BIJAK memadankan rona putih, kelabu dan coklat di ruang tamu.
BIJAK memadankan rona putih, kelabu dan coklat di ruang tamu.
Muhamaad Razis Ismail

Melihat gambar yang dikongsi di laman sosial, penulis sebenarnya tidak mengetahui ia adalah sebuah kuarters guru di Kota Tinggi, Johor.

Apa tidaknya, kediaman berkeluasan 27 x 42 kaki persegi ini dihias dengan cukup menarik berlatarkan konsep rumah ladang moden.

Uniknya rumah yang mempunyai tiga bilik tidur ini ditatarias sendiri Suzaituladwini Hashim, 32, dan suaminya, Muhamad Solehin Daud, 32.

SUZAITULADWINI (dua dari kiri) bersama keluarganya.
SUZAITULADWINI (dua dari kiri) bersama keluarganya.

Biarpun tidak memiliki latar belakang dalam bidang hiasan dalaman, namun sentuhan guru dan jurutera ini berjaya mengubah kediaman itu menjadi menarik serta eksklusif.

Lebih menarik, hampir semua perabot di kediaman itu dihasilkan sendiri secara lakukan sendiri (DIY) oleh pasangan suami isteri terbabit ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

Melangkah masuk ke ruang tamu, tetamu dapat melihat kabinet pasang siap, bangku simpanan, meja belajar dan pendiang api yang dipadankan dengan rona putih, kelabu serta coklat semula jadi.

DEKORASI unik dan eksklusif.
DEKORASI unik dan eksklusif.

Ibu kepada dua anak ini turut menggunakan rak yang dijadikan ruang membuat kopi, akuarium dan tumbuhan-tumbuhan hijau dengan menambah sedikit elemen industri di ruang makan.

Di balkoni pula, terdapat bangku dan rak untuk tumbuhan-tumbuhan hijau dengan rona hijau kusam.

RUANG balkoni untuk bersantai.
RUANG balkoni untuk bersantai.

Bilik dua anak perempuannya yang masing-masing berusia enam dan tiga tahun pula dihias dengan mural gunung yang dilukis sendiri oleh Suzaituladwini.

Katil yang mempunyai rangka berbentuk rumah memberikan elemen keseronokan kepada anak-anaknya itu selain bangku simpanan untuk menyimpan barang.

SUDUT membaca dan berehat di bilik anak.
SUDUT membaca dan berehat di bilik anak.

Sebuah lagi bilik dijadikan ruang solat dan pejabat dengan latar biru gelap bagi mewujudkan suasana tenang ketika melakukan kerja dari rumah serta ketika mendirikan solat

Suzaituladwini berkata, dia mengetengahkan konsep rumah ladang moden kerana tema ini sangat sesuai dengan jiwanya selain meminati perabot kayu yang 'rustic' dan berwarna putih.

RUANG solat.
RUANG solat.

"Tema ini juga memberi perasaan damai apabila berada di rumah.

"Pada masa sama, ia menguji kemahiran bertukang saya dan suami untuk menghasilkan perabot sendiri mengikut konsep yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

MEJA belajar di ruang tamu.
MEJA belajar di ruang tamu.

Mengulas lanjut, untuk menampilkan konsep ini, ciri-ciri yang perlu dititikberatkan adalah penggunaan warna lembut seperti putih dan warna semula jadi.

"Bahan-bahan dekorasi terdiri daripada kayu untuk memberi kesan 'rustic'.

"Jangan terlalu sarat dengan perhiasan kerana konsep moden 'farmhouse' juga menitikberatkan gaya minimalis dan ringkas. Gabungan ciri-ciri ini akan mewujudkan suasana yang tenang," katanya.

BILIK tidur utama yang ringkas namun masih mengekalkan konsep rumah ladang.
BILIK tidur utama yang ringkas namun masih mengekalkan konsep rumah ladang.

Menurutnya, dia mendapat inspirasi daripada beberapa rancangan televisyen dari luar negara yang banyak mengetengahkan konsep ini.

"Saya juga banyak merujuk Instagram yang banyak memaparkan teknik menghasilkan perabot secara DIY," katanya.

DAPUR mainan.
DAPUR mainan.

Katanya, proses dekorasi rumah berjalan sejak PKP 1.0 yang mula dilaksanakan di negara ini pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

"Kami mulakan pada bahagian dinding yang paling kecil. Kemudian proses ini berterusan sehingga siap hampir 70 peratus dari keseluruhan rumah ini," katanya.

KEMAS dan tersusun rapi.
KEMAS dan tersusun rapi.

Dia berkata, menghias memberi kepuasan kepada diri sendiri sekali gus dapat memberi ketenangan apabila berada di rumah.

"Di samping itu, ia dapat mendidik kita untuk lebih berdisiplin menjaga kebersihan rumah sesuai dengan kehendak ajaran agama Islam," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia merancang untuk menambah baik dekorasi laluan ke bilik dan setiap pintu supaya menepati konsep yang ditetapkan.

BILIK tidur anak dihias dengan mural yang dihasilkan oleh Suzaituladwini.
BILIK tidur anak dihias dengan mural yang dihasilkan oleh Suzaituladwini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 6:31 AM