Dr Mohd Uzir Mahidin
Dr Mohd Uzir Mahidin
BERNAMA

Putrajaya: Produktiviti buruh Malaysia seperti yang diukur dengan nilai ditambah per pekerja pada suku keempat tahun lepas naik 3.6 peratus sejajar dengan perkembangan ekonomi pada tempoh itu.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan pekerja pula meningkat 3.2 peratus dan merekodkan peningkatan nilai ditambah bagi setiap pekerja kepada RM24,915 bagi tempoh sama.

"Kerancakan aktiviti perniagaan pada suku ini ditunjukkan melalui peningkatan jumlah jam bekerja sebanyak lima peratus dengan merekodkan peningkatan kepada 9.2 bilion jam bekerja.

"Oleh itu, produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja turut bertumbuh 1.9 peratus kepada RM43.10," katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia semalam bagi mengulas prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja.

Dari segi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per pekerja katanya, semua sektor mencatatkan kenaikan didahului oleh pembinaan 10 peratus, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus.

Menurutnya, sektor perkhidmatan pula meningkat empat peratus dengan tiga subsektor terus mengukuh pada pertumbuhan dua digit iaitu hartanah dan perkhidmatan perniagaan (21.7 peratus), makanan dan minuman serta penginapan (16.4) dan juga pengangkutan dan penyimpanan (11.9).

Ini diikuti pertumbuhan positif dalam subsektor perdagangan borong dan runcit iaitu sebanyak 4.8 peratus, 1.8 peratus pertumbuhan bagi perkhidmatan lain, maklumat dan komunikasi (0.7), kewangan dan insurans (0.1) manakala pertanian dan pembuatan masing-masing mencatatkan kenaikan 1.6 peratus.

"Pada masa sama, bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per jam bekerja, empat sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, perkhidmatan dan pembuatan manakala sektor pertanian masih merosot," katanya.

Mohd Uzir berkata, sektor pembinaan melonjak lapan peratus berbanding negatif 2.1 peratus pada suku sebelumnya, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mengukuh 4.7 peratus.

Sektor perkhidmatan naik 2.3 peratus dengan dua subsektor mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu makanan dan minuman serta penginapan iaitu sebanyak 19 peratus, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (16.7), diikuti pertumbuhan positif dalam subsektor pengangkutan dan penyimpanan (sembilan), kewangan dan insurans (6.5), perdagangan borong dan runcit (1.7), dan perkhidmatan lain (0.2). Sektor pembuatan pula katanya, naik marginal 0.4 peratus disokong subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (3.7), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.3), dan produk tekstil, pakaian dan kulit (1.1) manakala sektor pertanian jatuh marginal 0.6 peratus.

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan produktiviti buruh bagi 2022, Mohd Uzir berkata, prestasi produktiviti buruh per pekerja bagi tahun lalu mengukuh pada 5.4 peratus dengan merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM95,628 manakala nilai ditambah per jam bekerja melonjak kepada 1.8 peratus dengan nilai RM41.70.

"Berbanding dengan tempoh sebelum pandemik, kedua-dua nilai produktiviti buruh per jam bekerja dan produktiviti buruh per pekerja masing-masing sudah melepasi 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 7:01 AM