KAJIAN mendapati definasi kecantikan sentiasa berubah-rubah mengikut peredaran masa. - FOTO Google
KAJIAN mendapati definasi kecantikan sentiasa berubah-rubah mengikut peredaran masa. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail


APABILA diajukan persoalan bagaimana seseorang itu dikatakan cantik?

Sudah pasti setiap individu memberi pelbagai jawapan kerana definisi cantik adalah berbeza.

Pakar Perubatan Keluarga & Pengamal Perubatan Estetik Jabatan Perubatan Keluarga Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Adibah Hanim Ismail berkata, definisi kecantikan setiap orang berbeza mengikut persepsi seseorang menilai kecantikan.

"Kepelbagaian dalam tradisi, budaya dan agama setiap etnik antara faktor penentu kecantikan bagi setiap kumpulan etnik di Malaysia.

"Faktor luaran seperti pendedahan media massa, fesyen dan trend pada masa kini juga mempengaruhi penilaian kecantikan di antara kaum terutama untuk generasi muda," katanya.

Bagi mengetahui lebih mendalam mengenai definisi kecantikan dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau bersama beberapa penyelidik iaitu Profesor Madya Dr Ungku Shahrin Ungku Mohd Zaman dari Ungku Shahrin Medical Aesthetic Research & Innovation (Usmari), Profesor Madya Dr Ernieda Md Hatah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Daniel Looi Qi Hao dari Universiti Malaya (UM) dan pembantu penyelidik Usmari, Muhammad Farhan Abdul Rashid menjalankan kajian pada tahun lalu selama enam bulan secara dalam talian.

KETEBALAN bibir.
KETEBALAN bibir.

SUDUT hujung hidung.
SUDUT hujung hidung.

Menerusi kajian ini peserta diberikan beberapa soalan untuk dijawab dengan memilih bentuk struktur muka yang pada pandangan mereka mempunyai nilai kecantikan.

Bentuk-bentuk struktur muka terdiri daripada bentuk wajah secara keseluruhan, keluasan dan ketinggian dahi, bentuk hidung, tulang pipi, bentuk kening, bentuk mata dan ketebalan bibir yang dianggap cantik pada pandangan peserta.

Seramai 369 rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam kajian ini di mana 262 peserta terdiri daripada Melayu, 38 peserta Cina dan 69 peserta India.

Purata umur mereka antara 30 hingga 42 tahun dengan 69 peratus peserta kajian mempunyai sejarah menjalani rawatan kecantikan dan hampir separuh peserta bekerja di syarikat swasta dengan mempunyai pendapatan antara RM1,000 ke RM4,000. Lebih daripada separuh peserta tinggal di kawasan bandar.

Dr Adibah berkata, hasil dapatan kajian mendapati masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa bersepakat menyatakan seseorang kelihatan cantik apabila mereka mempunyai lipatan kelopak mata, bentuk dagu yang convex, tulang pipi yang tinggi, bentuk hidung yang lurus dengan hujung hidung yang rendah dan bibir sama ketebalan.

Jelasnya, berdasarkan kajian ini mendapati hampir semua kaum memilih bentuk dagu yang convex berbanding dengan kajian pada 2016, di mana hanya kaum India yang menyukai bentuk dagu yang convex manakala Melayu dan Cina yang memilih bentuk dagu yang menegak.

BENTUK dagu.
BENTUK dagu.

BENTUK tulang hidung.
BENTUK tulang hidung.

"Bentuk kening yang lurus menjadi pilihan semua kaum pada zaman ini berbanding 2016 hanya kaum Cina yang menyukai bentuk kening yang lurus dan kaum lain memilih bentuk kening yang meninggi di hujung (Eyebrow peak at Lateral Limbus (LL).

"Kajian turut mendapati semua kaum menyukai ketebalan bibir yang sama rata sebagai ciri-ciri kecantikan," katanya.

Selain itu, semua peserta berpendapat tulang pipi yang tinggi mempunyai ciri-ciri kecantikan tersendiri dan pendapat ini tidak berubah sejak 2016.

"Bagi lipatan pada kedua-dua kelopak mata, kebanyakan kaum memilih ketebalan enam hingga 10 milimeter (mm) sebagai salah satu ciri-ciri kecantikan. Bagaimanapun, sebilangan kaum India memilih ketebalan lipatan pada kelopak mata lebih daripada 10mm.

"Batang hidung yang lurus dan sudut hujung hidung yang rendah juga dipilih sebagai salah satu ciri-ciri estetik kecantikan dalam kalangan masyarakat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian ini, terbukti penilaian kecantikan oleh Melayu, Cina dan India di Malaysia berubah mengikut peredaran zaman.

"Ini terbukti menerusi wujud perbezaan pandangan terhadap kecantikan berbanding dapatan kajian sama yang dijalankan pada 2016," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 6:48 AM