MOHD Shukri mengeluarkan bajet tambahan untuk kabinet dapur rumahnya.
MOHD Shukri mengeluarkan bajet tambahan untuk kabinet dapur rumahnya.
Sofyan Rizal Ishak


PENGALAMAN membeli rumah pertama pasti sukar bagi kebanyakan individu hingga ada kalanya membuatkan sesetengah daripada mereka mengambil keputusan menangguhkan terlebih dahulu hasrat memiliki rumah idaman masing-masing.

Lazimnya, keputusan untuk tidak meneruskan pembelian sesebuah rumah adalah disebabkan oleh kegagalan untuk mendapatkan pinjaman perumahan.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku kepada Mohd Shukri Abd Samat, 39 yang nekad memiliki rumah idaman terutama selepas menyaksikan rakan sekerja yang lebih berusia menamatkan perkhidmatan tanpa memiliki rumah.

“Saya lihat mereka ini terus berharap kepada imbuhan pencen bagi membayar sewa rumah sedangkan saban tahun kos sara hidup semakin meningkat.

“Apatah lagi jika mereka turut memiliki komitmen lain, sudah pasti imbuhan pencen ini tidak mencukupi dan menyewa rumah hanya menambahkan lagi bebanan mereka tanpa jaminan bahawa rumah itu akan disewakan kepada mereka selamanya.

“Situasi ini menjadi pencetus untuk diri saya untuk membeli rumah kerana menyedari ia juga boleh berlaku kepada saya pada masa depan,” katanya kepada P&P di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kakitangan awam ini berkata, beliau berhadapan kesukaran dalam urusan pembelian rumah berikutan had pinjaman rumah yang rendah pada masa itu iaitu sekitar 2009.

“Saya juga melalui laluan sukar dalam proses untuk mendapatkan kelulusan bagi pinjaman perumahan saya. Selepas berusaha sekian lama, Alhamdulillah segala usaha saya ini akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Mohd Shukri telah membeli rumah pertamanya berupa sebuah teres setingkat berukuran 20 x 80 pada harga RM137,000 di Seremban, Negeri Sembilan pada 2009 dan sehingga kini, nilai rumahnya meningkat lebih daripada RM200,000.

Menurutnya, pembelian rumah diakui agak sukar terutama membabitkan proses mendapatkan kelulusan pinjaman dengan baki gaji yang ada juga dilihat perlu mencukupi bagi memenuhi syarat dan memastikan pinjaman dapat diperoleh.

“Selain kesukaran pinjaman, saya juga menggunakan duit tambahan melalui simpanan sendiri bagi melengkapkan rumah dengan pemasangan jeriji dan tempat memasak,” katanya.

Menurutnya, ketika ini dia bertugas di Kuala Lipis, Pahang dan kediaman yang dibeli itu terpaksa disewakan.

Dia turut merancang memiliki rumah lain yang berdekatan dengan rumah ibu bapanya di Temerloh supaya dapat menjaga kebajikan mereka.

“Saya berharap harga rumah yang saya miliki sekarang terus meningkat supaya ia dapat dijual dan seterusnya membeli rumah yang berdekatan dengan ibu bapa saya pada masa depan,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Shukri berkata, individu yang ingin membeli rumah perlu sentiasa peka dan memiliki ilmu pengetahuan sebelum melakukan pembelian serta menabung untuk simpanan bagi urusan tambahan selepas memiliki rumah yang diidamkan.

MOHD Shukri (kanan) bersama rakan-rakanya.
MOHD Shukri (kanan) bersama rakan-rakanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 10:47 AM