MOHD Hasbullah bersama basikal penny farthing yang dibeli di England.
MOHD Hasbullah bersama basikal penny farthing yang dibeli di England.
Muhamaad Razis Ismail


"LEBIH tiga tahun mencari, akhirnya lima bulan terakhir ketika di England, saya berjaya miliki basikal penny farthing yang diidamkan sejak sekian lama," kata pengumpul barangan antik, Mohd Hasbullah Mohd Nawi, 39.

Uniknya basikal antik yang mempunyai tayar depan bersaiz 137 sentimeter (sm) dan tayar belakang bersaiz 40.6sm dibeli daripada seorang pemilik muzium basikal di England menjadi tarikan utama di kafenya di Tanah Merah, Kelantan.

Basikal keluaran syarikat Robinson yang popular pada 1885 ini dikatakan hanya terdapat kira-kira 10 buah di negara ini kerana ia sangat sukar ditemui.

Basikal ini sesuai untuk individu yang memiliki ketinggian 176sm kerana saiznya yang besar dan pemiliknya sendiri mengakui tidak berani menunggangnya biarpun sudah memilikinya sejak tiga tahun lalu.

Mohd Hasbullah berkata, basikal penny farthing antara barang antik dari England yang diburu sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, dia tertarik dengan keunikan basikal itu yang jauh berbeza daripada basikal lain.

SAIZ tayar sebesar 137sm menjadikan basikal ini unik.
SAIZ tayar sebesar 137sm menjadikan basikal ini unik.

"Secara kebetulan, saya menemani isteri melanjutkan pengajian di Universiti Reading di England dan saya mengambil kesempatan mengumpul pelbagai barangan antik.

"Sepanjang berada di sana, saya berusaha mencari basikal ini dan berdepan kesukaran kerana ia boleh dianggap 'rare' selain sudah tidak dikeluarkan.

"Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana lima bulan terakhir, seorang pemilik muzium basikal mahu menjual basikal ini untuk menaik taraf muziumnya di Manchester.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus ambil risiko buat pembelian pada malam sama, biarpun tidak melihat sendiri basikal itu," katanya ketika dihubungi.

PEMILIK asal basikal, Paul Adam.
PEMILIK asal basikal, Paul Adam.

Menurutnya, basikal itu dibawa pulang dengan menggunakan kontena bersama ratusan barangan antik yang diperoleh di negara terbabit.

"Kini basikal itu ditempatkan di kafe milik saya bersama ratusan barangan antik lain termasuk 30 basikal antik, sekali gus menjadi tarikan pelanggan ke sini. Saya mahu pelanggan bukan sahaja dapat menikmati hidangan di sini, malah dapat belajar sesuatu.

"Ada juga individu yang menawarkan harga lumayan untuk memiliki basikal ini, namun saya tolak dengan baik kerana ia sangat sukar ditemui," katanya.

Beliau berkata, basikal terbabit turut dibawa keluar untuk dipamerkan di beberapa program di negeri ini.

BASIKAL penny farthing dijadikan sebagai tarikan di kafe miliknya.
BASIKAL penny farthing dijadikan sebagai tarikan di kafe miliknya.

"Setakat ini, hanya seorang yang pernah menunggang basikal ini, sekali gus membuktikan ia berfungsi dengan baik.

"Biarpun tidak berani menunggangnya, secara peribadi memiliki basikal ini adalah kepuasan kepada diri saya sebagai pengumpul barangan antik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 6:23 AM