AHMAD Azizi
AHMAD Azizi
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya meningkatkan jualan sepanjang 2017 dengan menggunakan pendekatan digital khususnya melalui kempen di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, pihaknya turut menggunakan tenaga luar bagi memastikan kempen pemasaran lebih berkesan.

“Kami melantik ketua pegawai pemasaran baru tahun ini bagi memantapkan strategi pemasaran SPNB dalam menarik ramai pembeli kediaman.

“Melalui kaedah digunakan, kami berjaya meningkatkan jualan kepada 13 peratus tahun ini berbanding 2016,” katanya.

Setakat ini, pengikut SPNB di Facebook seramai 76,000.

Menurutnya, pihaknya optimis mampu mencatatkan jualan rumah lebih baik tahun depan meskipun dalam jangkaan situasi kelembapan jualan rumah.

“Kami yakin mencapai jualan lebih baik berdasarkan pelancaran 10,000 unit rumah yang akan ditawarkan pada harga dan lokasi baik separuh pertama 2018 serta inisiatif kerajaan bagi pembelian rumah.

“Permintaan terhadap perumahan dilihat kekal namun isu mendapatkan pembiayaan terus menjadi kekangan ke arah pemilikan rumah,” katanya pada majlis menandatangani ikrar bebas rasuah (IBR) SPNB di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini pasukan pemasaran dan jualan SPNB mampu mencapai jualan antara 60 hingga 70 peratus namun kini ia pada tahap 30 hingga 40 peratus saja.

“Untuk tahun depan, kami merancang terus memaksimumkan jualan rumah dengan menyasarkan jualan sebanyak 60 peratus daripada unit dilancarkan sepanjang 2018.

“Kami yakin ia mampu dicapai kerana masih ada permintaan di pasaran ditambah dengan pelaksanaan inisiatif kerajaan seperti skim pembiayaan akhir untuk pemaju yang memberi impak kepada jualan menjelang suku pertama tahun depan,” katanya.

Sehingga kini, SPNB melaksanakan pembangunan kira-kira 11,800 unit rumah di bawah kategori Aspirasi sebanyak 5,000 unit, Rumah Mesra Rakyat (5,300) dan Rumah Idaman (1,500).

Mengulas perancangan 2018, Ahmad Azizi berkata, pihaknya turut membina 5,000 unit Rumah Mesra Rakyat Felda di Terengganu yang bakal dilancarkan suku pertama 2018 dan ia sebahagian mandat diterima SPNB dari kerajaan untuk membina 20,000 rumah jenis terbabit dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menurutnya, SPNB juga merancang menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat bagi membantu pembeli melengkapkan jumlah pembiayaan perumahan tidak mencukupi dan sebuah lagi syarikat untuk memudahkan pembeli mendapatkan pinjaman.

Selain itu, SPNB akan terus berusaha mengoptimumkan kos operasi seperti dicatatkan tahun ini iaitu menjimatkan 15 peratus kos operasi.

“Kami berharap agar pihak tertentu dapat bersama kami membantu bakal pembeli mendapatkan pinjaman bagi pembelian rumah pada tahun depan, sekali gus memastikan ramai individu memiliki kediaman sendiri di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 9:04 AM