EMISOUL mewarisi ilmu masakan nasi lemak bersambal ikan bilis serta telur goreng cara tradisional daripada kedua arwah ibu bapanya.
EMISOUL mewarisi ilmu masakan nasi lemak bersambal ikan bilis serta telur goreng cara tradisional daripada kedua arwah ibu bapanya.
Rosman Shamsudin

Sungkai: Meskipun nasi lemak yang dijual hanya bersambalkan ikan bilis dan telur goreng namun perniagaan terbabit yang diasaskan oleh bekas askar British berpengkalan di luar negara tetap menjadi pilihan orang ramai sejak 32 tahun yang lalu.

Selepas tamat perkhidmatan sebagai askar British di Singapura, Allahyarham Md Yusop Mohd Nor dan isterinya, Allahyarhamah Mariam Dewal pulang ke Kampung Menderang, Sungkai bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Ketika pulang ke tanah air, Md Yusop bekerja pula sebagai pemandu ambulans di Hospital Tapah kira-kira 20 tahun manakala isterinya menjadi suri rumah sepenuh masa.

Anak sulung daripada lima beradik yang dilahirkan di Singapura, Emisoul Md Yusop, 57, berkata, arwah ayah dan ibunya mula berniaga nasi lemak selepas ayahnya bersara sebagai pemandu ambulans.

Menurutnya, ketika itu ayah dan ibu hanya menggunakan kereta tolak roda tiga yang dipinjam daripada saudara untuk mengangkut nasi lemak dari rumah ke pekan Sungkai yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari rumah.

"Selepas tamat belajar di Akademi Alam Malaysia (Alam) di Melaka , saya bekerja sebagai tukang masak di salah sebuah syarikat perkapalan antarabangsa dan selalu belayar keluar negara.

"Berbekalkan pengalaman sebagai tukang masak , saya mengambil kesempatan membantu ibu dan ayah memasak dan menjual nasi lemak ketika bercuti di sebuah warung yang terletak di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.

"Ketika itulah juga, saya mempelajari cara memasak nasi lemak dan sambal ikan bilis cara tradisional dari mereka berdua," katanya ketika ditemui, dekat sini.

WALAUPUN hanya nasi lemak bersambal ikan bilis dan telur goreng namun kekal menjadi pilihan orang ramai sejak 32 tahun yang lalu.
WALAUPUN hanya nasi lemak bersambal ikan bilis dan telur goreng namun kekal menjadi pilihan orang ramai sejak 32 tahun yang lalu.

Selepas ibunya meninggal dunia pada tahun 2015 disusuli ayahnya pula dua tahun kemudian, dia mengambil keputusan berhenti bekerja sebagai tukang masak di kapal perairan antarabangsa.

Sejak itu, gerai nasi lemak berkenaan diuruskan oleh dia bersama adiknya, Mohd Hazlal, 54, yang dikenali sebagai Yusoff Jr Corner dengan nama baharu namun tetap mengekalkan mutu dan rasa masakan nasi lemak ala kampung atau tradisional.

Menurutnya, arwah ibu dan ayah amat menitikberatkan mutu dan rasa masakan nasi lemak dan penyediaan nasi serta sambal berkenaan dan mesti mengikut resipi dan proses yang cukup teliti.

Katanya, baru sekarang, dia memahami kenapa ketika mempelajari cara memasak nasi lemak dan sambal, kedua arwah ibu dan ayah memang menekan perkara terbabit selepas melihat perniagaan nasi lemak berkenaan boleh bertahan sehingga sekarang.

"Walaupun saya ketika itu sudah bergelar ketua tukang masak, namun ketika membantu kedua arwah ibu bapa menyediakan nasi lemak dan sambal, mereka tetap mahu saya mengikut cara mereka menyediakan masakan terbabit.

"Sekarang barulah saya memahami tujuan sebenar kedua arwah ibu bapa mahu saya memasak nasi lemak dan sambal dengan cara mereka dengan adunan dan resipi yang cukup teliti," katanya.

Dia yang sudah berumahtangga dan mempunyai lima anak lelaki mengakui walaupun mempelbagaikan menu jualan, namun nasi lemak bersambal ikan bilis dan telur goreng tetap menjadi pilihan utama pelanggan.

Katanya, inilah berkat ilmu yang dipelajari daripada kedua arwah ibu bapanya dan kini menjadi sumber mata pencarian utama untuk menyara kehidupan beliau sekeluarga.

GERAI Yusoff Jr Corner di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur sentiasa dipenuhi pelanggan terutama cuti hujung minggu.
GERAI Yusoff Jr Corner di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur sentiasa dipenuhi pelanggan terutama cuti hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 8:01 AM