LYNN menunjukkan dua buku masakan kek yang ditulisnya.
LYNN menunjukkan dua buku masakan kek yang ditulisnya.
MEMBENTUK bunga untuk hiasan kek cawan.
MEMBENTUK bunga untuk hiasan kek cawan.
ANTARA kek cawan yang dihasilkan.
ANTARA kek cawan yang dihasilkan.
LYNN menunjukkan antara kek yang dihias indah olehnya.
LYNN menunjukkan antara kek yang dihias indah olehnya.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Dirinya sudah biasa memegang duit sendiri menjadikan dia rasa sedikit kekok apabila perlu mengharapkan wang poket daripada suami untuk berbelanja.

Keinginan untuk berdikari dan tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami membulatkan tekad Noorhaslinda Hassan, 38, untuk berjaya dalam perniagaan kek yang diusahakannya sejak tujuh tahun lalu.

Selepas berhenti kerja dengan memilih skim pemisahan sukarela (VSS) sebagai pegawai bank sekitar 2008, Noorhaslinda atau lebih dikenali sebagai Lynn dalam kalangan pelajar dan pelanggannya, memasak kek sekadar suka-suka.

Dia yang amat meminati bidang bakeri, pada awalnya hanya memasak kek sekadar mengisi masa lapang dan berkongsinya dengan jiran di sekitar kawasan perumahan.

Lynn berkata, bermula dari situ, ada yang mula membuat tempahan kerana tertarik dengan rasa dan penampilan kek dihasilkan.

“Saya memang suka memasak kek selain mencuba atau menghasilkan resipi sendiri. Pada mulanya, saya tidak ke kelas sebaliknya merujuk Internet dan buku masakan untuk membuat kek kerana saya tidak mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan selepas berhenti kerja.

“Namun memandangkan tempahan semakin banyak selain ada yang meminta diadakan kelas memasak kek, saya menambah ilmu dan mendapatkan sijil berprestij yang diiktiraf oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut tenaga pengajar kek dan juga pemilik Lynn Hassan Baking Studio itu, dia kemudian mengasah kemahiran dalam bidang kek dan pastri dengan mendapatkan sijil dari kelas memasak Wilton Method, ijazah sarjana dari kelas memasak PME serta Institut Baking Malaysia (MIB).

Katanya, detik diberi wang oleh suami untuk berbelanja sebaik berhenti kerja membuka matanya bahawa wanita tidak perlu bergantung dengan orang lain, sebaliknya boleh menggunakan bakat yang ada untuk menjana pendapatan sendiri.

Lynn berkata, dia berharap setiap wanita mendapat inspirasi daripada kejayaan wanita lain dan sedar masing-masing mempunyai bakat untuk membantu diri berdikari, tanpa perlu berharap semata-mata kepada suami.

“Wanita perlu sedar mereka mempunyai kebolehan untuk menjana duit sendiri. Kadangkala mereka ada bakat terpendam, namun tidak menyedarinya kerana tidak pernah mencuba.

“Oleh itu, antara tujuan saya menganjurkan kelas masakan adalah untuk menyedarkan wanita mereka mampu memiliki pendapatan sendiri dan saya bangga kerana ramai pelajar sudah membuka kafe sendiri,” katanya.

Selain mengambil tempahan, Lynn juga mula mengajar memasak kek kepada mereka yang berminat antaranya kek cawan, roti, pastri, pencuci mulut, kek hantaran, kek perkahwinan, kek hari lahir dan cara membuat fondant dan hiasan kek yang menarik.

Dia juga banyak memfokus kepada kelas memasak dan dekorasi kek antaranya kelas secara peribadi, praktikal dan kelas demonstrasi yang boleh memuatkan antara lapan hingga 20 pelajar.

Tidak hanya menganjurkan kelas memasak kek di rumah atau studio bakeri yang disewa, Lynn turut dijemput oleh organisasi termasuk badan berkaitan wanita, untuk menunjukkan demonstrasi membuat kek atau mengajar peserta di tempat mereka.

“Selalunya Rabu dan Khamis saya akan ambil tempahan dan kelas memasak kek pula biasanya dianjurkan pada Sabtu dan Ahad.

“Ketika awal berniaga, saya pernah membuat kek sepanjang hari dan kadangkala tidur sekitar jam 3 pagi, namun kini saya semakin bijak mengatur masa dan saya sekarang tidak akan bekerja pada waktu malam kerana ia adalah masa untuk keluarga.

“Sekarang ini saya mulakan kerja memasak kek pada 9.30 pagi hingga 5 petang, paling lambat pun saya akan siapkan sampai 8 malam saja, selebihnya memang untuk keluarga dan mahu berehat,” katanya.

Dalam sehari, dia akan menerima antara 10 hingga 20 pesanan dan tugasnya kini semakin mudah kerana mempunyai seorang pembantu yang cekap.

Kelas yang dibuka antara RM200 seorang ke RM700 mengikut jenis kelas, sama ada secara peribadi, praktikal ataupun demonstrasi.

Mendapat galakan kuat suaminya, Lynn juga menghasilkan buku masakan kek, Kek Cawan (2011) dan Baking (2014), yang menunjukkan langkah demi langkah secara teliti bagaimana untuk memasak sesuatu jenis kek.

“Saya juga memasang impian untuk menghasilkan buku yang dapat menunjukkan langkah demi langkah dekorasi kek, untuk memudahkan mereka yang berminat belajar,” katanya yang turut memaparkan hasil kek dimasak di ruangan Instagram/Lynnhassan Baking Studio dan www.lynnbakestudio.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 10:46 AM