PAKAI pakaian yang sesuai untuk menunggang.
PAKAI pakaian yang sesuai untuk menunggang.
Lizam Ridzuan


Golongan wanita kini semakin ramai menunggang motosikal sama ada berkuasa rendah ataupun tinggi untuk tujuan ke tempat kerja atau konvoi pada hujung minggu.

Tanpa mengambil kira apa juga jenis motosikal, aspek dan teknik menunggang, ciri-ciri keselamatan perlu sentiasa diutamakan.

Ketua Pengurus Royal Enfield Petaling Jaya dan Pengajar Pengendalian Motosikal, Rusydi Razali berkata, untuk menikmati tunggangan yang lebih baik penunggang wanita perlu mengenakan pakaian yang sesuai.

Potongan jaket dan seluar untuk wanita adalah berbeza dengan lelaki. Ia boleh dibeli di kedai menjual aksesori selain pakaian menunggang penting bukan sahaja untuk tampil gaya malah dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang baik melindungi kaki, lengan dan badan.

"Ciri-ciri keselamatan paling utama ialah topi keledar perlulah sentiasa dipakai dan ia juga perlu diukur mengikut saiz kepala bagi memberi lebih keselesaan ketika menunggang," katanya.

Sebelum memulakan perjalanan jauh atau berjalan di kawasan lalu lintas yang sibuk, ambil masa untuk berlatih di kawasan lapang atau kawasan yang tiada kenderaan terlebih dahulu.

"Ini penting untuk meningkatkan kemahiran dengan memulakan atau menghentikan motosikal, mengawal kelajuan dan membuat pusingan bagi menambah keyakinan serta keselesaan yang diperlukan ketika berada di atas jalan raya.

"Setiap daripada kita perlu tahu dan menunggang motosikal yang sesuai dengan corak tunggangan masing-masing sama ada mementingkan kelajuan, selesa ataupun untuk jarak jauh.

TINGKATKAN kemahiran diri.
TINGKATKAN kemahiran diri.

"Mulakan dengan memilih motosikal yang sesuai mengikut keperluan dan tahap kemahiran seperti motosikal jenis 'sport' mungkin kelihatan menarik, tetapi untuk penunggang baru mungkin sesuai memilih motosikal jenis moped (cub) atau skuter yang lebih stabil serta mudah dikawal," katanya.

Tambahnya lagi, ketika menunggang motosikal golongan wanita harus tidak panik dan sentiasa tenang untuk memulas pendikit serta pastikan jarak yang selamat dengan kenderaan lain.

Sebelum memulakan tunggangan, pastikan motosikal dalam keadaan yang baik dan selamat terutama keadaan tayar yang masih berbunga serta ia sentiasa diservis mengikut jadual.

"Sekiranya badan tidak sihat adalah tidak digalakkan sekali untuk menunggang terutama jika mengambil sebarang ubat-ubatan kerana boleh mengakibatkan rasa mengantuk.

"Pastikan juga ketika menunggang penglihatan perlu jelas dan baik untuk keselamatan terutama ketika sebelah malam atau kabus," katanya.

Rusydi juga menyarankan kepada wanita supaya sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran diri sama ada melalui bacaan atau menyertai kursus kemahiran menunggang anjuran pihak-pihak yang terbabit.

MOPED dan skuter sesuai untuk penunggang baharu dan lama.
MOPED dan skuter sesuai untuk penunggang baharu dan lama.

"Tidak dilupakan, setiap penunggang perlu memiliki lesen menunggang yang sah dan ia terbahagi kepada dua kelas iaitu B2 bagi motosikal di bawah 250cc dan B untuk 250cc ke atas.

"Menerusi panduan ini, diharap semua penunggang wanita dapat menikmati pengalaman menunggang motosikal dengan lebih yakin dan selamat.

"Kemahiran memerlukan masa dan kesabaran, jadi berikan diri anda peluang untuk terus meningkatkan kemahiran diri dan selamat menikmati dunia motosikal dan menjelajah ke lokasi-lokasi yang menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 6:20 AM