Sekitar Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Edisi November 2021 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. FOTO FB MBSA
Sekitar Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Edisi November 2021 yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. FOTO FB MBSA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kembali menganjurkan Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, hari ini selepas kali terakhir diadakan pada Mac tahun lalu.

Program berkenaan sebelum ini ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA dalam kenyataan memaklumkan, program berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, dilancarkan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor.

"Program bulanan ini kembali menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai antaranya 'Fun Run', acara berbasikal, senamrobik atau zumba, persembahan buskers, cabutan bertuah atau kuiz, dan aktiviti mewarna kanak-kanak.

"Selain itu, MBSA turut mengadakan aktiviti 'petting zoo', program piknik dhuha dan sembang santai, serta program ECO Free Market iaitu penyaluran dan edaran semula barangan terpakai secara percuma," katanya.

Dalam pada itu, MBSA turut bekerjasama bersama Avisena Specialist Hospital dan KPJ Selangor Specialist Hospital untuk sesi saringan kesihatan secara percuma kepada pengunjung yang hadir.

"MBSA juga menyediakan perkhidmatan seperti pengoperasian Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels, Perpustakaan Bergerak (Mobile Library) dan jualan pokok serta baja kompos.

"Program ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 3:48 PM