KOLEKSI barangan kemas menarik untuk seisi keluarga.
KOLEKSI barangan kemas menarik untuk seisi keluarga.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KEUNIKAN hasiI kerja tangan, anyaman sentiasa dikagumi dan digemari ramai sehingga hari ini.

Apa tidaknya, silangan rapi dan ketelitian pada setiap sisi anyaman bukan calang-calang orang mampu menghasilkan dan pembuatannya juga adalah rumit.

Keistimewaan dan keunikan seni anyaman itu turut dipilih sebagai tema koleksi baharu Habib, Rantaian Kasih 2024 sempena meraikan lebaran kali ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Meer Habib berkata, dalam kemeriahan meraikan Aidilfitri, pihaknya turut menggalas tanggungjawab untuk memelihara keindahan warisan berzaman.

Pada masa sama, kata Meer, pihaknya juga mahu memupuk masyarakat supaya menghargai kehalusan seni budaya masyarakat Melayu.

Justeru katanya, tema anyaman dipilih untuk kempen raya kali ini bagi menghidupkan kembali seni warisan itu supaya tidak tenggelam ditelan zaman.

"Silangan rapi dan ketelitian pada setiap sisi anyaman turut melambangkan ikatan kekeluargaan, tradisi dan kekayaan budaya masyarakat Melayu.

"Ia juga sangat sinonim dengan kempen raya kami iaitu Rantaian Kasih.

"Koleksi ini mengetengahkan ikatan kekeluargaan yang erat sempena meraikan Aidilfitri dan kami menjemput pelanggan untuk menyelami sendiri keunikan setiap rekaan di bilik pameran seluruh negara," katanya pada majlis prapelancaran koleksi berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.

Menurut Meer, untuk membawa kelainan pada kempen Rantaian Kasih tahun ini, jenama barangan kemas terkenal itu turut menampilkan barisan duta daripada pelbagai latar belakang berbeza.

Mereka terdiri daripada selebriti terkenal Amyra Rosli dan keluarganya, Sharifah Rose serta Ezzanie Jasny.

Kata Meer, pihaknya menitikberatkan aura dan karisma ketika pemilihan wajah kempen bagi memastikan mereka yang dilantik dapat menggayakan barangan kemas jenama itu dengan baik.

"Semua duta raya Habib adalah individu yang mempunyai semangat tinggi dan personaliti baik serta disenangi ramai.

"Gabungan duta raya pada tahun ini pastinya menambahkan lagi kemeriahan dan melengkapi konsep Rantaian Kasih kami," katanya.

MEER (lima dari kiri) bersama barisan duta raya Habib sempena kempen Rantaian Kasih.
MEER (lima dari kiri) bersama barisan duta raya Habib sempena kempen Rantaian Kasih.

Dalam pada itu, antara koleksi kegemaran ramai setiap tahun adalah semestinya koleksi Oro Italia 916 dengan rekaan terbaharu yang lebih moden dan kontemporari.

Bagi yang gemarkan rekaan terkini dan lebih berwarna-warni, barangan kemas daripada koleksi Clara adalah pilihan yang ideal.

Koleksi itu menampilkan rona-rona unik seperti ungu, merah jambu, biru dan hijau selain masih mengekalkan nilai mutu emas 916.

Pada masa sama, koleksi rantai leher labuh juga menjadi kegemaran untuk digayakan pada pagi lebaran dan ia juga sesuai digayakan dengan hijab.

Bagi si ibu yang ingin tampil sedondon bergaya bersama si kecil di hari lebaran ini, set sepadan menarik turut ditawarkan.

Untuk tampil dengan lebih eksklusif, pelbagai koleksi eksklusif berlian termasuk rekaan yang diinspirasikan daripada seni anyaman, boleh dimiliki.

Himpunan istimewa itu menitikberatkan daya ketelitian dan sentuhan kehalusan pada coraknya.

Koleksi anyaman itu dipadankan bersama mutu emas 750 (18K), untuk memastikan kekukuhan berlian yang ditatah dan memancarkan lagi kilauan sempurna di hari lebaran.

Bagi memenuhi kepelbagaian cita rasa, koleksi anyaman itu turut tersedia dengan kombinasi berlian dan batu permata pelbagai berwarna untuk memberikan penampilan yang lebih versatil serta menarik.

Tidak ketinggalan buat si jejaka, rekaan butang baju Melayu eksklusif dan cincin perak palladium bertatahkan berlian serta batu permata, disediakan istimewa untuk meraikan sambutan Aidilfitri kali ini.

Sementara itu, Habib turut memperkenalkan rekaan baharu Wafer Syiling Emas 999.9 Edisi Anyaman yang didatangkan dengan lima rekaan yang unik seberat 0.2 gram bagi setiap keping.

Ia sesuai dijadikan alternatif unik sebagai duit raya ataupun hadiah istimewa untuk yang tersayang.

Jadi, tunggu apa lagi, dapatkan koleksi barangan kemas yang anda mahukan sepanjang kempen berlangsung di semua bilik pameran jenama berkenaan di seluruh negara sehingga 9 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 7:00 AM