Lizam Ridzuan


TIDAK dinafikan pasaran motosikal di negara kita mempunyai potensi yang cukup besar apabila tahun lalu mencatatkan rekod jualan tertinggi sebanyak 671,386 unit adalah kenaikan 36.4 peratus yang pernah dicatatkan empat tahun lalu.

Rakyat Malaysia terutama di bandar besar memilih untuk menggunakan motosikal sebagai opsyen bagi menghindari kesesakan jalan raya selain industri penghantaran (p-hailing) yang semakin meluas permintaannya.

Maka untuk itu Yamaha sebagai pendahulu pasaran motosikal di Malaysia sering melancarkan model baharu bagi disesuaikan dengan keperluan permintaan pasaran terutama moped (cub).

Vroom berkesempatan menunggang uji motosikal Yamaha EZ115 Serba Baharu yang dilancarkan baru-baru ini adalah yang pertama untuk 2023 oleh Hong Leong Yamaha Motors (HLYM) sebagai pengedar utamanya di Malaysia.

Untuk rekaan, meskipun ramai yang memberikan pandangan berbeza, namun motosikal ini tetap tampil gaya sporty dengan ciri rekaan tersendiri bagi menggantikan model Yamaha Lagenda 115Z yang sudah dihentikan pengeluarannya.

Penulis menunggangnya dalam kehidupan seharian, melalui jalan bandar dan lebuh raya selain posisi yang santai ia juga selesa dengan tempat duduk yang ergonomik pada ketinggian 775 milimeter (mm).

Ia juga dengan meter yang dilengkapi indikasi ECO, kedudukan gear, bateri, meter kelajuan dan tahap tangki bahan api yang mudah dilihat pada sebarang cuaca.

Lampu utamanya juga lebih cerah terutama menunggang pada waktu malam selain ia dilengkapi lampu 'position' yang akan menyala sebaik kunci dihidupkan.

GAYA rekaan terkini.
GAYA rekaan terkini.

Pada bahagian fairing hadapan terdapat lampu membelok dan bahagian belakang dengan lampu utama serta membelok yang terpisah yang kesemuanya adalah halogen.

Ia juga dengan rim tetuang lima jejari dan ekzos berwarna hitam yang dipandakan dengan tiga pilihan warna motosikal iaitu cyan (seperti unit tunggang uji ini), merah dan biru.

Untuk kemudahan, penghidup elektrik dan jenis tendang terdapat padanya bagi kelancaran penunggang untuk memulakan perjalanan.

Ia juga dengan brek cakera hadapan dan belakang gelendung bagi keselamatan membrek dengan lebih baik.

Sebagai penunggang motosikal, penulis menggemari ruang simpanan bawah tempat duduk yang terdapat pada EZ115 yang boleh dibuka dengan mudah menerusi kunci utama untuk memuatkan barang-barang kecil seperti baju hujan atau beg pinggang.

ENJIN 114cc dengan transmisi empat kelajuan.
ENJIN 114cc dengan transmisi empat kelajuan.

Menyentuh mengenai tunggangan ia dikuasakan dengan enjin 114 cc, silinder tunggal, sejukan udara, empat lejang, suntikan bahan api (FI) SOHC yang menjana kuasa 8.7PS pada 7,000 rpm dan tork 9.5Nm pada 7,000 rpm.

Menerusi gear empat kelajuannya jenis rotary adalah lancar selain mudah bagi pertukaran gear terutama ketika mengharungi kesesakan jalan raya dalam bandar.

Enjin ini juga adalah sebab utama EZ115 ini diperkenalkan bagi mematuhi piawaian Euro 4 yang juga ketetapan oleh Kerajaan Malaysia untuk pengeluar motosikal.

Kelajuan maksimum yang dicatatkan oleh penulis dengan berat 80 kilogram (kg) ialah sekitar 110 kilometer/sejam (km/j) namun ia agak lincah pada laluan motosikal serta jarak pendek.

Menerusi kerangka backbone dan suspensi hadapan telskopik dan belakang lengan ayun, adalah selesa ketika menempuhi laluan tidak rata, garisan putih tebal jalan raya selain stabil pada selekoh dengan berat jentera sekitar 98kg.

Paling utama ia menawarkan penggunaan bahan api yang efisien dengan satu tangki penuh 3.9 liter mampu bergerak lebih 150 km yang mana penulis sering memulas pendikit pada kelajuan maksimum dan jika menggunakan pada tunggangan biasa sudah pasti ia mampu pergi lebih jauh.

Secara keseluruhannya EZ115 dengan reka bentuk motosikal dengan gaya bahasa baharu Yamaha masih mengekalkan ciri tunggangan yang selesa dan suntikan ciri prestasi.

Penawaran ini juga lebih efisien daripada segi penggunaan bahan api sesuai buat model permulaan motosikal Yamaha di Malaysia serta sasaran kepada pengguna yang mahukan jentera daripada jenama yang diyakini.

Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga RM5,598 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 6:47 AM
SESUAI untuk mobiliti bandar atau jauh.
SESUAI untuk mobiliti bandar atau jauh.