LELAKI perlu bijak memilih jenis alat mekap yang sesuai.
LELAKI perlu bijak memilih jenis alat mekap yang sesuai.
Hafiz Ithnin


SOLEKAN ketika ini sememangnya merentasi sempadan jantina kerana ia boleh memberi pesona tersendiri kepada si empunya diri terutama bagi mereka yang mempunyai masalah penampilan wajah.

Malah, pada majlis tertentu sama ada acara makan malam atau majlis perkahwinan, lelaki disolek supaya tampak lebih maskulin bukan lagi perkara baharu dan tiada peliknya.

Penata rias pengantin lelaki, Muhammad Hafiz Hariz Zubir berkata, lelaki sejati pada hari ini sudah mula sedar akan keperluan menjaga penampilan diri.

Tidak ketinggalan juga keperluan solekan harian untuk tampak lebih menawan dan yakin ketika berada di khalayak dan di dalam majlis-majlis keraian terutama di hari persandingan.

"Dengan bantuan solekan, wajah lelaki kelihatan lebih rapi, bersih dan bebas cela. Solekan bagi lelaki jauh lebih

mudah, ringkas serta tidak keterlaluan.

"Tidak hairanlah kini trend mengambil servis penata rias pengantin lelaki menjadi pilihan ramai di hari persandingan bagi menyiapkan pengantin lelaki dari hujung rambut hingga hujung kaki," katanya.

PEMAKAIAN alat mekap untuk lelaki tidak boleh terlalu sarat.
PEMAKAIAN alat mekap untuk lelaki tidak boleh terlalu sarat.

Justeru, Hafiz Hariz berkongsi lapan tip solekan wajah lelaki supaya tampak lebih rapi dan kemas. Bukan keterlaluan, tetapi ringkas dan mudah.

1. Bersih, lembap dan segar. Pastikan anda mencuci muka supaya bebas dari kotoran dan habuk sebelum bersolek supaya lebih bersih. Lakukan cucian dengan membuat sedikit urutan muka untuk membuang sel kulit mati dan membuatkan muka lebih segar dengan pencuci muka anda.

2. Keringkan muka, kemudian oles muka menggunakan pelembap.

Water cream juga boleh digunakan sebelum mula solekan khusus bagi yang mempunyai masalah kulit kering.

Pelembap muka ini sangat penting bagi menjaga keadaan muka untuk tidak rosak jika bersolek di samping menjadikan muka kekal segar dan lembap sepanjang hari.

PEMAKAIAN alat solek yang dalam kalangan lelaki pada hari ini bukan sesuatu yang asing.
PEMAKAIAN alat solek yang dalam kalangan lelaki pada hari ini bukan sesuatu yang asing.

3. Sebaiknya juga gunakan Suncream SPF15 supaya kulit muka kekal lembap dan mengelakkan kulit terbakar daripada selaran matahari. Ia juga boleh digunakan sebagai asas solekan di samping menjaga dan merawat kulit dari dalam.

4. Mulakan solekan dengan menggunakan penutup cela (concealer). Bagi nampak sekata, concealer boleh digunakan bagi menutup cela seperti parut atau lingkaran gelap di bawah mata. Gunakan jari bagi meratakan concealer, sedikit sudah memadai.

5. Bedak asas (foundation) juga boleh digunakan bagi menampakkan tona kulit anda sekata di keseluruhan wajah. Oles nipis menggunakan berus atau span dan pastikan rata keseluruhan wajah. Tip terbaik adalah menggunakan bedak asas yang sama dengan tona warna kulit anda supaya nampak sekata dengan kulit wajah.

MEREKA yang bekerja di hadapan kamera antara yang sering menggunakan mekap untuk menjaga penampilan.
MEREKA yang bekerja di hadapan kamera antara yang sering menggunakan mekap untuk menjaga penampilan.

6. Bedak tabur boleh digunakan dengan sapuan rata menggunakan berus bagi menampakkan concealer dan bedak asas anda tidak kelihatan bertompok malah lebih sekata dengan kulit anda. Cukup dengan sapuan layang sahaja supaya tidak nampak terlalu tebal dan mapan.

7. Pelembap bibir juga penting bagi mengelakkan bibir anda kelihatan kusam dan kering. Sebaiknya gunakan pelembap yang mengandungi SPF25 bagi menjaga bibir anda supaya sentiasa lembap.

8. Mist atau semburan segar boleh dijadikan sebagai sentuhan akhir solekan anda supaya kekal dan tahan lama sepanjang hari. Ia juga dapat mengelak solekan anda merekah pada penghujung hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 6:20 AM