SAJIAN boleh membangkit selera dinikmati bersama nasi, pulut atau ketupat. - FOTO Faiz Anuar
SAJIAN boleh membangkit selera dinikmati bersama nasi, pulut atau ketupat. - FOTO Faiz Anuar
Nurul Husna Mahmud


Antara keunikan Malaysia adalah budaya atau adat yang pelbagai meskipun dalam rumpun bangsa yang sama.

Itu boleh dilihat menerusi juadah terutama di musim perayaan mahupun majlis rumah terbuka yang meraikan sajian tradisi atau hidangan negeri masing-masing.

Boleh dilihat sendiri tatkala berkunjung ke rumah saudara-mara mahupun kenalan, juadah utama seperti hidangan daging juga mempunyai kelainan tersendiri.

'Lain padang, lain belalang' dan begitulah juga dalam penyediaan sajian daging mengikut kemahiran dan cita rasa tuan rumah.

Seperti pendapat Kamal Effende Mohd Sharif ini, masakan daging Palembang berempah setanding juadah rendang menjadi pilihan dalam penyediaan hidangan daging ketika juadah raya atau dalam majlis kenduri.

Katanya yang lebih 30 tahun berpengalaman menyediakan pelbagai sajian baik untuk dinikmati keluarga atau pelanggan yang inginkan khidmatnya, masakan daging Palembang berempah adalah 'signaturenya.'

"Sajian daging Palembang berempah ini rupanya mirip 'dendeng daging' atau 'rendang daging hitam' tetapi mempunyai rasa tersendiri dan enak dinikmati bersama nasi minyak serta lemang dan ketupat.

"Uniknya sajian ini tidak guna santan dan tahan lebih lama berbanding rendang. Jika ingin dinikmati untuk hari-hari seterusnya boleh panaskan atau biarkan garing seperti serunding.

"Rasa pedas dan manis membuatkan sajian ini mendapat permintaan tinggi terutama tempahan untuk juadah raya atau rumah terbuka," katanya.

Tip penting dikongsi Kamal Affende untuk memastikan daging lembut ialah ketika merebus pastikan guna api kecil dan dimasak perlahan.

Resipi daging Palembang berempah

Bahan 1

  • 1 kilogram daging (digoreng dan direbus)

  • 3 biji bawang besar (dikisar)

  • 3 ulas bawang putih (dikisar)

  • 1 inci halia (dikisar)

  • 1 inci lengkuas (dikisar)

  • 6 batang serai (dikisar)

  • 1/2 kilogram cili kering (dikisar)

    Bahan 2

  • 50 gram ketumbar (dikisar)

  • 50 gram jintan putih (dikisar)

  • 50 jintan halus (dikisar)

  • 3 batang kayu manis

  • 3 kuntum bunga lawang

  • 3 biji buah pelaga

  • Separuh Gula Melaka

  • Gula pasir

  • Garam

  • Penambah rasa

  • Kicap pekat

  • 1 pek kecil kerisik

  • Air asam jawa (1/3 cawan- ikut citarasa)

  • Air (250 liter - I cawan)

  • Minyak - 1 cawan

    Penyediaannya

    1. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sampai naik bau.

    2. Masukkan bahan 1 yang dikisar (bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas dan serai) dan tumis sehingga kekuningan.

    3. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah minyak. Masukkan air untuk memastikan bahan tumisan itu benar-benar masak.

    4. Apabila bahan ditumis pecah minyak, masukkan rempah ratus yang dikisar (ketumbar, jintan putih dan jintan halus.

    5. Masukkan kicap diikuti dengan gula Melaka, gula, garam, asam jawa dan penambah perasa ke dalam bahan tumisan tadi.

    6. Apabila kuah memekat dan rempah sudah sebati, masukkan daging.

    7. Untuk beri tekstur yang menarik, masukkan kerisik dan gaul sehingga daging dan bahan tumisan harmoni.

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 6:44 AM