GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kajang: Pasaran hartanah dijangkakan berkembang tahun ini walaupun unjuran pertumbuhan ekonomi sederhana rendah disebabkan persekitaran luaran yang tidak menentu.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata, dasar yang akomodatif, sokongan kerajaan berterusan, pelaksanaan langkah yang digariskan dalam Belanjawan 2023 serta strategi dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 akan menyokong sektor hartanah.

Beliau berkata pasaran hartanah negara merekodkan lebih 389,000 transaksi bernilai RM179.0 bilion pada 2022 – peningkatan 29.5 peratus tahun ke tahun dari segi jumlah dan kenaikan 23.6 peratus tahun ke tahun dari segi nilai.

"Subsektor kediaman meneraju keseluruhan aktiviti pasaran hartanah, dengan 62.5 peratus sumbangan dari segi jumlah," katanya melancarkan Laporan Pasaran Harta Tahun 2022 di sini, pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak.

Menurut laporan itu, terdapat 243,190 transaksi bagi hartanah kediaman bernilai RM94.28 bilion dicatatkan tahun lepas, peningkatan 22.3 peratus dari segi jumlah dan 22.6 peratus dari segi nilai tahun ke tahun, disokong oleh aliran meningkat yang direkodkan di Pulau Pinang (31.1 peratus), Johor (24.3 peratus), Perak (18.9 peratus), Kuala Lumpur (18.4 peratus) dan Selangor (15.9 peratus).

Sementara itu, segmen hartanah komersial mencatatkan 32,809 transaksi bernilai RM32.61 bilion pada 2022, peningkatan 46.3 peratus dari segi jumlah dan 16.7. peratus dari segi nilai berbanding yang direkodkan pada 2021.

Bilangan kediaman yang tidak terjual berkurangan kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion setakat suku keempat 2022, turun 24.7 peratus dan 19.2 peratus masing-masing dari segi jumlah dan nilai, daripada 36,864 unit bernilai RM22.79 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.

Berdasarkan laporan itu, Johor mengekalkan jumlah dan nilai tidak terjual tertinggi di negara ini dengan 5,285 unit bernilai RM4.33 bilion, masing-masing menyumbang 19.0 peratus dan 23.5 peratus kepada jumlah dan nilai di peringkat nasional.

Ini diikuti oleh Selangor (3,698 unit bernilai RM3.36 bilion), Pulau Pinang (3,593 unit; RM2.74 bilion) dan Kuala Lumpur (3,429 unit; RM3.15 bilion).

Walau bagaimanapun, jumlah tidak terjual di keempat-empat negeri berkurangan, masing-masing turun 13.8 peratus; 39.3 peratus; 34.6 peratus dan 12.2 peratus berbanding angka pada 2021, terutama disebabkan oleh penyerapan bekalan dalam kategori harga mampu milik (RM300,000 dan ke bawah).

Aktiviti pembinaan mencatatkan peningkatan dari segi kediaman mula dibina, yang meningkat 13.4 peratus kepada 97,804 unit manakala bekalan terancang baharu menambah 14.9 peratus kepada 89,111 unit berbanding angka pada 2021.

Sebaliknya, penyiapan susut 5.8 peratus kepada 71,981 unit, menurut laporan itu.

Indeks Harga Rumah (IHR) Malaysia berada pada 208.4 mata bagi 2022, dengan pertumbuhan tahunan yang rendah sebanyak 2.8 peratus.

Berdasarkan laporan itu, IHR teres dapat mengekalkan pertumbuhan pada 3.7 peratus, diikuti IHR bertingkat tinggi (3.4 peratus) dan IHR berkembar (2.9 peratus).

Walau bagaimanapun, IHR sesebuah menyaksikan sedikit penurunan sebanyak 2.9 peratus.

Prestasi keseluruhan kompleks beli-belah terus sederhana, mencatatkan kadar penghunian 75.4 peratus, turun daripada 76.3 peratus yang direkodkan pada 2021.

Menurut laporan itu Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing mencatatkan kadar penghunian 77.5 peratus dan 82.7 peratus melebihi kadar penghunian nasional, manakala Johor dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan purata penghunian 68.8 peratus dan 72.6 peratus.

Sementara itu, Negeri Sembilan dan Melaka mencatatkan antara kadar penghunian terendah di negara ini, masing-masing pada 66.6 peratus dan 61.2 peratus.

Kadar penghunian purata (KPP) bagi sektor hotel pada Januari hingga September 2022 meningkat kepada 46.6 peratus berbanding 21.8 peratus yang dicatatkan pada 2021 manakala KPP sebelum pandemik Covid-19 adalah kira-kira 60 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 3:45 PM