Lizam Ridzuan

Bermula dengan 20 ahli pada 2013, Kawasaki Lady Bikers Group Malaysia (KLG) mula aktif mengumpulkan pemilik motosikal jenama Kawasaki dalam kalangan wanita.

Inisiatif itu diambil bagi menggalakkan lebih ramai wanita yang gemarkan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi dapat berkumpul dalam berkongsi minat sama.

Kini, jumlah ahli KLG sudah melebihi 100 orang.

Presiden KLG Safura Zahirah, 34, berkata, selain acara konvoi, kelab ini aktif menganjurkan program keselamatan menunggang dalam meningkatkan kesedaran dan kemahiran dalam bermotosikal.

“Walaupun semuanya wanita namun kami tidak hanya berkonvoi di dalam negara, malah ada dalam kalangan ahli KLG sudah menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia serta menunggang ke Thailand.

“Oleh itu, aspek keselamatan sering diberi penekanan utama,” katanya.

WANITA pemilik motosikal Kawasaki. FOTO Rosela Ismail
WANITA pemilik motosikal Kawasaki. FOTO Rosela Ismail

Oleh kerana semua ahlinya wanita, ia memberi keselesaan buat mereka dalam pergaulan, khususnya yang sudah berkeluarga.

Malah kebanyakan aktiviti tunggangan diuruskan sendiri dan konvoi tanpa iringan lelaki, namun tiada masalah timbul kerana masing-masing bersikap proaktif serta melindungi antara satu sama lain.

“Kalangan kami ada yang sudah berpengalaman sebagai marsyal dan ada juga yang berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ia banyak membantu kelancaran program,” katanya yang menggunakan motosikal Versys 1000.

Ahli KLG yang juga pemilik model Z800, Zamirah Mohamad Zainal, 35, berkata, dia mula menunggang motosikal sejak zaman persekolahan serta gemarkan aktiviti lasak terutama membabitkan jentera berkuasa tinggi.

SAFURA (kanan) mengiringi konvoi. FOTO Rosela Ismail
SAFURA (kanan) mengiringi konvoi. FOTO Rosela Ismail

“Selain lebih rapat, kami di KLG sering berkongsi maklumat dan pengetahuan dalam aspek penjagaan motosikal bagi mengelak kerosakan serius dalam perjalanan,” katanya yang juga penjawat awam.

Ahli KLG, Madevie Kathiraveloo, 37, berkata, dia menyertai kelab berkenaan pada 2015.

“Konvoi bermotosikal ke Kathmandu, Nepal adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan.

“Selain dapat bertemu rakan baru, KLG juga sentiasa menyokong setiap aktiviti permotoran yang dianjurkan sama ada secara individu atau berkumpulan,” katanya yang mempunyai perniagaan sendiri dan menunggang GTR 1400.

DISIPLIN ketika menunggang. FOTO Rosela Ismail
DISIPLIN ketika menunggang. FOTO Rosela Ismail

Antara perancangan KLG tahun ini ialah misi jelajah di Kepulauan Borneo serta 4Nation Ride membabitkan Malaysia, Thailand, Laos dan China.

Mereka yang berminat untuk menyertai boleh melayari laman sosial Facebook Kawasaki Lady Bikers Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 8:04 AM