SKUTER mudah untuk ditunggang.
SKUTER mudah untuk ditunggang.
Lizam Ridzuan


SUASANA pandemik dengan kebiasaan baharu mewujudkan peluang sumber pendapatan lain melalui perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal (P-Hailing).

Ramai yang mula menjadi 'rider' sama ada menghantar makanan atau barangan runcit melalui aplikasi penyedia perkhidmatan penghantaran.

Permintaan untuk motosikal juga meningkat dan rekod daripada Persatuan Pengilang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM) menunjukkan jumlah pengeluaran keseluruhan (TIV) motosikal di negara ini pada tahun lalu berjumlah 516,868 unit.

Kira-kira 74 peratus daripadanya adalah moped (cub) dan 20 peratus adalah skuter. Selebihnya motosikal berkuasa tinggi dan lain-lain kategori.

Selain moped yang mendominasi, skuter juga dilihat menjadi pilihan kerana menawarkan enjin dengan transmisi automatik (CVT) yang melancarkan lagi tunggangan serta responsif.

Vroom minggu ini memaparkan enam pilihan skuter di bawah harga RM6,000 yang terdapat dalam pasaran tempatan untuk pilihan sama ada menunggang ke tempat kerja atau urusan harian lain.

YAMAHA Ego Avantiz.
YAMAHA Ego Avantiz.

Yamaha Ego Avantiz

Skuter yang diperkenalkan pada 2016 ini menampilkan rekaan yang sporty dan menarik serta antara yang menyerlah dalam pasaran tempatan.

Dijana enjin 125cc Blue Core, sejukan udara empat lejang SOHC, dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) ia menghemburkan kuasa 9.4 kuasa kuda (hp) pada 8,000rpm dan tork 9.6Nm pada 5,500rpm.

Rekaan lampu hadapan LED elemen futuristik menyerlahkan penampilannya.

Ia turut dilengkapi brek cakera hadapan, rekaan ekzos bergaya selain ruang simpanan bawah tempat duduk 14 liter.

Berat keseluruhannya ialah 96 kilogram (kg) dan tangki bahan apinya pula berkapasiti 4.2 liter.

Harga jualan asas Yamaha Ego Avantiz ialah RM4,873 (atas jalan tanpa insurans).

YAMAHA Ego Solariz.
YAMAHA Ego Solariz.

Yamaha Ego Solariz

Biarpun berkongsi enjin dengan kuasa yang sama dengan Ego Avantiz, namun terdapat beberapa ciri yang membezakan keduanya.

Ego Solariz memasuki pasaran tempatan pada 2017 dengan saiz dan spesifikasi yang sedikit rendah untuk pilihan kepada pembeli dengan bajet masing-masing.

Perbezaannya membabitkan lampu hadapan halogen, ruang simpanan dan pelana yang sedikit kecil serta rekaan lampu belakang yang berbeza.

Namun ia motosikal yang sesuai buat penunggang baru kerana saiznya yang tidak terlalu besar dan hanya seberat 94kg.

Ia mudah dikendalikan dengan transmisi automatik manakala kapasiti tangki bahan apinya ialah 4.2 liter.

Harga jualan asas untuk Solariz ialah RM4,634 (atas jalan tanpa insurans).

HONDA Beat.
HONDA Beat.

Honda Beat

Ia dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2016 dan sasarannya ialah pelajar dan penuntut.

Model Serba Bahru pula diperkenalkan pada 2020 dengan ciri-ciri yang dipertingkatkan.

Ia dijana enjin 110cc sistem pembakaran suntikan bahan api terancang (PGM-FI) dengan kuasa 8.7hp pada 7,500 rpm dan tork maksimum 9.53Nm pada 5,500 rpm.

Ia datang dengan transmisi automatik CVT, tangki bahan api 4.2 liter dan skuter ini menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ruang storan bawah tempat duduk 11.7 liter boleh memuatkan barangan keperluan seperti baju hujan namun tidak boleh memuatkan topi keledar.

Ia dijual pada harga RM5,555 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer, yang mana lebih dahulu.

WMOTO ES125.
WMOTO ES125.

WMoto ES125

Skuter yang mula diperkenalkan pada awal tahun ini dilengkapi ciri termaju dan rekaan menarik.

Ia dijana enjin 118.8cc dengan kuasa 8hp pada 7,500rpm dan tork 9.5Nm pada 6,000rpm dengan transmisi CVT.

Skuter dengan berat 95kg dan kapasiti bahan api tiga liter ini sesuai untuk perjalanan dalam bandar atau jarak dekat.

Ruang simpanan di bawah tempat duduk berkapasiti sembilan liter dan dilengkapi port pengecasan USB di kokpit serta dua laci simpanan.

Pencahayaan lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) antara elemen terkini yang ditawarkan.

Ia dijual pada harga RM4,888 untuk Special Edition dan RM4,588 untuk Standard.

SYM Mio 110.
SYM Mio 110.

Sym Mio 110

Sebuah skuter comel dengan rekaan sentuhan klasik dan berciri moden. Sekali pandang, sesuai buat tunggangan remaja dan wanita.

Namun ia didatangkan dengan ciri terkini seperti lampu belakang dan membelok LED, meter digital LCD, pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk dan laci simpanan mini.

Ia dikuasakan dengan enjin 111cc, silinder tunggal sejukan udara empat lejang yang menjana 7.4hp pada 7,500 rpm dan tork 7.3Nm pada 5,500rpm.

Ia dijana enjin suntikan bahan api dengan kapasiti 5.2 liter dan transmisi automatik CVT.

Skuter ini seberat kira-kira 93kg. Sym Mio 110 dijual pada harga RM5,688 (atas jalan tanpa insurans).

Model ini sudah dihentikan pengeluarannya pada 2020 dan hanya tinggal baki dalam pasaran sahaja untuk dimiliki.

MODENAS Karisma.
MODENAS Karisma.

Modenas Karisma

Sejak dilancarkan pada 2016, Modenas Karisma 125 mempunyai kelebihan tersendiri yang ditawarkan untuk sebuah skuter.

Walaupun tiada pengenalan model baharu selepas itu sehingga tamat pengeluarannya pada 2019, namun masih terdapat lagi model stok lama baharu (NOS) dijual.

Ia dikuasakan dengan enjin 124.6cc, 4 lejang, silinder tunggal yang menjana 9.4hp pada 7,500rpm dan tork 9.0Nm pada 5,000rpm.

Tangki bahan apinya berkapasiti 4.6 liter, jentera pula seberat 113kg selain transmisi CVT.

Sistem bahan api masih menggunakan karburator yang mana kebanyakan motosikal kini sudah menggunakan sistem suntikan bahan api (FI).

Ciri menarik lain ialah ia dilengkapi pengecas USB, sistem kunci berpusat, brek cakera hadapan serta ruang simpanan bawah tempat duduk 17 liter.

Modenas Karisma dijual pada harga RM5,250 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:40 AM