BAGI yang mempunyai hidung panjang, sapuan pembayang seeloknya dimulakan dari sisi tengah hidung hingga ke hujung. - FOTO: Zunnur Al-Shafiq
BAGI yang mempunyai hidung panjang, sapuan pembayang seeloknya dimulakan dari sisi tengah hidung hingga ke hujung. - FOTO: Zunnur Al-Shafiq
Intan Mas Ayu Shahimi

MENGOLES pembayang wajah untuk membentuk rupa sempurna bukanlah mudah, bahkan sukar untuk mahir. Cubaan berkali-kali belum tentu mendapat hasil yang diinginkan.

Tersilap langkah, wajah mungkin nampak pelik, gelap dan lebam tidak sekata. Paling teruk, penampilan keseluruhan akan cacat dengan bentuk wajah tidak seimbang, terlebih bujur, bulat atau hidung dan pipi keterlaluan.

Bagaimanapun, teknik ini tetap menarik untuk dipelajari. Bagi wanita tidak sukakan solekan tebal, teknik pembayang wajah mungkin tidak sesuai memandangkan ia boleh menonjolkan susuk wajah seseorang.

Namun, tak bermakna teknik ini tidak boleh dijadikan asas mekap harian. Penggunaan bedak asas dengan tona gelap-cerah yang betul masih boleh menyerlahkan seri wajah ketika bersantai di rumah atau keluar bersama pasangan.

Jika perlu menghadiri majlis penting atau terbabit aktiviti penggambaran, barulah tambahkan sedikit pembayang wajah jenis palet untuk menonjolkan bentuk dan perincian pada wajah.

Kunci utama untuk menjayakan teknik ini adalah kemahiran mengenal pasti bentuk wajah dan bagaimana mengadun bedak asas gelap dan cerah supaya wajah tampak sempurna.

Kata jurusolek artis, El Manda Zuhairy, penggunaan pembayang dalam rona yang betul dan tepat penting untuk menyempurnakan bentuk muka, sekali gus menyembunyikan kelemahan yang ada di wajah seseorang.

“Bahagian yang memerlukan sentuhan pembayang wajah adalah dahi, tulang pipi, rahang, bawah rahang hingga ke dagu dan hidung. Bagaimanapun, setiap bahagian ini perlu diteliti sama ada perlu disapu pembayang atau tidak.

“Caranya adalah dengan mengenal pasti bentuk wajah seseorang. Ada orang memiliki wajah bulat, bujur sirih, muka panjang, bentuk hati, berlian, pir dan bersegi. Semua bentuk wajah ini memerlukan sapuan pembayang untuk mendapatkan hasil solekan sempurna.

“Bagaimanapun, tidak semua jenis ini sesuai di betulkan dari segenap sudut. Ada yang hanya perlu di bahagian pipi dan hidung; rahang dan pipi; dahi dan dagu; atau pangkal pipi saja. Semuanya terpulang kepada jenis dan bentuk wajah,” katanya.

Berkongsi tip dengan menyolek wajah peragawati, Neesa, kata El Manda, dia lebih selesa menggunakan bedak asas jenis cecair untuk membentuk hasil solekan sempurna.

“Saya mulakan dengan sapuan bedak asas menggunakan span wajah di bahagian dahi, rapat ke anak rambut dan adun sehingga seimbang. Sapuan di kawasan ini bertujuan mengecilkan dahi yang terlalu luas dan menyeimbangkan dimensi wajah.

“Sapuan di bahagian tulang pipi pula bergantung kepada bentuk wajah. Untuk model yang berwajah bujur, memadai dengan sapuan pada bawah tulang pipi saja. Usah tarik sapuan rapat hingga ke hidung. Ini penting kerana fungsi pembayang wajah untuk menampakkan kematangan seseorang. Jika disapu berlebihan, model ini mungkin nampak tua sebelum usia.

“Selepas pipi, sapu bedak asas rona gelap ini ke bahagian rahang. Adun bedak sambil mengoles span ke arah dagu. Teknik ini bagi menutup garis rahang yang luas, sekali gus mendapatkan kesan wajah lebih tirus. Biasanya, sapuan pada rahang dibuat untuk mereka yang mempunyai bentuk wajah jenis pir dan bersegi saja,” katanya.

Tidak lengkap solekan tanpa sapuan pembayang di bahagian sisi hidung. Kata El Manda, membentuk hidung mancung tidak boleh dibuat semberono. Panjang pendek hidung perlu diberi perhatian supaya wajah tidak nampak aneh.

“Bagi yang mempunyai hidung panjang, sapuan pembayang seeloknya dimulakan dari sisi tengah hidung hingga ke hujung. Tetapi bagi yang memiliki hidung pendek, sapuan pembayang perlu dimulakan dari pangkal hidung ke bawah,” katanya.

GAMBAR kiri, sebelum disapu pembayang. Gambar kanan, sapu pembayang di bahagian dahi, rapat  ke anak rambut untuk seimbangkan dimensi wajah.
GAMBAR kiri, sebelum disapu pembayang. Gambar kanan, sapu pembayang di bahagian dahi, rapat ke anak rambut untuk seimbangkan dimensi wajah.

GAMBAR kiri, bentukkan tulang pipi mengikut keperluan. Gambar kanan, sentuhan pembayang di rahang untuk wajah jenis pir dan bersegi.
GAMBAR kiri, bentukkan tulang pipi mengikut keperluan. Gambar kanan, sentuhan pembayang di rahang untuk wajah jenis pir dan bersegi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 6:30 AM