WAFER Syiling Emas 999.9 Edisi Terhad dalam lima reka bentuk menarik.
WAFER Syiling Emas 999.9 Edisi Terhad dalam lima reka bentuk menarik.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kurang lengkap penampilan di Aidilfitri tanpa aksesori barangan kemas yang menawan pandangan mata.

Bukan sekadar untuk melengkapkan lagi gaya sebaliknya barangan kemas juga sebenarnya boleh menjadi penaik seri penampilan seseorang.

Sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, jenama barangan kemas terkenal, Habib melancarkan koleksi kempen raya, Rantaian Kasih di Aidilfitri 2023.

Kempen sehingga 21 April itu mengambil inspirasi dan menampilkan warisan tradisional tekat, seni hiasan sulaman Melayu yang dihasilkan dengan cara menyulam benang emas pada latar belakang baldu.

Seni sulaman itu dikaitkan dengan kegunaan persalinan golongan diraja, perhiasan istana dan upacara pertabalan.

Ia juga sering digunakan untuk menghiasi majlis perkahwinan dalam masyarakat Melayu.

Kali ini, jenama itu memberi tumpuan kepada motif yang diilhamkan daripada alam semula jadi dan tumbuh-tumbuhan tempatan.

Mengulas lanjut mengenai kempen itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Sri Meer Sadik Habib berkata, Aidilfitri adalah saat yang paling dinantikan kerana umat Islam dapat berkumpul mengeratkan lagi silaturahim serta bermaaf-maafan bersama keluarga, sahabat dan orang tersayang.

REKAAN barangan kemas menarik untuk digayakan pada lebaran ini.
REKAAN barangan kemas menarik untuk digayakan pada lebaran ini.

Kata Meer, mengangkat tradisi acara tahunan yang disambut sejak lebih 20 tahun, Rantaian Kasih menggambarkan ketulusan ikatan yang terjalin.

Menurutnya, hubungan baik dengan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya gembira melihat mereka (pelanggan) bersama keluarga melangkah masuk ke bilik pameran serta menikmati pengalaman membeli-belah menyeronokkan.

"Lebih istimewa pada tahun ini, kami teruja untuk mempamerkan seni tekat yang diterapkan dengan nilai sejarah dan warisan yang memerlukan kreativiti serta penghasilan bermutu.

"Untuk itu, kami pastikan pelanggan disajikan dengan pelbagai pilihan bagi setiap lapisan umur dalam mendapatkan koleksi baharu untuk digayakan pada hari lebaran nanti," katanya pada majlis pelancaran kempen itu di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datin Sri Zarida Noordin dan Pengurus Besar Kanan Jualan, Mohd Zaruddin Mahmud.

BARANGAN kemas juga boleh menjadi penaik seri penampilan seseorang.
BARANGAN kemas juga boleh menjadi penaik seri penampilan seseorang.

Menerusi kempen berkenaan, jenama itu menampilkan koleksi Arowana yang menerapkan unsur geometri teliti dan halus.

Ia tak ubah seperti si ikan naga dengan sisik meliuk gemalai dan mempesona selain simboliknya yang dikaitkan dengan tuah serta kekayaan.

Koleksi itu diperbuat daripada emas 750 (18K) bertatahkan berlian yang ditawarkan dengan pelbagai reka bentuk dan kombinasi batu permata pelbagai warna.

Unik dengan rekaan versatil, koleksi menarik itu sesuai dijadikan sebagai rantai leher mahupun kerongsang untuk gaya yang berbeza.

Bagi peminat rekaan rantai leher labuh, koleksi terbaharu itu juga hadir bersama loket berlian eksklusif yang cantik dipadankan bersama baju kurung ataupun kebaya untuk kelihatan lebih mewah.

KOLEKSI istimewa yang menyerlahkan lagi rekaan fesyen menarik daripada Syomirizwa.
KOLEKSI istimewa yang menyerlahkan lagi rekaan fesyen menarik daripada Syomirizwa.

Koleksi kegemaran ramai, Oro Italia 916 pula memiliki banyak rekaan baharu yang lebih menawan, hasil gabungan pelbagai kemasan seperti 'high polish', potongan berlian, 'matte' dan kemasan satin.

Ia jelas memberi nafas baharu kepada reka bentuk klasik.

Turut menjadi perhatian, Koleksi Eksklusif Emas 916 dengan rekaan lebih kontemporari, gabungan emas 916 berona kuning dan putih yang hanya boleh didapati secara eksklusif di jenama itu.

Tidak ketinggalan untuk si jejaka, koleksi pelbagai bentuk dan rona butang baju Melayu yang menjadi pelengkap gaya di pagi raya, dipadankan bersama cincin perak paladium.

Bagi si kecil, pelbagai rekaan menarik barangan kemas 916 bermotifkan flora dan fauna boleh dimiliki.

KOLEKSI pelbagai bentuk dan rona butang baju Melayu yang menjadi pelengkap gaya di pagi raya, dipadankan bersama cincin perak paladium.
KOLEKSI pelbagai bentuk dan rona butang baju Melayu yang menjadi pelengkap gaya di pagi raya, dipadankan bersama cincin perak paladium.

Dalam pada itu, tidak lengkap sambutan Aidilfitri tanpa pemberian istimewa wafer syiling emas untuk yang tersayang.

Wafer Syiling Emas 999.9 Edisi Terhad jenama itu kali ini didatangkan dalam lima reka bentuk berbeza iaitu bunga cengkih, bunga kekwa, bunga padi, bunga raya dan awan larat.

Setiap satunya dilengkapi dengan rekaan sampul yang indah sesuai dijadikan sebagai hadiah, pengganti duit raya atau dikumpul sebagai koleksi peribadi.

Sementara itu, pelakon, Sharifah Rose turut diumumkan sebagai wajah selebriti yang memperagakan koleksi jenama berkenaan.

Manakala buat julung kalinya juga Habib berkolaborasi bersama pereka fesyen terkenal Malaysia, Syomirizwa Gupta untuk menampilkan busana mewah yang elegan dan ceria sebagai penyeri di Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 6:20 AM