PERANTI sistem keyless.
PERANTI sistem keyless.
Lizam Ridzuan


MESKIPUN ia adal ah skuter saiz pertengahan, namun keseronokan tunggangan yang ditawarkan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Kelebihan itu sudah pasti menjadikan ia motosikal Mobiliti Urban yang bergaya dengan sentuhan prestasi premium.

Vroom Metro Ahad berpeluang menunggang uji jentera BMW C 400 GT itu yang dilancarkan di Malaysia pada awal tahun ini oleh pengedarnya, BMW Motorrad Malaysia.

Selain model ini, terdapat juga sebuah lagi skuter iaitu C 400 X yang dilancarkan bersama sesuai untuk ‘wira urban’ yang dibezakan dari segi reka bentuk dan penggayaan.

LAMPU hadapan LED penuh.
LAMPU hadapan LED penuh.

Rekaan model C 400 GT dilihat lebih menarik dengan gaya skuter ‘maxi’ versi Gran Turismo.

Ia dilengkapi lampu hadapan berkembar LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) selain jelas dalam sebarang cuaca serta mudah dilihat kenderaan lain.

Lampu belakang turut bercirikan LED. Skuter ini juga didatangkan dengan lampu kecemasan dan lampu pancaran (flash) melalui suis pada pemegang sebelah kiri.

Cermin pelindung angin pula membantu penunggang ketika perjalanan di lebuh raya bagi mengelak angin dan hujan mengenai dada untuk lebih keselesaan.

Selain itu, platfrom meletak kaki tiga posisi memberikan keselesaan pada kedudukan kaki penunggang pada pelbagai kelajuan.

Tempat duduk hadapan dan belakang yang terpisah dengan penyandar pinggang berserta tulisan GT, sangat membantu terutama ketika melakukan perjalanan jarak jauh.

Namun antara yang paling mencuri tumpuan ialah instrumen meter TFT bersaiz 6.5 inci dengan ‘BMW Motorrad Multi-Controller’ bagi memudahkan carian seperti maklumat berkaitan teknikal motosikal, jadual servis dan meter trip.

RUANG simpanan pintar ‘Flexicase’.
RUANG simpanan pintar ‘Flexicase’.

Ia juga boleh disambungkan ke telefon pintar melalui aplikasi ‘BMW Connected’ untuk menjawab panggilan telefon, mendengar muzik atau fungsi navigasi.

Sebagai skuter, ia juga menyediakan ruang simpanan bawah tempat duduk yang dilengkapi lampu dan ‘Flexicase’ iaitu konsep simpanan pintar dengan elemen praktikal.

Rekaan dan ciri termaju tambah sempurna dengan prestasi enjin 350cc silinder tunggal Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) menjana kuasa 35 hp pada 7,500 rpm dan tork maksimum 36Nm pada 6,000 rpm.

Menjanjikan kelancaran berterusan pada pelbagai kelajuan sama ada dalam bandar atau lebuh raya ini menjadikan ia kelebihan untuk motosikal dalam kuasa sebegini.

Pecutan maksimum boleh mencecah sehingga 145 kilometer/sejam (km/j) dan gegaran tidak terlalu terasa melalui lengan ayun ‘Drivetrain Torsional’ serta Kawalan Kestabilan Automatik (ASC) untuk keselamatan daripada tergelincir.

BMW Motorrad Multi-Controller.
BMW Motorrad Multi-Controller.

Fungsi ini mengehadkan tork pacuan pada enjin bergantung pada keadaan permukaan jalan raya serta suspensi teleskopik.

Ia turut dilengkapi lengan hayun aluminium berkembar dengan dwispring larasan prabeban untuk redaman lebih baik.

Brek cakera hadapan berkembar dan tunggal di belakang dengan angkup Bybre untuk Sistem Brek Antikunci (ABS) menambah keyakinan penulis untuk memberhentikan skuter ini dengan lebih stabil.

Rim hadapan bersaiz 15 inci dengan saiz tayar 120/70, manakala belakang 14 inci 150/70 amat sesuai kerana ia selesa untuk penunggang terutama ketika melewati bonggol jalan, laluan tidak rata selain mantap ketika mengambil selekoh.

Secara keseluruhan, skuter BMW C 400 GT ini menawarkan gaya premium serta ciri praktikal sesuai untuk kegunaan harian ke tempat kerja atau menjelajah pada hujung minggu.

Malah ia juga sesuai digunakan untuk ditunggang ke kedai di kawasan perumahan, solat di surau atau minum di kedai mamak tanpa perlu ‘dress up’ terlalu serius.

SUDUT bahagian lampu belakang
SUDUT bahagian lampu belakang

Cukup dengan gaya kasual dan jaket, anda boleh memulakan tunggangan dengan mudah dan ringkas, namun tetap bergaya dengan lencana jentera BMW.

Ciri penghidup enjin tanpa kunci, mengunci pemegang, membuka tangki bahan api serta peranti anti kecurian adalah ciri premium tersedia untuk skuter ini.

Laci simpanan hadapan berkembar dengan pelapik getah yang terkunci mengikut kunci utama dengan penyambung pengecas USB disediakan di dalamnya untuk kemudahan pemilik sangat membantu walaupun kecil.

Skuter ini mampu menjelajah sehingga 300 kilometer dengan mengisi penuh bahan api dianggarkan sebanyak 13 liter.

BMW C 400 GT terbaharu ditawarkan menerusi tiga warna iaitu Putih Apline, Kelabu Moonwalk dan Hitam Storm.

Ia dijual pada harga bermula RM48,500 dengan jaminan pengeluar tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:15 AM