Nurul Husna Mahmud

BERCAKAP mengenai tanda seseorang wanita itu hamil, biasanya orang sekitar akan memandang perubahan yang berlaku pada bahagian perut berbanding bahagian tubuh yang lain.

Namun perlakuan melihat bahagian perut individu berkenaan bakal mengundang rasa kurang selesa waima dia kenalan mahupun ahli keluarga sendiri.

Sebenarnya perlu difahami, perubahan fisiologi wanita hamil dipengaruhi hormon yang turut memberi kesan kepada bahagian lain termasuk wajah.

Berikut antara gejala pada wajah dikaitkan dengan 'tanda-tanda' kehamilan:

1. Jerawat

Seperti fasa capai baligh, jerawat juga antara ciri-ciri yang berkaitan dengan wanita hamil.

Menurut kajian, biasanya jerawat akan muncul pada usia kehamilan trimester pertama dan kedua.

Keadan itu disebabkan faktor peningkatan hormon androgen yang membuatkan aktiviti atau penghasilan kelenjar sebum atau kelenjar 'minyak.'

Apabila 'sebum' (campuran lemak, kolesterol, protein dan garam tak organik) berlebihan dan berlaku pula tompokan sel-sel kulit mati dalam pori-pori menyebabkan risiko serangan bakteria.

JERAWAT juga boleh dialami wanita hamil.
JERAWAT juga boleh dialami wanita hamil.

2. Pembuluh darah jelas kelihatan

Bagi wanita hamil, pembuluh darah lebih ketara kelihatan dinamakan 'spider veins.'

Ia dikatakan berpunca daripada peningkatan hormon estrogen yang memberikan tekanan pada kapilari darah. Selain wajah, bahagian tubuh lain mudah dilihat bersama tanda berkenaan ialah leher dan lengan.

3. Bintik-bintik hitam

Tanda bintik hitam lebih kerap berlaku apabila ada peningkatan usia.

Bagi wanita hamil, bintik-bintik hitam di wajah dikenali dengan istilah melasma dan chloasma.

Ia selalu timbul pada bahagian dahi, hidung, pipi dan bibir. Sebanyak 50 peratus ibu hamil mengalami kondisi ini.

4. Hidung bengkak

Hidung yang bengkak atau dalam erti kata lain membesar dan melebar boleh terjadi pada wanita hamil.

Wanita yang mempunyai masalah ini disebabkan peningkatan peredaran darah pada membran mukus selain peningkatan penghasilan hormon estrogen.

PEMBULUH darah pecah sering dilihat pada wajah wanita hamil.
PEMBULUH darah pecah sering dilihat pada wajah wanita hamil.

5. Perubahan Warna Mata

Ciri-ciri lain unik boleh berlaku pada wanita hamil ialah perubahan pada warna mata yang akan terlihat gelap dan pucat.

Ini terjadi kerana terdapat hormon yang mempengaruhi ketebalan dan kelengkungan kornea.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 6:30 AM