Nurul Husna Mahmud


MEMPUNYAI hartanah sendiri menjadi idaman ramai orang dan proses penting dalam pemilikannya turut membabitkan kelulusan pemohonan pembiayaan oleh pihak institusi kewangan.

Kebiasaannya rekod kewangan individu menjadi penentu termasuklah jumlah gaji bersih yang berbaki sekurang-kurangnya satu pertiga selepas ditolak komitmen bulanan perlu dijelaskan kepada bank.

Malah maklumat sumber pendapatan sampingan lain buat mereka yang melakukan pekerjaan sambilan boleh digunakan sebagai dokumen 'penguat' atau sokongan bagi mendapatkan kelulusan pembiayaan rumah.

Bagi usahawan, Md Nurul Khalid Koyube, dokumen sokongan seperti pendapatan hasil kerja sampingan dari perniagaan yang dijalankan bersama isteri menjadi antara dokumen membantunya memperoleh pembiayaan pinjaman bagi kediamannya jenis banglo di Senawang, Negeri Sembilan.

"Saya menggunakan nama individu tetapi menyertakan dokumen sokongan seperti pendaftaran perniagaan, penyata akaun syarikat atau peniagaan dan dokumen pengistiharan cukai ketika pembelian unit hartanah jenis banglo di Senawang.

"Berbeza dengan unit hartanah yang saya pernah beli sebelum ini, proses pembelian hartanah yang terbaru lebih rumit kerana membabitkan jumlah nilai tinggi. Ia memerlukan dokumen sokongan membuktikan kemampuan saya melunaskan komitmen bulanan pembiayaan berkenaan," katanya.

Kata Md Nurul Khalid, ramai tidak mengetahui dokumen sokongan seperti pendapatan sumber lain boleh digunakan sebagai sokongan dalam mendapatkan kelulusan pembiayaan kediaman.

"Bagi mereka yang bekerja sendiri atau memiliki perniagaan tahu proses perlu mereka tempuh untuk pemohonan pembiayaan kediaman mahupun aset hartanah lain.

"Cuma yang kerap terlepas pandang bagi mereka yang menggunakan dokumen perniagaan atau syarikat sebagai dokumen kepada bank ialah mereka tidak mengisytiharkan cukai pendapatan setiap tahun. Sekurang-kurangnya untuk bahagian ini perlukan rekod dua tahun mereka isytiharkan cukai untuk dinilai dan diluluskan oleh pihak bank

PENIAGA perlu ada akaun sistematik bagi memastikan peluang untuk mendapat pembiayaan rumah tinggi.
PENIAGA perlu ada akaun sistematik bagi memastikan peluang untuk mendapat pembiayaan rumah tinggi.

"Selain itu mereka juga perlu ada rekod atau audit kewangan 'cantik.'

Ramai yang tidak menyusun kewangan syarikat dengan teliti membuatkan pihak bank tidak dapat memberi kelulusan terhadap pinjaman yang dibuat," katanya.

Faktor lain kata Md Nurul Khalid, perlu ada simpanan mencukupi termasuklah menyediakan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 peratus bagi membolehkan urusan pembelian hartanah menjadi lebih mudah.

Sementara itu bagi Ejen Hartanah Berdaftar Maxxan Realty, Shukri Zohari mengakui, ramai usahawan dan peniaga terutama dari kelompok 'enterprise' tidak memiliki pengurusan akaun yang sistematik sehingga menyukarkan mereka memiliki aset hartanah.

MD Nurul Khalid memastikan dokumen sokongan mencukupi bagi pembelian raset jenis banglo di Senawang.
MD Nurul Khalid memastikan dokumen sokongan mencukupi bagi pembelian raset jenis banglo di Senawang.

"Saya boleh kata tujuh dari 10 individu dalam kelompok usahawan atau peniaga yang datang kepada saya berniat untuk membeli hartanah tidak memiliki pengurusan akaun yang sistematik sehingga menjejaskan peluang mereka memiliki aset hartanah.

"Pihak bank selaku pembiaya mempunyai mekanisme tersendiri dalam menilai kemampuan dan rekod atau dokumen sokongan sebagai aspek penting apabila mereka menilai kemampuan pemilik kediaman.

"Selain tidak memiliki sistem akaun yang 'cantik' dan sistematik, usahawan ini juga tidak mengisytiharkan pendapatan mereka pada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Sedangkan satu kriteria penting disyaratkan pihak bank bagi mereka yang bekerja sendiri atau pembeli hartanah yang juga pemilik peniagaan perlu ada resit cukai," katanya.

Asas penting bagi mereka yang berniaga mahu memohon pembiayaan perumahan perlu pastikan status kewangan syarikat 'sihat' iaitu ada rekod keuntungan yang 'cantik' selain butiran lain yang dapat memberi penilaian mengenai status kewangan syarikat individu terbabit adalah stabil.

"Meskipun margin keuntungan berbeza tetapi bank mempunyai mekanisme tersendiri bagi menentukan tahap kewangan individu cukup stabil untuk memiliki aset tertentu.

SIMPANAN tabung haji dan pelaburan lain termasuk saham boleh bantu peluang dapat pembiayaan bank.
SIMPANAN tabung haji dan pelaburan lain termasuk saham boleh bantu peluang dapat pembiayaan bank.

"Dalam situasi pasaran semasa pula, biasanya bank akan nilai individu berdasarkan industri yang mereka sertai sebagai contoh paling terjejas dalam pandemik, individu terbabit dalam perniagaan berasaskan pelancongan, penerbangan dan perhotelan diletakkan dalam posisi yang tidak mempunyai kapasiti untuk membuat pemohonan pembiayaan rumah.

"Selain itu, kedudukan mereka dalam jaringan pembekal (supply chain) industri juga memainkan peranan dalam penilaian bank meluluskan pinjaman. Contohnya individu itu sama ada dia penjual nasi lemak atau pembekal produk menerima penilaian berbeza kerana kedudukan mereka dalam jaringan industri peniagaan makanan yang sama," katanya.

Tambah Shukri, dokumen lain dapat digunakan individu untuk membantu mendapatkan kelulusan yang mudah termasuklah rekod pendapatan atau aset lain seperti pelaburan, skim persaraan, saham dan simpanan tabung haji.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 7:01 AM