Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Keunikan tersendiri rekaan seni bina ikonik, Pintasan Saloma menjadi inspirasi HABIB untuk koleksi terbaharu sempena Hari Kebangsaan.

Koleksi Merdeka yang diberi nama Gelora itu didatangkan dalam emas 750 berona kuning ataupun merah jambu dan diikat kemas dengan butiran berlian.

Selain keunikan pada rekaannya, pintasan ataupun jambatan yang menghubungkan Kampung Baru dan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur itu juga diterjemahkan sebagai sebuah perjalanan daripada yang lama kepada yang baharu.

Ia secara tidak langsung menggambarkan pelayaran HABIB yang sudah berada di pasaran sejak 64 tahun lalu.

Selain Gelora, koleksi Cleopatra juga turut menjadi tarikan koleksi Merdeka kali ini.

KOLEKSI barangan kemas terbaharu daripada HABIB.
KOLEKSI barangan kemas terbaharu daripada HABIB.

Pada masa sama ia diilhamkan daripada nama permaisuri Mesir dan sentuhan istimewanya memberi impak elegan dan mewah buat si pemakai.

Koleksi Cleopatra didatangkan dengan kombinasi dua warna iaitu emas kuning dan emas putih dengan kemasan potongan berlian yang unik.

Tidak ketinggalan juga koleksi batu permata berwarna bagi mewarnai dan menambah keceriaan sambutan Hari Kebangsaan.

Justeru, HABIB menawarkan pelbagai seleksi barangan kemas bertatahkan batu permata seperti zamrud, safir, delima, amethsyt, turmalin dan lain-lain bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang berbeza, sesuai buat anda yang gemarkan penampilan lebih menonjol mahu pun minimalis.

Menjadi pelengkap Kempen Kemerdekaan tahun ini, jenama barangan kemas itu turut menampilkan duta berbilang kaum dan bangsa yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

Pemilihan duta adalah berdasarkan karisma dan perwatakan yang dibawa bagi menonjolkan semangat perpaduan kaum di Malaysia.

Duta itu adalah gandingan sehati sejiwa Tahanee Shauki yang juga seorang usahawan muda berjaya, bersama dua finalis Miss Universe Malaysia 2022 iaitu Joann, anak kelahiran Sarawak dan Kasshvini yang berasal dari ibu kota Kuala Lumpur.

Sementara itu, jenama barangan kemas terkenal itu juga bersemangat meraikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini melalui Kempen Kemerdekaan yang berlangsung sepanjang bulan Ogos di semua bilik pamerannya di seluruh negara.

Mengangkat tema Keindahan Malaysia untuk kempen kemerdekaannya pada tahun ini, jenama barangan kemas itu menghargai warisan turun-temurun dan pada masa yang sama menyemai semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Antara kelainan yang ditampilkan kali ini adalah koleksi baharu Syiling Wafer Emas 999 dengan rekaan tiga bangunan ikonik bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Parlimen Malaysia serta Menara Berkembar KLCC yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Ia didatangkan seperti bentuk buku dengan rekaan berbentuk tiga dimensi (3D) dan diselitkan juga sedikit ringkasan mengenai bangunan berkenaan.

Sebagai kemuncak Kempen Kemerdekaan, jenama barangan kemas itu turut menganjurkan Bazar Merdeka yang akan bermula daripada 31 Ogos sehingga 5 September ini di ibu pejabat HABIB di Ampang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:45 AM