JENTERA lumba untuk kegunaan di jalan raya.
JENTERA lumba untuk kegunaan di jalan raya.
Mohd Razlan Salleh

Jentera dua roda atau motosikal sememangnya menjadi kenderaan utama sebilangan besar masyarakat negara ini.

Rata-rata dalam kalangan masyarakat terutama lelaki pasti pernah menunggang atau sekurang-kurangnya memiliki sebuah motosikal untuk kegunaan ke tempat kerja dan sebagainya.

Bagi mereka yang berkemampuan, motosikal berkuasa tinggi pasti menjadi pilihan selain jentera moped atau skuter untuk tunggangan harian.

Walaupun berbeza kelas dan kapasiti enjin, penunggang motosikal memiliki satu persamaan iaitu kepuasan tunggangan.

Berikut beberapa model motosikal yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan terutama golongan muda dan peminat dua roda.

BMW R 1200 GS

Motosikal kategori kembara ini menjadi pilihan utama penunggang yang gemarkan aktiviti berkonvoi termasuk mereka yang sukakan perjalanan jauh dan lasak.

BMW R 1200 GS menggunakan enjin Boxer dwisilinder DOHC yang menawarkan 125 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 125Nm.

Oleh kerana gaya dan kuasanya yang besar, model ini dijual pada harga bermula RM116,900 oleh BMW Motorrad Malaysia.

Honda Gold Wing

Model kembara popular buatan Jepun ini lebih eksklusif berbanding BMW R 1200 GS Adventure yang lasak.

Pada mulanya, ia dibina di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat (AS) sebelum pengeluaran dihentikan pada 2010 dan diteruskan semula di Kumamoto, Jepun, setahun kemudian.

Honda Gold Wing berjaya meraih pelbagai anugerah permotoran sehingga mencuri perhatian peminat jentera dua roda seluruh dunia.

Dengan enjin 1,832cc, ia mampu menghamburkan 118hp dengan daya tujah 167Nm.

Harley-Davidson

Jika anda seorang peminat motosikal, jenama popular AS ini tidak perlu diperkenalkan lagi.

Hadir dengan ‘pakej gaya hidup’ yang tersendiri, jenama ini sangat digemari individu yang pentingkan keunikan dan deruman jentera tanpa memikirkan mengenai kuasa enjin.

Antara model popular termasuklah Street, Sportster, Iron, Fat Boy, Night Rod dan Street Glide.

Kawasaki Versys

Salah satu gergasi motosikal Jepun ini tidak mahu ketinggalan menghasilkan jentera berkuasa tinggi yang praktikal untuk kelas pertengahan.

Tidak dinafikan pelancaran model Versys 650 dan Versys 1000 di pasaran tempatan mencetuskan satu fenomena luar biasa terhadap peminat motosikal berkuasa tinggi.

Faktor reka bentuk yang sporty dan paling penting harganya yang kompetetif menyebabkan model ini sangat popular dalam kalangan masyarakat tempatan.

KAWASAKI Versys berkuasa tinggi mampu milik.
KAWASAKI Versys berkuasa tinggi mampu milik.

Yamaha YZF-R1

Model kategori superbike ini tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan peminat motosikal tempatan.

Dianggap antara motosikal paling berkuasa dalam kelasnya, YZF-R1 mempunyai auranya tersendiri termasuk keupayaan menguasai litar dalam sebarang perlumbaan di seluruh dunia.

Model ini dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris 998cc DOHC 16 injap titanium yang menghamburkan 182hp manakala tork maksimum 103.3Nm.

Honda CBR 1000RR

Model ini yang juga dipanggil ‘The Rabbit’ dalam kalangan mat motor adalah pesaing bagi jentera Yamaha YZF-R1.

Juga dikenali sebagai Fireblade di Eropah, CBR 1000RR dikuasakan enjin empat silinder sebaris 998cc 16 injap DOHC menawarkan 171hp bersama 106.2Nm tork.

Sejak diperkenalkan di pasaran dunia pada 2004, model CBR sudah mengalami pelbagai perubahan enjin dan kosmetik sehingga menjadi idaman peminat motosikal yang gemarkan kelajuan.

‘THE Rabbit’ yang mengancam.
‘THE Rabbit’ yang mengancam.

Yamaha RX-Z 135

Motosikal dua lejang ini adalah yang paling disukai mereka yang baru mula berjinak dalam dunia permotoran.

Digelar ‘The Boss’ kerana kuasa pecutannya di jalanan, jentera ini digerakkan enjin dua lejang 133cc menawarkan kuasa 14.2 PS sementara tork 12Nm sudah cukup untuk menguasai jalan raya.

Walaupun pengeluarannya sudah dihentikan pada 2011 berikutan piawaian ketat berkaitan alam sekitar dan digantikan dengan model FZ150i, RX-Z masih memiliki peminatnya yang tersendiri selain disimpan sebagai kenangan.

Yamaha 135 LC

Moped penyejuk cecair ini boleh dianggap motosikal paling berjaya dalam kelasnya apabila sentiasa merekodkan jualan tertinggi setiap tahun.

Model ini didatangkan bersama enjin 134cc dengan kuasa maksimum 8.93kW dan tork 11.79Nm.

Selain enjin yang lebih besar, sistem penyejuk cecair membolehkan jentera ini sesuai digunakan untuk perjalanan jauh atau mengharungi kesesakan jalan raya.

MOPED terawal dengan sejukan cecair.
MOPED terawal dengan sejukan cecair.

Yamaha Y15ZR

Pelancaran jentera ini mencetuskan satu fenomena baru dalam dunia kapcai apabila menjadi buruan penunggang sebagai motosikal pertama mereka.

Hadir dengan pelbagai ciri unik dan reka bentuk sporty, tidak hairan model ini mencatatkan satu lagi angka jualan yang membanggakan.

Model ini dijana enjin empat lejang sejukan cecair SOHC menawarkan kuasa maksimum 11.3kW dan tork 13.8Nm.

YAMAHA Y15ZR cetus revolusi.
YAMAHA Y15ZR cetus revolusi.

Honda RS150R

Pesaing bagi Yamaha Y15ZR mula dilancarkan di Vietnam pada 2016 sebelum ke Indonesia nama Supra GTR manakala di negara ini, model berkenaan dikenali sebagai RS150R.

Dibekalkan dengan enjin 150cc DOHC dengan 15.4hp dan tork maksimum 13.5Nm, RS150R adalah jentera terbaik untuk kegunaan harian.

Dengan padanan grafik seakan-akan jentera pasukan MotoGP, moped ini sentiasa mendapat perhatian belia untuk memilikinya.

Honda EX-5

Terkenal dengan ketahanan enjin dan penjimatan bahan api, ternyata EX-5 sukar ditewaskan pesaing lain.

Walaupun bentuknya dianggap ketinggalan zaman, namun dengan kelebihan yang ada, ‘bentuk petak’ bukan satu halangan untuk memilikinya.

Model kesinambungan daripada siri Honda Cup 70 ini sudah bertapak di negara ini sejak 1987 manakala angka jualan keseluruhan sudah melebihi sejuta unit.

MOTOSIKAL jimat minyak dan tahan lasak.
MOTOSIKAL jimat minyak dan tahan lasak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 9:40 AM