmee
MODEL cilik, Nor Adelynn Raisya yakin dengan gayanya. FOTO Aziah Azmee

"Bagaimana saya interpretasikan empat warna Jalur Gemilang pada rekaan yang asalnya diambil daripada inspirasi ikan laga putih berekor merah ialah dengan membuat kuntuman bunga hiasan daripada fabrik untuk jadi perincian pada baju.

"Warna bunga itu yang terdiri daripada kuning, biru, merah dan putih mengikut warna bendera Malaysia. Ia disusunkan mengikut siluet atau potongan aliran baju, sekali gus memberi kekuatan kepada keterampilan gadis penuh sopan," katanya.

Biarpun dalam penghasilan kos

tum meraikan kreativiti pereka, akui Ayiey Zikry, pendiriannya biar rekaan dihasilkan masih mempunyai elemen fesyen berkelas tinggi.

"Bagi saya yang sudah empat tahun aktif menghasilkan busana untuk diperagakan kanak-kanak, masih ada prinsip atau amalan tertentu dalam rekaan setiap baju.

LAKAR sebelum kerja menghasilkan kostum dimulakan.
LAKAR sebelum kerja menghasilkan kostum dimulakan.

"Saya lebih sukakan rekaan baju yang tidak terlalu sarat, tetapi ada kemasan atau perincian yang dapat menonjolkan pemakainya. Saya akan hasilkan baju mengikut model yang ingin gayakan baju terbabit.

"Ia perlu sesuai dengan figura dan personaliti. Tidak lupa juga untuk suntik elemen yang mampu menyuntik aura 'comel' pada anak-anak seperti mainan warna terang dan fabrik kain jaring dengan potongan kembang," katanya.

KERJA melakar pola baju kostum kanak-kanak antara yang mencabar kerana saiznya kecil.
KERJA melakar pola baju kostum kanak-kanak antara yang mencabar kerana saiznya kecil.

Untuk busana kali ini, pereka yang turut memiliki butik pengantin di Jitra, Kedah itu menggunakan material fabrik dua muka atau 'two faces' yang sering digunakan dalam penghasilan baju nikah untuk pengantin.

AYIEY Zikry
AYIEY Zikry

"Kain ini antara fabrik terbaharu dalam pasaran. Dua-dua permukaan kain boleh digunakan untuk menghasilkan baju. Kalau individu itu mahu gaya yang lebih menonjol, boleh gunakan bahagian kain yang licin.

"Jika mereka sukakan gaya lebih sederhana, sebelah kain yang tidak berkilat untuk hasilkan baju. Untuk rekaan kostum saya gunakan elemen berkilat sesuai untuk pertandingan atau acara.

"Kain ini juga selesa untuk dipakai kanak-kanak kerana materialnya tidak terlalu tebal dan selesa. Berbanding material yang menampilkan efek sama seperti satin yang dikatakan panas dan tidak selesa digayakan kanak-kanak," katanya.

Pada 2019, pereka itu pernah menghasilkan dua kostum Hari Kebangsaan dengan mengambil inspirasi burung kakaktua spesies Macaw sebagai rekaannya.

Sementara itu, bagi jurugaya peragaan cilik, Nik Mohd Hafiz Afandi berkata, dalam pertandingan kostum cilik, selain pilihan baju dan aksesori, solekan juga antara elemen penting dalam membentuk imej kanak-kanak.

REKAAN kostum Hari Kebangsaan pada 2019 mengambil inspirasi burung kakaktua Macaw. FOTO Aziah Azmee
REKAAN kostum Hari Kebangsaan pada 2019 mengambil inspirasi burung kakaktua Macaw. FOTO Aziah Azmee

"Sebenarnya anak-anak boleh dilatih dan mereka ini juga perlu selesa dengan pakaian. Saya bersetuju dengan Ayiey mengenai baju dan aksesori untuk kostum tidak semestinya perlu terlalu sarat sehingga 'menenggelamkan' pesona model.

"Sebaliknya baju dan aksesori selain solekan perlu mengutamakan sesuatu yang disukai model cilik. Kami

yang selalu hasilkan rekaan akan juga tanya pada model sama ada mereka suka atau tidak dengan baju dihasilkan.

"Ini penting untuk beri rasa yakin dan model selesa menggayakan baju itu apabila mereka berada di pentas atau sesi bergambar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 7:01 AM