MENGENAKAN jersi Harimau Malaya dan mengibarkan jalur gemilang di stadium.
MENGENAKAN jersi Harimau Malaya dan mengibarkan jalur gemilang di stadium.
Muhamaad Razis Ismail


PIALA Dunia adalah kejohanan bola sepak terbesar menghimpunkan 32 pasukan terhebat di seluruh dunia.

Penganjurannya yang diadakan setiap empat tahun sekali membuatkan peminat begitu teruja untuk melihat pasukan kesayangan mereka beraksi merebut piala berprestij itu.

Bagi peminat bola sepak terutama dalam kategori 'hardcore', menyaksikan perlawanan Piala Dunia dengan lebih dekat di stadium adalah peluang keemasan yang dinanti-nantikan.

Suasana ketika berada di stadium yang dipenuhi dengan puluhan ribu penyokong dari seluruh dunia menyajikan pengalaman berbeza berbanding menonton di kaca televisyen.

Bagi dua sahabat, Azman Shah Mohidin dan Izzroy Isahak peluang menyaksikan tujuh perlawanan bola sepak membabitkan 14 pasukan yang beraksi Piala Dunia ke-22 di Doha, Qatar baru-baru ini menjadi memori terindah yang akan terus dikenang sepanjang hayat mereka sebagai peminat tegar sukan itu.

Antara pasukan besar yang dapat disaksikan termasuk Perancis, Belanda, Brazil, Argentina, Belgium dan Maghribi.

Bukan itu sahaja, dengan keseluruhan perbelanjaan RM12,500 termasuk tiket penerbangan, makanan dan aktiviti, mereka turut berpeluang menunaikan umrah bagi melengkapkan pengembaraan selama sembilan hari lapan malam.

Berkongsi pengalaman itu, Azman berkata, perancangan untuk ke Qatar bagi menyaksikan Piala Dunia sudah dirancang sejak tahun lalu.

Katanya, perkara terawal yang dilakukan adalah mendapatkan tiket perlawanan pasukan yang berjaya ke pusingan akhir.

"Bukan satu perkara yang mudah kerana ramai peminat bola sepak dari seluruh dunia turut memburu tiket sama sebaik ia mula dijual secara dalam talian. Mengikut perancangan, ramai yang ingin turut serta namun disebabkan tiket yang terhad, hanya saya dan Izzroy dapat ke Qatar pada kali ini.

"Pada mulanya, kami masing-masing berjaya membeli empat tiket perlawanan sebelum Izzroy berjaya mendapatkan tiket tambahan untuk satu lagi perlawanan. Apabila berada di sana, kami berjaya membeli tiket yang dijual semula untuk dua lagi perlawanan," katanya.

Menurutnya, mereka bertolak dari Kuala Lumpur ke Qatar pada 23 November dengan menaiki penerbangan Qatar Airways.

IZZROY (kiri) dan Azman teruja dapat menyaksikan Piala Dunia di Qatar.
IZZROY (kiri) dan Azman teruja dapat menyaksikan Piala Dunia di Qatar.

MENONTON perlawanan membabitkan pasukan Belanda dan Ecuador.
MENONTON perlawanan membabitkan pasukan Belanda dan Ecuador.

"Sebaik tiba, kami disambut rakan yang juga rakyat Malaysia yang bekerja di sana. Kami sangat bersyukur kerana dapat tinggal di kediamannya, sekali gus menjimatkan perbelanjaan yang sebenarnya agak tinggi," katanya.

Jelasnya, sepanjang berada di sana, jadual mereka sangat padat dengan dipenuhi pelbagai aktiviti.

"Setiap hari kami akan keluar pada jam 9 pagi dan hanya akan pulang ke rumah 1 pagi. Kebanyakan masa kami akan berada di luar sama ada menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium atau menonton di skrin besar yang disediakan di FIFA Fan Festival.

"Malah, kami berkesempatan ke beberapa tempat menarik di Qatar termasuk ke Souq Waqif, West Bay - Corniche dan Sealine Beach," katanya.

Tambahnya, secara keseluruhan, penganjuran Piala Dunia edisi ke-22 ini adalah yang terbaik yang pernah disaksikannya.

"Sebelum ini, saya memang aktif menonton perlawanan bola sepak di luar negara termasuk Euro dan Piala Dunia edisi sebelum ini sejak 2013, namun saya boleh katakan Piala Dunia di Qatar adalah yang terbaik.

"Daripada segi pengurusan,Qatar berjaya menganjurkan temasya ini dengan baik. Bayangkan dengan keluasan Doha seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya, mereka dapat mengurus kepadatan pengunjung dari seluruh dunia pada satu-satu masa dengan begitu sistematik," katanya.

Izzroy turut sependapat dengan Azman, biarpun kali pertama berpeluang menyaksikan Piala Dunia secara langsung di stadium.

"Untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain sangat mudah kerana sistem pengangkutan sangat baik dan teratur. Malah, kedudukan setiap stadium yang berdekatan, membolehkan kami dapat menyaksikan dua perlawanan bola sepak dalam satu hari.

"Layanan daripada tuan rumah juga sangat baik dan melucukan sehingga membuatkan pengunjung terhibur," katanya.

Katanya, keterujaan sebenarnya sudah dirasai sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha kerana melihat ramai pengunjung yang turut ingin menyaksikan Piala Dunia.

AZMAN (hadapan) bersama Izzroy gembira dapat menyaksikan pasukan kegemarannya beraksi .
AZMAN (hadapan) bersama Izzroy gembira dapat menyaksikan pasukan kegemarannya beraksi .

RIBUAN penyokong memenuhi Souq Waqif.
RIBUAN penyokong memenuhi Souq Waqif.

"Pada ketika itu, saya katakan kepada Azman, alangkah bagusnya sekiranya Malaysia dapat beraksi di Piala Dunia seperti pasukan lain.

"Biarpun begitu, saya tetap memakai jersi Harimau Malaya dan membawa jalur gemilang ke dalam stadium ketika menyaksikan perlawanan," katanya.

Jelasnya, antara pengalaman menarik sepanjang berada di sana adalah dapat melihat penyokong yang mempunyai cara tersendiri menyokong pasukan mereka beraksi.

"Saya boleh katakan penyokong paling 'nakal' dan aktif adalah negara-negara dari Benua Afrika seolah-olah mereka adalah tuan rumah. Dari awal sehingga tamat perlawanan mereka tidak berhenti membuat 'bising' untuk memberi semangat kepada pasukan mereka

"Malah ada juga penyokong yang ingin merempuh masuk, walaupun tidak mempunyai tiket untuk melihat pasukan mereka beraksi," katanya.

Katanya, sebagai peminat tegar bola sepak, menyaksikan perlawanan di Piala Dunia di stadium adalah pengalaman luar biasa yang tidak akan dilupakan.

"Biarpun sudah dua minggu pulang ke tanah air namun perasaan menyaksikan Piala Dunia di Qatar masih lagi terasa sehingga kini.

"Insya-Allah, jika mempunyai peluang dan rezeki, saya tidak tolak kemungkinan akan kembali ke Qatar untuk menyaksikan Malaysia beraksi di Piala Asia pada tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 7:00 AM