Lizam Ridzuan


YAMAHA NVX Baharu.
YAMAHA NVX Baharu.

SKUTER ini mula diperkenalkan pada 2017 dan ketika itu, ia menawarkan rekaan gaya sporty serta ciri prestasi sesuai untuk mobiliti urban.

Pada 2021, diperkenalkan pula model baharu dengan kemasan terkini yang turut dipertingkatkan dengan elemen teknologi pintar.

Vroom berpeluang menunggang uji model Yamaha NVX Baharu untuk menguji kesesuaian ciri terkini yang ditawarkan.

Untuk model 2021, ia ditawarkan menerusi dua varian iaitu Standard dan ABS (seperti unit tunggang uji ini).

Melihat kepada rekaan luaran antara yang membezakannya ialah pada bahagian fairing hadapan yang kini sedikit lebar selain aerodinamik.

Tempat meletak kakinya juga lebih selesa. Lampu utama LED bercirikan lampu pilot selain rekaan baharu lampu belakang.

Kapasiti tangki bahan api dipertingkatkan kepada 5.5 liter untuk jarak perjalanan sehingga 200 kilometer (km).

Yamaha NVX juga model termaju dalam kelasnya dengan ciri Y-Connect. Ia ciri pertama untuk motosikal Yamaha di negara ini.

Ciri aplikasi keterhubungan telefon disediakan membolehkan pemilik mendapat maklumat berkaitan jadual penyelenggaraan, notifikasi telefon bimbit, keadaan bateri, penggunaan dan makluman masalah teknikal motosikal daripada telefon bimbit.

Ia juga memaparkan catatan jarak penggunaan bahan api setiap kilometer (km).

Senarai kedudukan (ranking) pemilik NVX yang mencatatkan penggunaan bahan api paling efisiem juga dipaparkan yang diambil daripada daftar penggunaan menerusi aplikasi Y-Connect model ini dari seluruh dunia.

Selain itu, aplikasi ini juga membolehkan pemilik mengenalpasti kedudukan lokasi skuter ini diparkir bagi memudahkan pemantauan dan ciri keselamatan.

POSISI menunggang skuter gaya moped.
POSISI menunggang skuter gaya moped.

Untuk prestasi, ia didatangkan dengan enjin 155cc silinder tunggal 4 lejang SOHC dengan teknologi Blue Core menjana kuasa 15.4PS pada 8,000 rpm dan 13.9Nm pada 6,500rpm.

Dilengkapi transmisi automatik CVT, ia mengekalkan kelancaran kuasa menerusi teknologi VVA (Variable Valve Actuation) untuk mengekalkan prestasi pada pelbagai kelajuan dan bahan api efisien.

Untuk varian ABS seperti unit tunggang uji ini, ia didatangkan dengan sistem mula dan henti yang boleh dinyah aktif.

Menambah ciri keselamatan tambahan, NVX baharu ini dilengkapi lampu kecemasan.

SISTEM brek cakera dengan ABS.
SISTEM brek cakera dengan ABS.

PANEL meter LCD dengan aplikasi Y-Connect.
PANEL meter LCD dengan aplikasi Y-Connect.

Suspensi belakang pula dengan 'sub-tank' menambah kestabilan dan prestasi redaman lebih baik jika melewati jalan tidak rata selain selekoh.

Suspensi hadapan fork teleskopik disertakan dengan brek cakera tunggal 230 milimeter (mm) hidraulik dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Ruang simpanan bawah tempat duduk boleh memuatkan sebuah topi keledar dan baju hujan.

ENJIN VVA dengan Teknologi Blue Core
ENJIN VVA dengan Teknologi Blue Core

SISTEM kunci pintar.
SISTEM kunci pintar.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat, skuter NVX baharu ini terus mengekalkan gaya skuter ranggi dan sporty sesuai bagi kegunaan urban dengan reka bentuknya yang moden.

Pergerakan dalam bandar termasuk mencelah dalam kesesakan juga mudah dilakukan kerana saiznya yang kompak.

Sistem kunci pintar, meter digital LCD dengan keterhubungan Y-Connect menjadikan ia sebagai skuter termaju yang boleh dimiliki.

Sebagai skuter dengan ciri Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan enjin VVA dan Blue Core, ia juga sesuai bagi jarak perjalanan sederhana jauh.

Corak tunggangan sporty dengan kedudukan posisi seperti menunggang moped pada sebuah skuter antara ciri uniknya, terutama buat golongan muda.

Empat pilihan warna ditawarkan iaitu merah dan cyan untuk model Standard dan Platinum SE dan GP Blue untuk varian ABS.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha NVX Baharu ABS dijual pada harga RM10,888 manakala Standard pada harga RM9,298 dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 6:12 AM