SITI Mariam meminati sukan dan aktiviti lasak.
SITI Mariam meminati sukan dan aktiviti lasak.
Siti Nadirah Hafidzin

TUTUR kata diungkap sentiasa tersusun rapi, raut wajahnya lembut dan sering mengukir senyuman manis menyerlahkan lagi sifat keibuan yang semula jadi dimiliki.

Pertemuan kali pertama penulis dengan wanita kelahiran Kluang, Johor ini begitu mengujakan. Mana tidaknya, ketika itu dia kelihatan sangat ayu menyarung sepasang busana kurung moden rona merah jambu dan bertudung litup.

Namun, di sebalik kelembutan personaliti dimiliki, penulis sangat mengagumi wanita ini dan langsung tidak menyangka jiwa sebenarnya adalah pada aktiviti lasak.

Memulakan bicara, ibu kepada lima cahaya mata, Siti Mariam Saidon, 40, mengakui walaupun pada zahirnya kelihatan lemah lembut, hakikatnya dia sangat meminati sukan dan aktiviti lasak terutama menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Itulah jiwa dan diri saya sebenar. Saya mula menunggang motosikal sejak di bangku sekolah menengah, namun ketika itu kenderaan yang ada cuma motosikal biasa.

“Seiring peningkatan usia, minat saya mula beralih kepada motosikal berkuasa tinggi. Saya sangat teruja setiap kali mendengar deruman enjin motosikal itu dan mula berjinak-jinak secara aktif sejak 2012 atas dorongan dan semangat daripada suami,” katanya.

SITI Mariam bersama suami, Riyzman Md Dali yang banyak beri dorongan.
SITI Mariam bersama suami, Riyzman Md Dali yang banyak beri dorongan.

Siti Mariam yang kini memiliki dua motosikal kesayangan iaitu Harley Davidson Dyna Switchback dan Sporster 48 berkata, dia kemudian tekad mencari aktiviti yang berfaedah di samping melakukan aktiviti konvoi kegemarannya itu.

“Isnin hingga Jumaat saya terikat dengan kerja dan selalu menyertai aktiviti konvoi pada hujung minggu. Saya sangat gembira kerana di samping melakukan aktiviti riadah bersama rakan, kami dapat berbakti dengan melakukan pelbagai program amal.

“Kami tekad menyelitkan beberapa aktiviti amal khusus dalam membantu golongan memerlukan setiap kali berkonvoi dan syukur, kami dapat melakukannya bersama-sama,” ujarnya.

Menurut Siti Mariam yang menyertai kelab permotoran CIGAROS MC dan MOMXYS MG, dia juga sangat teruja dengan pencapaian diri sendiri apabila berjaya menunggang motosikal di Banjaran Annapurna, Nepal iaitu dari Kathmandu hingga ke Mukthinat.

MEMINATI aktiviti lasak dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi.
MEMINATI aktiviti lasak dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Itu antara kenangan paling bermakna dalam hidup saya apabila dapat menyertai program amal Himalaya Epic Nepal Ride 2017 kerana di samping menunggang motosikal, kami juga membantu kanak-kanak dan keluarga Islam yang hidup dalam serba kekurangan di sana. Bukan mudah kerana laluannya berliku dan memerlukan fokus serta kecekapan mengendalikan motosikal namun saya gembira kerana dapat melakukannya.

“Pada masa sama, saya sangat bersyukur kerana diberikan kesihatan, dapat menikmati keindahan alam dengan menjelajah ke seluruh Malaysia dan beberapa daerah di Thailand termasuk Phuket, Koh Samui, Pak Bara serta Songkhla,” katanya.

Ditanya mengenai perasaan takut ketika mengendali motosikal berkuasa tinggi, Siti Mariam berkata, semua itu memerlukan latihan selain berdoa kepada Yang Maha Esa supaya diberikan kekuatan mental juga fizikal.

“Bagi saya tidak kira apa juga jenis kenderaan yang dipandu atau ditunggang, semuanya perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana kerana risikonya tetap ada.

MENUNGGANG motosikal di Banjaran Annapurna, Nepal.
MENUNGGANG motosikal di Banjaran Annapurna, Nepal.

“Kebiasaannya saya dan suami akan memeriksa keadaan motosikal yang ingin ditunggang terlebih dulu sebelum memulakan konvoi, tidak kiralah destinasi yang ingin dituju itu dekat atau jauh yang pastinya langkah keselamatan perlu diberikan keutamaan,” ujarnya.

BIJAK BAHAGI MASA

Berkongsi mengenai kerjaya, ternyata Siti Mariam bukanlah wanita biasa. Memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Teguh Mercu Resources Sdn Bhd memerlukan dia bijak mengendalikan kerjayanya terutama membabitkan soal masa dan tanggungjawab.

“Saya mengendalikan syarikat penyelenggaraan bangunan dan konkrit yang memerlukan komitmen penuh untuk diberikan dan disebabkan itu, aktiviti berkonvoi hanya pada hujung minggu atau cuti umum.

“Ketika bekerja tumpuan mesti diberikan sepenuhnya terhadap tugas. Saya perlu pastikan syarikat berjalan lancar di samping menjaga kebajikan kakitangan kerana saya yakin komitmen dan kegembiraan yang dirasai pekerja amat penting dalam sesebuah syarikat,” katanya.

BERSAMA rakan yang berkongsi minat yang sama.
BERSAMA rakan yang berkongsi minat yang sama.

Katanya, selain minat dan kerjaya, dia juga seorang isteri serta ibu.

“Di sebalik kesibukan harian, saya akan pastikan tetap mempunyai masa untuk suami dan anak kerana mereka adalah segala-galanya kepada saya.

“Walaupun sibuk dan mempunyai masa yang agak terhad, ia tidak boleh dijadikan alasan atau halangan. Saya mahu buktikan wanita juga boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki apatah lagi pada era menghampiri 2020 ini,” katanya.

Siti Mariam yang kini menetap di Denai Alam, Shah Alam berkata, dia juga berusaha mengajak wanita melakukan apa saja aktiviti digemari kerana ia antara terapi diri paling berkesan.

“Saya suka menunggang motosikal berkuasa tinggi kerana ia antara cara untuk saya melupakan masalah dan menghilangkan tekanan.

“Wanita pada era kini layak dikagumi, mana tidaknya di samping bekerja kita juga menguruskan soal rumah tangga dan disebabkan itu setiap wanita perlu lebih menghargai diri sendiri,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:41 AM