ACARA Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran MBSA.
ACARA Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran MBSA.
Nurul Husna Mahmud


MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengagihkan 477 baju percuma kepada pengunjung program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan sempena sambutan tahun ke-7 program berkenaan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, pemberian baju terbabit diagihkan kepada pengunjung terawal dalam program di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Ahad lalu.

"Pemberian baju percuma adalah tanda penghargaan MBSA kepada pengunjung yang hadir dan setia bersama program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan sejak ia kali pertama dianjurkan pada 2016.

"Kehadiran pengunjung yang sangat menggalakkan iaitu kira-kira 3,000 juga memperlihatkan perkembangan positif untuk MBSA merealisasikan sasaran Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2030," katanya.

Dalam program itu turut diadakan inisiatif pasar lestari, Eco Free Market yang turut menerima 40 penyumbang untuk menaja pelbagai barangan.

TARIAN Singa turut dipersembahkan untuk pengunjung Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan MBSA.
TARIAN Singa turut dipersembahkan untuk pengunjung Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan MBSA.

Pengunjung pasar terbabit membuat pertukaran barang kitar semula seperti botol air, botol kaca, tin aluminium dan surat khabar lama untuk mendapatkan kupon bagi penukaran barangan yang ditawarkan penyumbang Eco Free Market.

Pengisian sepanjang Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan juga meliputi pelbagai aktiviti antaranya, 'Fun Run,' kayuhan santai, acara senamrobik, persembahan tarian kebudayaan, persembahan tarian singa, persembahan kombo MBSA dan penyampaian hadiah Pakaian Paling Kreatif.

Bagi pengunjung kanak-kanak, aktiviti seperti persembahan badut, maskot adiwira, aktiviti kraf dan kereta lampu antara disediakan penganjur.

Majlis pelancaran dan pelepasan disempurnakan sendiri Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 9:41 AM