Zahaani terkejut dengan kemalangan maut yang menimpa anaknya. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
Zahaani terkejut dengan kemalangan maut yang menimpa anaknya. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
Md Fuzi Abd Lateh


“SAYA tak sangka kejutan hari lahir saya sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini bertukar kisah tragis,”.

Itu kata Zahaani Mat, 42, ibu kepada remaja perempuan Nurul Insyirah Ab Aliyasak, 14, yang maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 383 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Muallim hari ini.

Katanya, dia tidak mengetahui anaknya itu pulang dari asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah, Sabak Bernam semalam.

“Pada 6.45 pagi, saya terkejut apabila menerima panggilan Hospital Slim River yang meminta saya hadir membuat pengecaman mayat anak.

“Seingat saya, arwah tidak memaklumkan mahu pulang ke rumah dan hanya berada di asrama sekolah,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung hari ini.

Jenazah dua remaja yang maut dalam kemalangan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung. FOTO Md Fuzi Abd Lateh
Jenazah dua remaja yang maut dalam kemalangan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung. FOTO Md Fuzi Abd Lateh

Katanya, arwah Nurul Insyirah mahu membuat kejutan hari lahirnya dengan membeli kek di Bandar Bukit Sentosa untuk dibawa pulang.

“Saya juga hairan bila mengetahui arwah menumpang rakan menyertai program Konvoi Santai Anak Utara (SAU) 2019 di Meru, Ipoh.

“Saya tidak dimaklumkan arwah ingin menyertai konvoi, saya tidak tahu menahu langsung,” katanya.

Zahaani yang juga guru Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya berkata, dia reda dan pasrah dengan takdir menimpa anaknya sempena hari ulang tahun kelahirannya ke-42 hari ini.

Zahaani berkata, arwah anak ketiga daripada lima beradik yang dijaganya selepas berpisah dengan bekas suami, Ab Aliyasak Samad, 47, dua tahun lalu.

Dalam kejadian 6 pagi tadi, mangsa bersama rakannya, Muhamad Azam Abdullah, 15, meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal dinaiki terbabas.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri jalan.

Sementara itu suasana di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung pilu apabila jenazah dua remaja itu dikebumikan bersebelahan pada 3.45 petang tadi.

Berita berkaitan

Dua remaja maut berkonvoi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 10:17 PM