MEMILIH untuk bekerja sendiri meskipun memiliki kelulusan sarjana.
MEMILIH untuk bekerja sendiri meskipun memiliki kelulusan sarjana.
Nurul Husna Mahmud


SEMAKIN tinggi pencapaian dalam bidang akademik tidak semestinya menjanjikan perjalanan mudah untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja.

Bagi Alia Kamaruddin yang juga pemegang Ijazah Sarjana Sains Perpustakaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor di sebalik cabaran itu, ia memberi titik perubahan drastik untuk memulakan perniagaan kek, roti dan biskut atas talian sepenuh masa menerusi akaun Instagram Maiyalicious.

Katanya, ramai yang beranggapan tindakannya untuk kekal di kampung dan dekat bersama keluarga suatu tindakan mempersiakan kelulusan yang ada.

Namun, gadis berusia 34 tahun ini beranggapan bidang pembuatan kek, roti mahupun biskut masih relevan dengan bidang pengajian diikuti ketika di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi Islam dari universiti sama.

“Pada saya, pilihan yang saya lakukan iaitu untuk fokus dalam bidang pembuatan kek, roti dan biskut atas talian ini bukanlah satu yang rugi kerana ia satu skil dan masih berkait rapat dengan bidang pengajian saya ketika peringkat ijazah sarjana muda.

ANTARA produk dihasilkan Alia.
ANTARA produk dihasilkan Alia.

“Saya bukan tidak pernah bekerja, cuma lebih selesa menjadi ‘bos’ kepada diri sendiri tambah pula lebih tenang dan gembira dapat hasilkan sesuatu untuk orang lain.

“Pada saya tidaklah pula saya rendahkan ‘standard’, tetapi melihat jalan kerjaya dipilih hari ini mungkin lebih sesuai berbanding bekerja dengan orang.

“Maklumlah saya sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran selain kembangkan produk yang boleh disediakan untuk pelanggan. Selain itu, rangkaian baik pelanggan dan kenalan juga bertambah menerusi perniagaan ini,” katanya.

Kata Alia, sebenarnya pembabitan dalam bidang pembuatan kek itu didorong minat dan ketika tamat pengajian dalam sarjana pada 2013 pula dia menjadikannya sebagai pendapatan sampingan selain hasilnya agak memuaskan.

“Saya sudah berjinak-jinak dengan membakar kek ini ketika pengajian sarjana lagi. Maklumlah ketika sarjana kelas tidak padat dan banyak masa lapang. Jadi apabila sudah bosan, saya mula ‘google’ resipi dan cuba buat sendiri.

“Pada masa sama, Saya lihat dan cuba tiru idea dekorasi dan rekaan kek di YouTube yang mudah. Apabila berjaya dengan beberapa cubaan, saya mula hidang pada kawan-kawan dan rakan guru di sekolah berdekatan.

“Kemudian mereka tempah dan jumlah semakin meningkat. Untuk itu saya mula serius ikuti kelas untuk mempelbagaikan produk selain meningkatkan kualiti produk kek ditawarkan.

“Alhamdulillah sedikit demi sedikit membuatkan saya terdorong dan tekad untuk menjadi usahawan kek, roti dan biskut ini sebagai pilihan kerjaya.

“Dorongan lain ialah ketika saya mula berniaga, tidak ramai pembuat kek Muslim dan itu antara motivasi untuk kekal dalam bidang ini,” katanya.

Menceritakan cabaran dalam bidang ini, berurusan dengan pelanggan adalah detik paling rumit buat dirinya selaku usahawan baru meningkat naik.

MENDAPAT ramai kenalan menerusi pembabitan dalam pembuatan kek.
MENDAPAT ramai kenalan menerusi pembabitan dalam pembuatan kek.

“Saya berniaga di kawasan luar bandar dan pendapatan masyarakatnya lebih ramai sederhana dan rendah. Sedangkan kualiti material kos bahan mentah itu premium. Jadi saya terpaksa buat pengiraan semula agar harga jualan produk bersesuaian.

“Lain perkara ialah risiko pelanggan yang gemar batalkan tempahan saat akhir selain memahami pelbagai ragam. Pada saya itu mematangkan saya dalam perniagaan,” katanya turut berkongsi detik manis termasuk menaja pemanis mulut bagi sambutan hari lahir pelakon terkenal Ungku Ismail Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 7:30 AM