SOLEKAN ke parti. -Foto AZIAH AZMEE
SOLEKAN ke parti. -Foto AZIAH AZMEE
Siti Zarinah Sahib

BAGI remaja yang baru saja mengenali dunia solekan pastinya akan melihat satu transformasi wajah yang indah iaitu daripada biasa kepada lebih anggun dan menawan apabila mengenakan alat solek.

Dalam hal ini mereka tidak terlepas daripada membuat rujukan terutama menerusi majalah atau media sosial YouTube serta bergantung kepada warna yang diminati semata-mata. Sebagai remaja, penting untuk memperlihatkan gaya keanak-anakan dan manja dalam penampilan. Solekan yang tebal akan membuat mereka kelihatan tua daripada usia sebenar.

Menurut jurusolek profesional, Aidawati Abd Hamid (@AidaAbdHamid), hari ini bukanlah sesuatu yang aneh melihat remaja seawal usia 13 tahun sudah mula bersolek. Berbeza dengan zaman dulu yang rata-rata anak gadis langsung tidak tahu mengenai peralatan mekap.

“Tiada salahnya remaja bersolek asalkan tidak terlalu tebal. Solekan matang dan tebal akan membuatkan mereka tampak tua daripada usia sebenar,” jelasnya.

1 . PEMILIHAN bedak asas bergantung kepada warna kulit. Sapu secara sekata menutupi keseluruhan cela.
1 . PEMILIHAN bedak asas bergantung kepada warna kulit. Sapu secara sekata menutupi keseluruhan cela.

Berpengalaman dalam pelbagai bidang solekan, Aidawati menjelaskan, solekan harus sesuai dengan acara dihadiri. Untuk makan malam atau keraian, gunakan rona sedikit terang dan pekat untuk mata dan bibir.

Untuk acara santai seperti menonton wayang atau sambutan hari lahir, pilih rona lembut dan tidak garang seperti barisan palet ton coklat kerana ia akan mengekalkan penampilan semula jadi yang tidak menghilangkan seri remaja.

“Paling penting adalah mengekalkan bentuk mata dengan mengenakan rona seperti coklat, krim dan sedikit keemasan bagi menampilkan watak lebih muda dan manis,” katanya.

Jelasnya lagi, ramai terkeliru mengenai pemilihan bedak asas. Dalam peraturan solekan, bedak asas berfungsi menutup keseluruhan cela, sekali gus mengembalikan keceriaan. Untuk remaja, pilih rona bedak asas gabungan kuning langsat dan sawo matang kerana ia dapat mengembalikan penampilan remaja.

3. CELAK disapu pada bahagian bawah garis kelopak mata.
3. CELAK disapu pada bahagian bawah garis kelopak mata.

“Selepas bedak asas, lakukan sapuan menggunakan bedak kompak diikuti bedak debu bagi meratakan warna kulit. Pada peringkat ini kulit menjadi lebih sekata, halus dan mulus. Bagi yang mempunyai bekas jerawat, penggunaan penutup cela mampu melindungi kekurangan ini,” jelasnya.

Untuk pemerah pipi pula, pilih rona merah jambu yang digabungkan dengan coklat pudar. Sapu secara menaik dan membulat pada bahagian tulang pipi. Kemudian sempurnakan dengan gincu warna coklat pudar yang akan memberikan gaya tersendiri pada acara yang akan dihadiri.

“Apa yang perlu diberikan penekanan dalam solekan remaja adalah kesederhanaan dalam pemilihan warna. Elakkan warna gelap atau garang,” ujarnya.

Walaupun ada berpendapat biarkan remaja mengekalkan keaslian alis tetapi Aidawati gemar menyisir kemudian memberikan warna coklat cair agar alis terbentuk cantik.

“Elakkan alis dibentuk keterlaluan sehingga menampakkan kematangan. Jangan pula mencabutnya. Biarkan ia kekal sempurna,” katanya.

5. ALIS dibentuk menggunakan celak berona coklat. 6. GINCU rona coklat cair dilapisi pengilat bibir.
5. ALIS dibentuk menggunakan celak berona coklat. 6. GINCU rona coklat cair dilapisi pengilat bibir.

Tip solekan remaja:

1. Kenali warna dan jenis kulit

Sebenarnya tidak cukup dengan hanya mengetahui warna kulit saja. Kulit setiap orang memiliki tingkat warna berbeza-beza. Ada yang berwarna coklat gelap, sawo matang, coklat dengan sedikit nuansa kekuningan, putih kemerahan, atau putih pucat. Perhatikan juga apakah kulit anda termasuk jenis kering, berminyak, normal atau kombinasi. Ini kerana setiap jenis kulit ini memerlukan alat solek berbeza.

2. Pakai pelembap

Selepas mengenali jenis kulit, pilih pelembap paling tepat. Ini kerana menjadikan asas solekan tahan lama. Pelembap berfungsi sebagai perawatan dasar, sekali gus pelindung kulit wajah.

3. Rona asas

Sebelum memakai bedak asas, sapukan warna asas terlebih dulu pada kulit wajah. Warna ini berfungsi untuk menjaga agar solekan tahan lama dan kelihatan segar meskipun sudah beberapa jam.

4. Pilih bedak asas yang tepat

Bedak asas berfungsi meratakan warna kulit. Cari bedak dan alas bedak paling hampir dengan ton kulit anda. Elakkan pemakaian bedak asas pada seluruh wajah agar tidak kelihatan seperti memakai topeng. Cukup sapuan tipis di kedua-dua belah pipi, hidung dan dagu.

Selepas itu pakai bedak dengan warna senada. Sapu dengan menepuk-nepuk, bukan dengan menyapukan span agar bedak tidak bertompok.

5. Pakai maskara

Tidak perlu memakai bulu mata palsu dan celak tebal bagi menonjolkan keindahan mata. Ini akan membuat kamu kelihatan lebih tua. Cukup dengan hanya mencantikkan mata dengan pelentik bulu mata dan maskara. Pilih jenis kalis air.

6. Gincu dan pengilat bibir

Sapu salap bibir diikuti gincu rona coklat pudar sesuai ke pesta. Untuk sentuhan akhir, oleskan pengilat bibir warna senada dengan gincu. Ini akan membuatkan bibir anda tampil segar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 6:00 AM