Sultan Sharafuddin  bersama Tengku Permaisuri Norashikin (dua dari kanan) dan  Mohamed Azmin Ali (kiri) selepas merasmikan Bas Elektrik di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin (dua dari kanan) dan Mohamed Azmin Ali (kiri) selepas merasmikan Bas Elektrik di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Siti Nor Amirah Abu Bakar


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menghadiri Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan dan Sambutan Hari Bumi 2017 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, semalam.

Program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Ahmad Zaharin berkata, objektif program itu bertujuan memupuk rasa cinta alam sekitar dalam kalangan penduduk setempat, sekali gus mengamalkan gaya hidup sihat.

“Selain dapat mengurangkan pencemaran, ia inisiatif terbaik untuk diterapkan dalam diri setiap masyarakat supaya sentiasa bersama menjaga alam sekitar sedia ada.

“Hari ini (semalam), kita turut menyambut Hari Bumi 2017 dan Sultan Selangor berkenan melancarkan bas elektrik pertama di Shah Alam,” katanya.

Sementara itu, pengunjung, Aina Mardiah Ahmad Shukri, 27, berkata, dia kerap datang ke Dataran Kemerdekaan untuk bersenam dan menikmati suasana tanpa kenderaan, namun tidak menyangka dapat menemui Tengku Permaisuri Norashikin.

“Rasa seperti dalam mimpi dan bertuah dapat turut melihat sendiri Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalaman dan berinteraksi dengan rakyat jelata,” katanya.

Pada program disertai 2,000 pengunjung itu, 35 anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni, Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh turut dijemput untuk mengambil barangan keperluan mereka di Eco Free Market, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 9:01 AM